Ukraine Tertipu? Terima Sumbangan Senjata-Senjata “Usang” Dari Barat

Satu kes melibatkan penghantaran sejumlah 33 buah meriam bergerak (self-propelled howitzer) sumbangan kerajaan Itali kepada Ukraine, dimana ia didapati sebahagian daripada meriam "sumbangan" itu mempunyai masalah kerosakan yang kritikal.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Terdapat senjata-senjata yang disumbang oleh negara-negara Barat kepada Ukraine adalah “terlalu usang” untuk digunakan terhadap tentera Russia di medan peperangan, menurut dokumen-dokumen kerajaan Ukraine yang dipetik oleh media.

Disebabkan “terlalu usang” untuk digunakan di medan peperangan, pihak Ukraine hanya menggunakan senjata yang disumbangkan itu sebagai sumber bekalan alat-alat ganti.

Sejak Russia menceroboh Ukraine pada Februari tahun lepas, negara-negara Barat telah menyumbang pelbagai jenis senjata yang dianggarkan bernilai berbilion-bilion dollar kepada negara Eropah Timur itu.

Sistem pertahanan udara “Patriot”, salah satu sistem pertahanan udara yang disumbang Amerika kepada Ukraine.

 

Amerika Syarikat juga dianggarkan telah menyumbang senjata bernilai US$40 bilion (RM180 bilion) kepada Kiev sehingga minggu lepas dan ini tidak termasuk bantuan di dalam bentuk kemanusiaan dan kewangan yang lain.

Banyak daripada sumbangan bekalan senjata daripada negara-negara Barat melibatkan senjata-senjata moden seperti sistem pertahanan udara untuk digunakan terhadap pesawat, dron dan peluru berpandu Russia.

Bagaimanapun, terdapat juga kes-kes dimana senjata-senjata yang disumbang itu datangnya daripada stok bekalan negara penderma, yang memerlukan kerja-kerja baik pulih yang menyeluruh dan menelan belanja yang tinggi.

Penganalisis menyatakan kira-kira 30 peratus daripada senjata yang digunakan oleh tentera Ukraine pada ketika ini memerlukan kerja-kerja baikpulih, suatu kadar peratusan yang tinggi bagi negara yang sedang melancarkan serangan balas.

Satu kes melibatkan penghantaran sejumlah 33 buah meriam bergerak (self-propelled howitzer) sumbangan kerajaan Itali kepada Ukraine, dimana ia didapati sebahagian daripada meriam “sumbangan” itu mempunyai masalah kerosakan yang kritikal.

Negara Barat turut sumbang kereta kebal Leopard pada Ukraine.

 

Kementerian Pertahanan Itali dalam satu kenyataan menyatakan bahawa meriam-meriam terbabit telah dibersarakan daripada perkhidmatan beberapa tahun lalu tetapi kerajaan Ukraine tetap mahukannya.

“Kerajaan Ukraine mahukan (meriam-meriam itu) diperbaiki dan dihantar ke medan peperangan untuk menghadai tentera Russia, “ menurut Kementerian Pertahanan Itali.

Dokumen kerajaan Ukraine menyatakan bahawa kementerian pertahanan negara itu telah membayar sejumlah US$19.8 juta (RM89.1 juta) kepada sebuah syarikat pertahanan Amerika yang berpangkalan di Florida untuk memperbaiki meriam-meriam milik Itali itu.

Pada Januari tahun ini, 13 buah meriam itu telah dihantar kepada Ukraine tetapi kesemua meriam terbabit didapati “tidak sesuai” untuk digunakan di kawasan operasi.

Kerajaan Ukraine mendakwa syarikat pertahanan Amerika itu, Ultra Defense tidak menyelesaikan kerja-kerjanya tetapi ia dinafikan oleh syarikat terbabit.

Tentera Ukraine

 

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat sedang menyiasat mengenai kes itu.

Pegawai-pegawai kerajaan Ukraine mengambil sikap enggan mengadu tentang senjata-senjata sumbangan negara Barat yang diterima dalam keadaan “usang” dan tidak boleh digunakan, kerana tidak mahu memalukan negara-negara penderma.

Bagaimanapun pegawai-pegawai negara Eropah Timur sudah lali dengan kualiti senjata-senjata sumbangan negara-negara penderma dan bertindak menggunakannya untuk alat-alat ganti sahaja.

Sementara dalam satu laporan Jabatan Pertahanan Amerika pula menunjukkan tentera darat negara itu telah diminta untuk menghantar 29 buah kenderaan HUMVEES daripada sebuah kem di Kuwait kepada Ukraine.

Unit tentera darat Amerika itu menyatakan bahawa hanya satu daripada 29 kenderaan itu tidak boleh digunakan.

Tentera Russia memegang senjata anti-kereta kebal Barat yang dirampasnya di Ukraine.

 

Bagaimanapun pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Pertahanan menunjukkan 26 daripada 29 buah kenderaan terbabit adalah terlalu usang untuk digunakan di medan peperangan di Ukraine.

Unit tentera darat Amerika yang sama juga telah ditugaskan untuk menghantar enam buah meriam M777 ke Ukraine hanya beberapa minggu selepas tercetusnya peperangan di antara negara Eropah Timur dengan Russia.

Pemeriksaan kemudiannya mendapati bahawa meriam-meriam memerlukan penyelenggaraan dan baikpulih yang ekstensif kerana ia sudah 19 bulan tidak digunakan.

Laporan juga menyatakan bahawa sebuah daripada meriam terbabit adalah terlalu usang sehingga ia boleh menyebabkan operator terbunuh jika ia digunakan.

Pada Januari lepas, Setiausaha Pertahanan United Kingdom Ben Wallace menyatakan bahawa ia akan memindahkan sistem meriam bergerak AS-90 kepada Ukraine, namun pada Mac, Kementerian Pertahanan negara itu menyatakan bahawa 12 daripada meriam itu perlu diperbaiki atau hanya digunakan sebagai alat-alat ganti sahaja.— DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AmerikafeaturedSenjataUkraineUsang
Comments (0)
Add Comment