China Memeta 500,000 KM Persegi Dasar Lautan Hindi Untuk Operasi Kapal Selamnya

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semalam admin telah melaporkan penemuan satu objek seakan-akan “peluru berpandu” atau “torpedo” milik China di Pulau Anambas, Indonesia serta dron-dron dasar laut juga dipercayai milik negara itu sebelum ini. (rujuk artikel sebelum ini)

Admin juga melaporkan tindakan pihak berkuasa Indonesia memintas sebuah kapal penyelidikan marin China “Xiang Yang Hon-3” yang secara senyap-senyap melakukan pemetaan dasar laut di kawasan perairan berhampiran Selat Sunda minggu lepas.

Kapal penyelidikan marin milik China “Xiang Yang Hong-03”

Menurut laman web Naval News, apa yang berlaku di perairan Indonesia bukan kes terpencil tetapi ia adalah usaha bersepadu oleh China untuk memeta dasar laut di sebahagian besar Lautan Hindi, kemungkinan untuk operasi angkatan kapal selamnya.

Kesimpulan yang dibuat oleh laman web itu adalah berdasarkan analisis data dan maklumat penjejakan (tracking) kapal-kapal penyelidikan marin milik China itu terutamanya melibatkan kawasan-kawasan perairan yang dikunjunginya. Menurut Naval News, aktiviti survey yang dilakukan oleh China di Lautan Hindi adalah luas iaitu kira-kira 500,000 km persegi dan kawasan operasi mereka semakin luas.

Grafik kredit HI Sutton.

Walaupun kapal-kapal penyelidikan marin China ini dioperasikan oleh kakitangan awam tetapi maklumat-maklumat data hidrografi yang diperolehinya boleh digunakan oleh perancang-perancang tentera laut.

Maklumat dan data-data hidrografi itu boleh membantu navigasi kapal-kapal selam serta memastikan mereka gagal dikesan oleh pihak musuh.

Kawasan timur Lautan Hindi mungkin lokasi yang menarik penuh minat kapal-kapal penyelidikan marin China itu.

Menurut laman web itu, empat daripada kapal penyelidikan marin China itu amat aktif di dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Dua daripada kapal itu, Xiang Yang Hong 01 dan 16 aktif dalam melakukan pemetaan dasar laut di satu kawasan pergunungan dasar laut yang dinamakan “Ninetyeast Ridge”, dengan banjarannya merentasi Lautan Hindi.

Kedua-dua kapal terbabit menggunakan active side-scan sonar untuk memeta kawasan dasar itu, yang penting sekiranya kapal-kapal selam mahu mencari kawasan-kawasan di dasar laut untuk bersembunyi bagi elak dikesan.

Laman itu juga berkata, bagi misi-misi kapal penyelidikan China itu di Andaman dan Pulau Nicobar serta Indonesia, ia mungkin berkait-rapat dengan usaha untuk mencari sensor dasar laut Amerika Syarikat yang dipanggil “fish hook networks.”

Sensor dasar laut berfungsi untuk mengesan kehadiran kapal-kapal selam China yang keluar masuk Lautan Hindi.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

IndonesiaKapal SelamLautan HindiPenyelidikan MarinXiang Yang Hong
Comments (0)
Add Comment