(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diperakui kekurangan kemampuan, kekuatan dan aset-aset untuk menangani konflik maritim, dengan ada di antara kapal-kapalnya “sudah berusia” 40 tahun dan sudah di dalam keadaan yang usang.
Panglima Markas Pemerintahan Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata terdapat di antara aset-aset TLDM sudah terlalu berusia untuk berfungsi.
Aset-aset milik TLDM katanya jauh ketinggalan berbanding tentera-tentera laut negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.
Menurutnya, oleh kerana itulah program pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) perlu diteruskan kerana TLDM memerlukan kapal-kapal perang itu untuk mempertahankan kedaulatan perairan negara.
“Tanpa aset-aset kombat ini (enam buah kapal LCS), kita tidak akan berkemampuan berbuat apa-apa apabila berlakunya konflik maritim. Saya bersikap berterus-terang berkenaan perkara ini, tidak ada apa yang mahu disembunyikan.”
“Seluruh dunia tahu mengenai kemampuan kita, lebih baik kita mengakuinya,” katanya sebagaimana dipetik oleh portal berita The Vibes selepas menutup secara rasmi Operational Sea Training Exercise East (Ostex East) di Sandakan. (baca laporan asal portal berita The Vibes)
TLDM katanya, tidak mampu mempertahankan negara tanpa kapal-kapal LCS itu.
Sabri berkata, jika tiada apa-apa dilakukan untuk meningkatkan kemampuan TLDM, ia juga akan ketinggalan di belakang tentera laut-tentera laut Filipina dan Brunei.
“Saya tidak perlu menyatakan punca-puncanya, kita semua tahu mengapa ia berlaku dan kita juga tahu apa yang berlaku 10 tahun lepas.”
“Apa yang dialami oleh kita pada ketika ini tidak berlaku semalaman. Seseorang tidak perlu berada di dalam angkatan tentera untuk mengetahui mengenai perkara ini. Aset-aset angkatan tentera bukan ‘pampers’ yang kita guna dan buang. Aset-aset ini perlu diganti dan dinaiktaraf,” katanya.
Jika aset-aset TLDM tidak dinaiktaraf, ia akan usang selepas 10 tahun dan perkara itu membuatkan usaha tentera laut menentukan tahap kesiapsiagaannya untuk berhadapan dengan konflik maritim amat mencabar, katanya.
Walaupun begitu, TLDM perlu terus berusaha untuk menggunakan aset-aset miliknya dengan berterusan dan melaksanakan proses serta usaha bagi meningkatkan tahap kompetensinya.
Menyentuh tentang aset-aset yang telah berusia pada OSTEX East kali ini,beliau menyambut baik dan berterima-kasih terhadap sokongan dan kerjasama pelbagai pihak terhadap usaha pembaharuan enjin dan generator kapal-kapal lama itu.
Tanpa program “repowering”, OSTEX East tidak akan mampu melihat kehadiran 11 buah kapal perang TLDM kerana ada diantara kapal-kapal itu sudah terlalu berusia sehingga ia tidak mampu bergerak.
Sementara itu, OSTEX East juga buat pertama kalinya menyaksikan penglibatan helikopter operasi maritim AW139 yang baru diperolehi oleh TLDM.
Aset udara TLDM itu yang akan digunakan oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) adalah lebih baik berbanding helikopter-helikopter yang digunakan oleh tentera laut pada ketika ini seperti Super Lynx dan Fennec.
TEKAN UNTUK MUAT-TURUN APLIKASI DEFENCE SECURITY ASIA:
“Helikopter ini (AW139) mampu berada di udara selama tiga jam dan mengangkut lapan penumpang. Helikopter itu juga boleh melakukan pemantauan di udara dan membantu kapal melakukan pemantauan lebih jauh,” katanya.
Sabri juga berkata projek pembinaan Markas Wilayah 2 di Sandakan dan Markas Wilayah 4 di Bintulu sedang berada di tahap pertukaran hak milik daripada kerajaan Sabah dan Sarawak kepada kerajaan persekutuan. — DSA
Jom follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.