Timur Tengah Pasaran Menguntungkan Bagi KM-SAM II, Iraq Pembeli Terbaru

Iraq dilaporkan mahu memperolehi sehingga lapan buah bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM II itu, dipercayai bernilai US$2.5 billion (RM11.7 bilion), bagi mempertahankan ruang udaranya daripada sebarang ancaman pencerobohan asing pada ketika ketegangan di rantau itu semakin memuncak akibat konflik Israel-Palestin.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Timur Tengah nampaknya telah menjadi pasaran yang menguntungkan untuk sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM II (Cheongung II) buatan Korea Selatan yang dibangunkan oleh Agency for Defense Development (ADD) dan dibina oleh syarikat LIG Nex1.

Selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, sistem pertahanan udara jarak sederhana itu kini telah menarik perhatian sebuah lagi negara Timur Tengah iaitu Iraq untuk mendapatkannya.

Bukan sahaja negara-negara Timur Tengah, tetapi syarikat LIG Nex1 difahamkan turut berminat untuk menawarkan sistem pertahanan udara jarak sederhana buatan Korea Selatan itu kepada Malaysia apabila tender perolehannya dibuka tidak lama lagi.

Iraq dilaporkan mahu memperolehi sehingga lapan buah bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM II itu, dipercayai bernilai US$2.5 billion (RM11.7 bilion), bagi mempertahankan ruang udaranya daripada sebarang ancaman pencerobohan asing pada ketika ketegangan di rantau itu semakin memuncak akibat konflik Israel-Palestin.

Apa yang menarik menurut para penganalisis adalah, UAE, Arab Saudi dan Iraq sebelum ini menyatakan mahu memperolehi sistem pertahanan udara buatan Russia, S-400 tetapi akhirnya  memilih sistem pertahanan udara buatan Korea Selatan, KM-SAM II.

“KM-SAM II”

 

Menurut penganalisis, salah satu sebabnya adalah kerana harga satu bateri KM-SAM II yang jauh lebih kompetitif pada US$320 juta (RM1.5 billion) berbanding apa yang ditawarkan oleh Russia menerusi S-400 yang lebih mahal.

Sebagaimana dilaporkan oleh media pertahanan antarabangsa, Arab Saudi dikatakan telah menandatangani kontrak bernilai US$3.2 billion (RM15.25 billion)  pada November tahun lepas untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana itu.

Negara Arab yang kaya dengan sumber minyak itu dilaporkan memperolehi 10 bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana itu, mengikuti jejak langkah negara jirannya, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut memperolehi sistem yang sama bernilai US$3.5 bilion (RM16.68 bilion) pada Januari 2022.

 Satu ciri yang menarik mengenai sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM II  adalah ianya merupakan satu-satunya sistem pertahanan udara jarak sederhana yang mempunyai sentuhan DNA teknologi dari kedua-dua Blok Barat dan Rusia.

Ia adalah sistem pertahanan udara jarak sederhana Korea Selatan yang dibangunkan oleh firma pertahanan LIG Nex1 dan Agency for Defense Development (ADD) dengan bantuan teknikal daripada firma Russia, Almaz-Antey yang terkenal dengan pembangunan sistem pertahanan udara S-300,S-400 dan terkini, S-500.

Turut sama membangunkan sistem pertahanan udara itu adalah Hanwha Systems yang membangunkan sistem radarnya dan Hanwha Aerospace pula membekalkan kenderaan pelancarnya.

“KM-SAM II”

 

Sistem KM-SAM II dibangunkan oleh Korea Selatan berinspirasikan sistem-sistem pertahanan udara yang telah dibangunkan oleh firma pertahanan terkenal Russia, Almaz-Antey seperti S-300 dan S-400.

Komposisi standard sistem KM-SAM mengandungi sebuah Fire Control Centre (FCC), sebuah Multifunction Radar (MFR) dan beberapa Transporter Erector Launcher (TEL) yang boleh membawa sehingga lapan buah peluru berpandu bagi sistem terbabit.

Radar 3D Pelbagai Fungsi Passive Electronically Scanned Array (PESA) X-Band sistem KM-SAM itu berkemampuan mengesan sasaran sejauh 100km dan track sebanyak 40 sasaran secara serentak.

Sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM boleh membedil sasaran udara setinggi 15km (49,000 kaki) pada jarak sejauh 40 km. — DSA

 

 

featuredIraqKM-SAM IIKorea Selatan
Comments (0)
Add Comment