Turkiye Derma Kapal Serang Laju Pada Maldives, Tindakan Dilihat Penuh Curiga oleh India

India telah menyatakan secara terbuka bahawa ia tidak bersetuju dengan tindakan Maldives menjalin hubungan baik dengan Turkiye serta China yang dianggap oleh New Delhi sebagai pesaing sengitnya.
Turkiye Derma Kapal Serang Laju Pada Maldives, Tindakan Dilihat Penuh Curiga oleh India
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye mendermakan sebuah kapal serang laju berkeupayaan membawa peluru berpandu anti-kapal kelas-Dogan TCG Volkan (P-343) kepada Maldives, satu lagi tindakan yang sudah pasti bakal dilihat dengan penuh rasa curiga dan bimbang oleh negara jiran pulau itu iaitu India.
India telah menyatakan secara terbuka bahawa ia tidak bersetuju dengan tindakan Maldives menjalin hubungan baik dengan Turkiye serta China yang dianggap oleh New Delhi sebagai pesaing sengitnya.
Menurut sumber Kementerian Pertahanan Turkiye yang bercakap kepada media negara itu, derma kapal serang laju itu adalah sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani di antara kedua-dua negara.
MoU itu bertujuan untuk memperkukuhkan keupayaan pertahanan Maldives melalui sokongan material dan latihan kepakaran.
Sebagai sebahagian daripada persiapan pemindahannya, kapal peluru berpandu TCG Volkan telah menjalani kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di Markas Limbungan Tentera Laut Istanbul.
Kapal tersebut dijadualkan dihantar ke Maldives antara April hingga Jun 2025.
Setibanya di Maldives, kapal peluru berpandu itu akan diaktifkan oleh pasukan Tentera Laut Turkiye.
TCG Volkan
Anggota tentera laut Maldives menjalani latihan di Turkiye.
Latihan untuk anggota tentera Maldives yang bakal mengendalikan TCG Volkan itu telah bermula di Turkiye pada 7 April dan dijadualkan tamat pada 9 Mei.
Selepas kapal beroperasi di perairan Maldives, jurulatih dari Tentera Laut Turkiye akan memberikan latihan lanjutan operasi di atas kapal selama dua minggu kepada krew di lokasi.
Kapal kelas-Dogan yang dibangunkan oleh syarikat pembina kapal Jerman, Lürssen Werft, merupakan satu lonjakan besar dalam keupayaan maritim Turkiye pada akhir abad ke-20, terutamanya kerana ia merupakan kelas pertama yang dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal Harpoon.
Pada awal tahun 2024, hubungan diplomatik antara Maldives dan India menjadi tegang apabila beberapa pegawai Maldives mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Perdana Menteri India, Narendra Modi, sehingga mencetuskan kemarahan hebat di India termasuk seruan untuk memboikot sektor pelancongan Maldives.
Sebagai respons, kerajaan Maldives menggantung tugas pegawai terlibat dan menegaskan bahawa kenyataan mereka tidak mencerminkan pendirian rasmi kerajaan.
Ketegangan hubungan kedua-dua negara terus memuncak apabila Presiden Maldives, Mohamed Muizzu — yang dilihat cenderung kepada China — meminta supaya semua anggota tentera India yang ditempatkan di Maldives ditarik balik.
Anggota tentera laut Maldives menjalani latihan di Turkiye.
Menjelang Mei 2024, kerajaan India telah menggantikan anggota tenteranya dengan kakitangan awam untuk mengendalikan platform penerbangan yang sebelum ini dihadiahkan kepada Maldives.
Hubungan antara Maldives dan India tegang bukan sahaja selepas ia meminta tentera India keluar daripada negara itu, tetapi juga kerana tindakan negara pulau itu memperolehi dron Bayraktar TB2 daripada Turkiye untuk memantau kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) miliknya.
Kerajaan Maldives mahu menggunakan dron Bayraktar TB2 yang dibangunkan oleh syarikat Turkiye, Baykar Technology untuk memantau perairan ZEE miliknya seluas 900,0000 km persegi, sekaligus meningkatkan kemampuannya untuk memantau kepentingan maritimnya.
 Dron berkuasa tinggi dipercayai diperolehi oleh kerajaan Maldives pada 3 Mac lalu dan beroperasi daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Maafaru di Noonu Atoll.
Kerajaan Maldives dilaporkan membelanjakan US$37 juta (RM162 juta) untuk memperolehi dron-dron buatan Turkiye itu.
Selain daripada dron diperolehi daripada Turkiye, kerajaan Maldives juga bercadang memperolehi dron daripada China untuk tujuan sama berikutan lawatan presiden baru negara itu ke China tahun lepas.
Bayraktar TB2
Tindakan Maldives memperolehi dron Bayraktar TB2 daripada Turkiye tidak disenangi oleh India yang tidak mempunyai hubungan baik dengan Ankara.
Tahun lalu, Maldives mengarahkan kira-kira 80 orang anggota tentera India keluar daripada negara itu bagi memenuhi janji pilihanraya umum oleh presiden baru negara itu, Mohamed Muizzu.
India menempatkan 80 orang anggota tenteranya di Maldives untuk mengoperasi dan menyelenggara helikopter dan pesawat ringan disumbangkannya yang digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat di pulau itu.
Muizzu yang dikatakan pro-China menjadi presiden negara itu di atas kempen yang bertemakan slogan “India Out.”
New Delhi sedaya-upaya mahu mengekalkan pengaruhnya di Maldives yang berada di kedudukan yang amat strategik berhampiran di Lautan Hindi, pada ketika pulau yang terkenal dengan sektor pelancongannya sedang “dipujuk” oleh China dengan pelaburan dan bantuan ekonomi.
Dalam masa yang sama, China juga mahu berbaik-baik dengan Maldives.
Bayraktar TB2
Tahun lalu juga, kerajaan Maldives telah membenarkan sebuah kapal penyelidik China “Xiang Yang Hong 3” untuk berlabuh di pelabuhan negara itu bagi membolehkan ia mendapatkan bekalan makanan dan minuman.
Kehadiran kapal penyelidik itu tidak disenangi oleh India yang mendakwa fungsi utama kapal penyelidik dasar laut itu adalah mengumpul maklumat dan data yang akan digunakan untuk operasi kapal selam China.
Dakwaan oleh New Delhi itu bagaimanapun dinafikan oleh China.
Tersentak dengan permintaan Maldives supaya anggota tenteranya meninggalkan pulau itu dan hubungan rapatnya dengan China, India secara tergesa-gesa telah mentauliahkan pangkalan tentera lautnya yang baru di Pulau Minicoy yang terletak di Kepulauan Lakshadweep, tidak jauh daripada Maldives.
Pangkalan tentera laut India yang dilengkapi dengan kemudahan radar, kapal perang dan sistem peluru berpandu “BrahMos” di pulau itu di namakan INS Jatayu.
“BrahMos”
Ia akan menjadi kemudahan tentera India bagi memantau perluasan pengaruh China di Lautan Hindi serta pergerakan kapal-kapal tentera lautnya di kawasan perairan yang strategic.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China telah menjalin hubungan yang lebih rapat dengan negara-negara pesisir Lautan Hindi dan membina kemudahan pelabuhan yang boleh digunakan oleh kapal-kapal awam dan tentera.
— DEFENCE SECURITY ASIA

DoganIndiaMaldivesTurkiya
Comments (0)
Add Comment