Turkiye-Pakistan Bincang Potensi Eksport Pesawat Pejuang KAAN Kepada Islamabad

Dua tahun lepas, terdapat laporan daripada Pakistan menyatakan bahawa beberapa sub-sistem yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima KAAN buatan Turkiye itu diperbuat di negara Asia Selatan itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye dan Pakistan memperhebatkan lagi perbincangan tentang kerjasama di dalam bidang pertahanan dan teknologi termasuk potensi eksport pesawat pejuang generasi kelima KAAN dibangunkan oleh Ankara kepada Islamabad.
Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).
Cadangan eksport pesawat pejuang KAAN dan kerjasama bidang pertahanan dan teknologi itu adalah sebahagian daripada agenda mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama Industri Pakistan-Turkiye yang sedang berlangsung di Pakistan.
Wakil-wakil daripada 32 buah institusi kedu-dua negara termasuk syarikat-syarikat utama daripada kedua-dua negara mengambil bahagian dalam mesyuarat itu.
“Mesyuarat itu membuktikan tentang pengukuhan kerjasama pertahanan di antara Turkiye dan Pakistan. Perbincangan tentang eksport pesawat pejuang KAAN dan rancangan untuk pembangunan bersama helikopter menunjukkan fokus bersama untuk meningkatkan lagi kerjasama berkenaan teknologi pertahanan dan usahasama industri,” menurut laporan media Turkiye.
Mesyuarat itu telah dianjurkan oleh National Aerospace Science and Technology Park daripada Pakistan and Defence Industries Secretariat daripada Turkiye.
“KAAN”
Delegasi Turkiye diketuai oleh Pengurus Besar TAI Mehmet Demiroglu dan termasuk syarikat-syarikat seperti Milsoft, Crypttech, SDT, Aselsan dan Havelsan.
Dua tahun lepas, terdapat laporan daripada Pakistan menyatakan bahawa beberapa sub-sistem yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima KAAN buatan Turkiye itu diperbuat di negara Asia Selatan itu.
Selain itu,  kemudahan pemasangan pesawat itu (production line) juga akan dibina di Pakistan, untuk menghasilkan pesawat KAAN yang bakal digunakan oleh tentera udara negara itu, sebagaimana didakwa oleh media negara itu.
Baru-baru ini, laporan media menyatakan bahawa Pakistan akan memperolehi pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A untuk tentera udaranya.
Turkiye dan Pakistan sememangnya mempunyai hubungan pertahanan yang erat dengan Ankara terlibat membantu Islamabad membina kapal-kapal perang dan kapal selam yang kini digunakan oleh tentera laut negara Asia Selatan itu.
Pakistan turut menggunakan dron-dron keluaran Turkiye.
Selain Islamabad, Azerbaijan juga dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan Turkiye untuk menjadi negara pertama terlibat dalam program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, KAAN itu.
Azerbaijan yang mempunyai hubungan ketenteraan yang rapat dengan Turkiye disasarkan menjadi pasaran eksport pertama bagi pesawat pejuang KAAN itu.
Projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye KAAN yang bermula pada 2016, bertujuan menggantikan lebih 200 pesawat F-16 milik Tentera Udara Turkiye.
Prototip pertama KAAN telah berjaya melaksanakan penerbangan sulungnya pada Februari 2023 dan penerbangan kedua pada Mei 2023.
“KAAN”
Projek ini juga mencerminkan kemajuan industri pertahanan Turkiye.
Pesawat pejuang KAAN akan menjadi alternatif kepada pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat selepas Turkiye dilarang membeli pesawat pejuang itu berikutan keputusannya memperolehi sistem pertahanan S-400 buatan Russia.
TAI dijangka mula menyerahkan 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.
Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.
 Dijangkakan Tentera Udara Turkiye akan menerima lebih 100 unit pesawat selepas negara Mediterranean itu dan TAI memulakan pengeluaran besar-besaran (mass production) pesawat pejuang generasi kelima itu, dengan sasaran penghantaran dua buah pesawat pejuang KAAN kepada Tentera Udara Turkiye setiap bulan menjelang 2029. — DSA
KAANPakistanTAITurkiye
Comments (0)
Add Comment