(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hari Khamis (21 April 2022) merupakan detik bersejarah buat warga No 10 Skuadron apabila mereka telah mengoperasikan helikopter EC 725 AP di Bangunan Hangar No 10 Skuadron, Kuantan secara rasmi.
Perasmian pengoperasian helikopter itu telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan Udara Kuantan Brig Jen Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM.
Sebagai simbolik permulaan pengoperasian, satu penerbangan formasi pesawat EC 725 AP telah dilaksanakan yang diketuai oleh Pegawai memerintah No 10 Skuadron Mej Paranjothi Manogharan TUDM.
Seterusnya warga skuadron merakamkan kenangan bersejarah mengabadikan memori dengan sesi bergambar bersama seluruh warga No 10 Skuadron.
Majlis Doa Selamat dan Tahlil dilaksanakan sebagai tanda kesyukuran dan bagi mendapatkan keberkatan dengan pengoperasian penuh aset helikopter TUDM ini yang diadakan di Bangunan Hangar No 10 Skuadron.
Ia diikuti dengan Majlis Berbuka Puasa mengumpulkan seluruh warga skuadron untuk mengimarahkan bulan Ramadan pada tahun ini disamping memohon keberkatan dan keredaan Allah SWT.
Bagi pengoperasian skuadron, proses perpindahan ke Bangunan Hangar No 10 Skuadron ini telah bermula secara berperingkat sejak awal April dan kini telah berjaya melaksanakan pengoperasian pertama pesawat EC 725 AP dengan kemudahan yang baharu.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Kemudahan yang disediakan ini mewujudkan persekitaran ruang kerja yang lebih kondusif dan keselesaan untuk warga skuadron melaksanakan misi dan operasi dengan lebih efisien.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya kepada warga PU Kuantan yang telah bertungkus lumus membantu dalam menjayakan perpindahan ini. – DSA
Maklumat dan gambar adalah dari FB TUDM