Usaha Israel Bunuh “Orang Nombor 2” Hezbollah di Beirut Gagal? Fouad Shukr Terselamat….

Nasib orang nombor dua Hezbollah dikenali dengan nama “Fouad Shukr” atau “Haj Mohsen” masih belum diketahui, beberapa jam selepas tentera Israel melancarkan serangan untuk membunuhnya di kawasan dinamakan Haret Hreik yang terletak di kejiranan Dahiyeh di selatan Beirut.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nasib orang nombor dua Hezbollah dikenali dengan nama “Fouad Shukr” atau “Haj Mohsen” masih belum diketahui, beberapa jam selepas tentera Israel melancarkan serangan untuk membunuhnya di kawasan dinamakan Haret Hreik yang terletak di kejiranan Dahiyeh di selatan Beirut.

Media-media di Lubnan menyatakan pesawat pejuang Israel telah menggugurkan beberapa bom terhadap sebuah bangunan di kawasan Haret Hreik di Dahiyeh, di selatan Beirut yang didakwa didiami oleh Fouad.

Kawasan Haret Hreik di kejiranan Dahiyeh di selatan Beirut itu dikatakan adalah kawasan kubu kuat Hezbollah, menempatkan beberapa bangunan dikatakan didiami oleh pemimpin-pemimpin kumpulan bersenjata Lubnan itu.

Setakat ini hanya Israel yang mendakwa bahawa serangan udara pesawat pejuang mereka telah berjaya membunuh pemimpin nombor ketua Hezbollah itu, namun dakwaan oleh Israel itu telah disangkal oleh media-media tempatan dan antarabangsa.

“Pesawat pejuang Israel telah menghapuskan komander tentera paling senior kumpulan bersenjata dan ketua unit strategiknya, Fouad Shukr di Beirut.”

Fouad Shukr

 

“Fouad Shukr adalah komander yang bertanggungjawab terhadap insiden di Majdal Shams yang mengorbankan 12 orang kanak-kanak selepas Hezbollah melancarkan roket Falaq-1 terhadap padang bola di utara Israel,” kata jurucakap tentera Israel Laksamana Daniel Hagari.

Fouad Shukr adalah orang kanan kepada Hassan Nasrallah, katanya.

Bagaimanapun dakwaan oleh media-media tempatan dan antarabangsa yang memetik sumber keselamatan Lubnan menyatakan bahawa usaha Israel untuk membunuh Fouad Shukr itu gagal kerana pemimpin Hezbollah itu sempat meninggalkan bangunan itu sebelum ia dibom.

Terdapat juga laporan menyatakan bahawa Fouad Shukr tidak berada di dalam bangunan yang menjadi sasaran kepada pesawat pejuang Israel itu.

Terdapat media-media Israel juga menyatakan bahawa serangan udara Israel untuk membunuh Fouad Shukr itu menemui kegagalan

Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati mengutuk keras serangan udara Israel itu, tetapi beliau juga tidak memberikan pengesahan atau penafikan tentang keadaan terkini orang nombor dua Hezbollah itu.

Pihak Hezbollah masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang keadaan Fouad Shukr, sama ada beliau masih hidup atau menjadi korban kepada serangan udara oleh pesawat pejuang Israel itu.

Bagaimanapun, kumpulan bersenjata itu telah mengeluar video dengan mesej bahawa ia bertindak balas “pada masa dan waktu yang bersesuaian” terhadap serangan oleh pesawat pejuang Israel di kejiranan Dahiyeh di selatan Beirut.

Fouad Shukr dilaporkan adalah pemimpin nombor dua di dalam kumpulan bersenjata selepas Hassan Nasrallah dan merupakan pemimpin tertinggi tenteranya, yang mengambil alih cabang tentera kumpulan yang disokong oleh Iran itu selepas pembunuhan panglimanya, Imad Mughniyeh beberapa tahun lepas.

Imad Mughniyeh terbunuh dalam serangan bom kereta pada 2008 di Damsyik yang didakwa dilakukan oleh Israel.

Pejuang Hezbollah

 

Fouad dilaporkan adalah panglima tentera Hezbollah yang merancang segala strategi tentera Hezbollah di selatan Lubnan.

Pihak Amerika Syarikat juga menawarkan wang tunai berjumlah US$5 juta keatas maklumat tentang Fouad Shukr, sambil mendakwa bahawa pemimpin Hezbollah itu memainkan peranan penting terhadap insiden pengebom berek tentera Amerika di Beirut yang mengorbankan 241 anggota tentera Marine negara itu. — DSA

 

BeirutDahiyehfeaturedSerangan
Comments (0)
Add Comment