Kesatuan Sekerja Jerman Mahu Turkiye Dibenar Beli Pesawat Eurofighter Typhoon

Kesatuan-kesatuan sekerja Jerman itu bimbang “penolakan” permohonan Turkiye untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon oleh kerajaan Jerman akan menyebabkan industri pertahanan negara Eropah itu kehilangan ribuan pekerjaan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kesatuan-kesatuan sekerja di Jerman mendesak kerajaan negara itu supaya meluluskan dengan segera permohonan Turkiye untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

Mereka bimbang “penolakan” permohonan kerajaan Turkiye untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon oleh Jerman akan menyebabkan industri pertahanan negara Eropah itu kehilangan ribuan pekerjaan.

Pesawat pejuang Typhoon itu diperbuat oleh konsortium syarikat-syarikat Eropah yang berpangkalan di empat buah negara iaitu United Kingdom, Jerman, Itali dan Sepanyol.

Laporan oleh media Jerman memetik kenyataan oleh MTU Aero Engines yang menyebut bahawa memeterai perjanjian dengan Turkiye itu adalah kritikal untuk survivalbiliti indusri pertahanan di negara ekonomi terbesar di Eropah, Jerman.

MTU Aero Engines adalah antara syarikat pembuat enjin terbesar di Eropah.

“Penamatan program pembuatan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon akan menyebabkan penamatan pekerjaan di kalangan komuniti pembekal berteknologi tinggi di dalam tahun-tahun akan datang. Adalah amat penting untuk memelihara pekerja-pekerja berkemahiran tinggi itu dan produksi untuk program Future Combat Air System oleh negara-negara Eropah,” menurut kenyataan oleh syarikat.

Ia juga berkata bahawa kemahiran jurutera-jurutera pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu adalah amat penting dalam usaha untuk menaiktaraf pesawat itu.

Sementara itu Michael Reich, salah seorang pengarah di Airbus, salah sebuah syarikat di dalam konsortium yang membangunkan pesawat pejuang itu berkata, memeterai perjanjian dengan Turkiye itu adalah penting kerana ia mengesahkan lagi “otonomi tentera Jerman.”

Katanya, mengesahkan pekerjaan dan jaringan bekalan adalah penting dalam memastikan “kemerdekaan” dalam industri aeroangkasa tentera.

Beliau adalah antara penyokong kuat kepada kenyataan oleh Pengerusi Airbus Defense and Space Works Council, Thomas Pretzl yang berkata bahawa pesanan (order) terhadap pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu adalah penting untuk pembangunan berterusan dan pembinaan lebih banyak pesawat itu supaya kerajaan Jerman tidak berhadapan dengan satu-satunya opsyen iaitu membeli pesawat pejuang Amerika Syarikat.

Industri aeroangkasa Jerman menggaji 25,000 pekerja dan 120 buah syarikat.

Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler mengesahkan bahawa negara itu mahu memperolehi 40 buah pesawat pejuang Typhoon dan persetujuan telah pun diperolehi daripada United Kingdom serta Sepanyol.

Tindakan Turkiye melemparkan kritikan-kritikan keras terhadap Israel dalam serangannya di Semenanjung Gaza telah membangkitkan kemarahan “rakan baik” Tel Aviv iaitu Jerman, yang kini bertindak-balas terhadap Ankara.

Canselor Jerman Olaf Scholz bertindak balas terhadap Turkiye dengan menghalang hasrat Ankara untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

“Canselor (Jerman) tidak akan membenarkan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon,” menurut seorang pegawai kanan Jerman kepada media antarabangsa.

Pemimpin Turkiye Recep Tayyep Erdogan mahu Jerman menarik balik larangan eksport senjata yang dikenakan oleh Berlin terhadap Ankara bagi membolehkan negara Mediterranean memulakan proses perolehan untuk memperolehi pesawat pejuang buatan empat negara Eropah itu.

Turkiye menyatakan dengan jelas kepada Jerman bahawa ia mempunyai “pilihan lain” sekiranya cadangan membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon ditolak oleh Berlin.

“Turkiye mempunyai pilihan lain sekiranya Jerman menghalang penjualan pesawat pejuang Typhoon (kepada Turkiye), ” kata Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan dalam sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz baru-baru ini.

Turkiye mahu memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon bagi menggantikan pesawat pejuang F-4 Phantom miliknya yang telah berusia dan mesti digantikan dengan segera.

Ia perlu bertindak dengan pantas untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuangnya yang telah berusia terutamanya selepas dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 oleh Amerika Syarikat.

Ankara dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 oleh Amerika Syarikat selepas ia meneruskan hasratnya untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.

Bagi menampung keperluan bagi pesawat-pesawat pejuang moden, Turkiye telah memulakan pembangunan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri yang dipanggil “KAAN”, tetapi ia dijangka akan hanya beroperasi pada tahun 2028-2029. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredJermanKesatuanTurkiyeTyphoon
Comments (0)
Add Comment