Tiga Buah Kapal Pengawal Pantai China Berada Dalam Perairan ZEE Malaysia

Pemerhati maritim antarabangsa, Ray Powell menerusi ciapannya di dalam platform X (dahulu dikenali Twitter), ketiga-tiga buah kapal pengawal pantai China itu yang dikesan berada di dalam perairan ZEE Malaysia di Laut China Selatan itu dikenalpasti CCG 5403, CCG 5102 dan CCG 5402.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tiga buah kapal pengawal pantai China dikesan berada di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia di Laut China Selatan pada pagi, menurut pemerhati maritim antarabangsa, Ray Powell.

Powell menerusi ciapannya di dalam platform X (dahulu dikenali Twitter), ketiga-tiga buah kapal pengawal pantai China itu yang dikesan berada di dalam perairan ZEE Malaysia di Laut China Selatan itu dikenalpasti CCG 5403, CCG 5102 dan CCG 5402.

Beliau tidak menyatakan sama ada kapal-kapal peronda milik Malaysia berada berhampiran, namun kebiasaannya, kapal-kapal peronda negara sama ada daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berada tidak jauh daripada kapal-kapal penguatkuasa China itu melakukan “shadow.”

Powell adalah bekas kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat dan adalah ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford.

Aplikasi penjejakan kapal menunjukkan kapal-kapal pengawal pantai China CCG 5403 dan CCG 5102 dipercayai berada berhampiran dengan kawasan pembangunan gas Kasawari yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas di Blok 316 yang jelas berada di dalam kawasan perairan ZEE milik Malaysia.

Petronas Carigali, anak syarikat penuh Petronas merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan dan adalah operator Lapangan Gas Kasawari itu yang dianggarkan bernilai berbillion-billion ringgit.

(kredit Raymond Powell)

 

Ditemui pada Novermber 2011, Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 di luar pantai Sarawak dalam Laut China Selatan itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.

Penemuan Lapangan Gas Kasawari oleh Petronas itu hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport gas asli dibekukan (Liquified Natural Gas – LNG) terbesar dunia. 

Lapangan gas mega itu bakal menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas setiap hari dan 3.5 juta tong kondensat setiap hari.

Gas yang diekstrak daripada Lapangan Gas Kasawari itu akan dihantar menggunakan paip untuk diproses di Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.

Kompleks LNG Petronas di Bintulu itu terdiri daripada sembilan keretapi produksi (production trains) dengan kapasiti keseluruhan mencecah 29.3 juta tan setahun (million tonnes per annum –Mtpa).

Ia adalah di antara kemudahan produksi LNG terbesar di dunia.

Lapangan Gas Mega Kasawari

(Gambar ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

Lapangan Gas Kasawari terletak di Laut China Selatan di luar pantai Sarawak di Malaysia. Lapangan gas itu terletak di perairan dengan kedalaman airnya mencecah 108 meter di dalam Blok SK316 kira-kira 200km di utara Bintulu, Sarawak.

Lapangan gas mega ini terletak di gugusan Beting Patinggi Ali dan kapal-kapal pengawal pantai China memang gemar “singgah” di kawasan perairan ini.

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), pada 2022 sahaja kapal-kapal pengawal pantai China menghabiskan masa sebanyak 316 hari daripada 365 hari dalam setahun di gugusan Beting Patinggi Ali itu. — DSA

featuredKapalMalaysiaZEE
Comments (0)
Add Comment