75 Peratus Kapal TLDM Sudah “Berusia”, Ada Berumur 40-50 Tahun

“Sebagai contoh, kapal peronda laju (Fast Attack Craft) yang beroperasi di Pangkalan TLDM Kuantan, semuanya sudah mencecah usia 50 tahun. Dalam erti kata (kapal-kapal) TLDM sudah lebih usianya.”

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebanyak 75 peratus daripada 44 buah kapal yang dimiliki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada ketika ini dikategorikan sebagai sudah “berusia” dengan ada di antaranya telah berkhidmat selama diantara 40 hingga 50 tahun.

Panglima Armada Barat TLDM Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Alis berkata, TLDM amat memerlukan kapal-kapal yang baru untuk menggantikan kapal-kapal yang telah berusia itu.

“Sebagai contoh, kapal peronda laju (Fast Attack Craft) yang beroperasi di Pangkalan TLDM Kuantan, semuanya sudah mencecah usia 50 tahun. Dalam erti kata (kapal-kapal) TLDM sudah lebih usianya,” katanya sebagaimana dipetik oleh media tempatan hari ini.

Antara kapal serang laju TLDM yang telah berusia.

 

Beliau ditemui oleh pemberita di Pangkalan TLDM di Lumut selepas menyambut kepulangan kapal KD Lekir daripada menyertai latihan maritim terbesar dunia, “Rim of the Pacific 2022” (RIMPAC 2022) anjuran Tentera Laut AmerikaSyarikat yang berlangsung di perairan sekitar Hawaii baru-baru ini.  

Kegagalan memperolehi kapal-kapal baru untuk menggantikan kapal-kapal yang berusia atau (asset recapitalisation) memaksa TLDM melakukan proses “kitar semula” atau memanjangkan hayat kapal-kapal yang berusia itu.

Abu Bakar berkata, usaha “kitar semula” itu terpaksa dilakukan kerana tempoh operasi tinggi yang terpaksa dilalui oleh kapal-kapal TLDM.

Katanya,tempoh operasi kapal yang tinggi memerlukan TLDM sentiasa melakukan proses penyelenggaraan kapal dengan segera.

Beliau memberi  contoh KD Lekir yang baru pulang dari Latihan RIMPAC 2022 yang perlu melalui proses penyelenggaraan singkat sebelum ia bersedia untuk misi operasi yang lain.

Kapal serang laju TLDM

 

Untuk pengetahuan, kapal korvet KD Lekir milik TLDM yang ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 1984 sudah berusia 38 tahun.

Namun,walau sudah berusia 38 tahun KD Lekir masih berupaya dan ketika RIMPAC 2022 diberi tanggungjawab untuk menembak peluru berpandu “Exocet MM40”, sekaligus menjadikannya sebagai kapal perang TLDM menembak peluru berpandu di luar perairan Malaysia.

Beberapa hari lepas, Panglima Markas Pemerintahan Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali yang ditemui pemberita selepas majlis penutup latihan OSTEX East di Sandakan juga menyebut benda yang sama.

 Menurutnya, TLDM diperakui kekurangan kemampuan, kekuatan dan aset-aset untuk menangani konflik maritim disebabkan ada di antara kapal-kapalnya “sudah berusia” 40 tahun  dan berada dalam keadaan yang usang.

Katanya, aset-aset milik TLDM sudah jauh ketinggalan berbanding tentera-tentera laut negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

Kapal korvet KD Lekir ketika melancarkan peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40 di perairan utara Selat Melaka dalam Eksesais Taming Sari yang berlangsung pada 22 Mei lepas (ATM)

 

TEKAN UNTUK MUAT-TURUN APLIKASI DEFENCE  SECURITY ASIA:  

“Oleh kerana itulah program pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) perlu diteruskan kerana TLDM memerlukan kapal-kapal perang itu untuk mempertahankan kedaulatan perairan negara.

“Tanpa aset-aset kombat ini (enam buah kapal LCS), kita tidak akan berkemampuan berbuat apa-apa apabila berlakunya konflik maritim. Saya bersikap berterus-terang berkenaan perkara ini, tidak ada apa yang mahu disembunyikan.”

“Seluruh dunia tahu mengenai kemampuan kita, lebih baik kita mengakuinya,” kata beliau secara berterus-terang. — DSA

 

Jom follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.

featuredKapalKD LekirTLDMUsang