TLDM Akan Lantik Pihak Swasta Untuk Jalankan Operasi Salvaj KD Pendekar

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain memastikan kapal berkeadaan baik, kerja awalan itu juga bagi memastikan kapal berkenaan tidak hilang, namun untuk kerja mengapungkan dan salvaj, TLDM akan melantik pihak swasta.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan melantik pihak swasta bagi menjalankan operasi salvaj KD Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusup, di Kota Tinggi setelah mengalami kebocoran Ahad lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ketika ini pihak TLDM telah melakukan kerja awalan termasuk mengenal pasti serta memastikan peralatan di kapal terbabit masih dalam keadaan yang baik.

Beliau berkata selain memastikan kapal berkeadaan baik, kerja awalan itu juga bagi memastikan kapal berkenaan tidak hilang, namun untuk kerja mengapungkan dan salvaj, TLDM akan melantik pihak swasta.

“Bedah siasat (kapal) masih belum selesai dan dijangka diperoleh dalam masa sebulan serta punca kematian (penyelam ranjau) kita tidak tahu apa-apa lagi kerana belum menerima laporan penuh.

“Kita menjangkakan laporan lengkap mengenai kebocoran KD Pendekar mengambil masa kira-kira sebulan,” katanya di Kluang.

 

KD Pendekar (kredit Media Sosial)

 

Pada 25 Ogos lepas, TLDM mengesahkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran ketika sedang melaksanakan tugasan dipercayai akibat pelanggaran dengan objek bawah air.

Ia mula dikesan di bilik jentera kapal sebelum merebak dengan cepat dan tidak terkawal namun semua 39 kru berjaya diselamatkan selepas usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.

Seorang penyelam ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) telah meninggal dunia ketika membuat selaman dalam operasi salvaj KD Pendekar pada Rabu lepas.

Penyelam ranjau TLDM yang maut itu dikenali sebagai Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San bin Hermansa.

Lembaga Siasatan Khas telah ditubuhkan bagi mengenalpasti punca kejadian.

Pada Ahad lepas, kapal serang laju milik TLDM berusia 45 tahun, KD Pendekar telah tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang.

KD Pendekar

 

Kebocoran tersebut menurut TLDM, dipercayai berpunca apabila kapal perang berusia 45 tahun itu terlanggar objek bawah air.

“Kebocoran yang mula dikesan di Bilik Jentera kapal telah merebak dengan cepat dan tidak terkawal.

“Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya,” menurut kenyataan TLDM.

TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenalpasti punca kejadian dan pada masa yang sama merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden.

Kapal KD Pendekar dengan nombor penant-nya 3513 telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 21 Ogos 1979, sekaligus menjadikan kapal serang laju itu berusia 45 tahun pada tahun ini. — DSA

featuredKD PendekarSalvajTLDM