“Tiada Opsyen Kapal Selam Untuk JAS39 Gripen, Hanya Khabar Angin”

Dipetik oleh akhbar Bangkok Post, Pengarah Komunikasi Strategik Saab Aeronautics Robert Hewson hanya menyatakan bahawa opsyen pemilikan kapal selam sekiranya Thailand memilih pesawat pejuang JAS39 Gripen itu hanyalah sekadar khabar angin.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Saab daripada Sweden menafikan ia turut menawarkan opsyen perolehan kapal selam kepada Thailand sekiranya negara Asia Tenggara itu memilih pesawat pejuang JAS39 Gripen untuk melengkapkan tentera udaranya.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Komunikasi Strategik Saab Aeronautics Robert Hewson kepada media Thailand beberapa hari lalu.

Dipetik oleh akhbar Bangkok Post, Hewson hanya menyatakan bahawa opsyen pemilikan kapal selam sekiranya Thailand memilih pesawat pejuang JAS39 Gripen itu hanyalah sekadar khabar angin.

Pada Oktober tahun lepas, Thailand telah memutuskan untuk memperolehi sebuah kapal friget daripada China bagi “menggantikan” kapal selam yang sepatutnya diterima daripada Beijing.

Bangkok sepatutnya menerima kapal selam daripada China pada tahun lepas, tetapi Beijing sehingga kini gagal menyerahkannya disebabkan “perbezaan pendapat” tentang soal enjin dengan Thailand berkeras mahukan kapal selamnya dilengkapi dengan enjin buatan Jerman manakala Beijing mahu menggunakan enjin buatan syarikat tempatannya.

Sebuah pesawat JAS 39 Gripen C/D Tentera Udara Diraja Thailand dengan pesawat AEW “Erieye.”

 

Negara Asia Tenggara itu nampaknya kini telah bersedia untuk “melupakan” buat sementara pemilikan kapal selam daripada China itu dan sebaliknya “mengantikan” dengan sebuah kapal friget daripada kuasa Asia itu.

Menteri Pertahanannya Sutin Klungsang dilaporkan berkata bahawa negara Asia Tenggara itu menangguhkan buat sementara waktu usaha memiliki kapal selam berikutan masalah mendapatkan enjin bagi kapal selam yang sepatut diperolehinya daripada China.

Beliau berkata kapal friget yang bakal diperolehinya daripada China mempunyai kemampuan menangani ancaman udara, permukaan dan bawah permukaan.

Mengenai tawaran pesawat pejuang JAS39 Gripen kepada Thailand, Hewson berkata, pesawat pejuang itu membawa bersama-sama pakej persenjataan dan kemampuan yang paling canggih berbanding pesawat-pesawat pejuang lain yang bersaing dengannya.

“Ia memiliki opsyen daripada segi sistem persenjataan yang sukar dicabar oleh pesawat-pesawat pesaing yang lain,” katanya sambil menambah bahawa pesawat pejuang Gripen merupakan “tulang belakang” kepada jaringan sistem pertahanan kebangsaan.

Katanya, menambah bilangan pesawat pejuang Gripen yang dimiliki oleh Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) akan memberikan kesan daripada segi operasi dengan kos pusingan hayat (lifecycle cost) yang rendah.

Kapal selam kelas Yuan S26T buatan China sebagaimana yang sepatutnya diperolehi oleh Thailand.

 

Tawaran pesawat pejuang Gripen kepada Thailand menurutnya, adalah platform berteknologi tinggi untuk rakan utama dan kerjasama strategik bagi membolehkan usaha mewujudkan peluang-peluang pekerjaan berkualiti tinggi, selain meningkatkan eksport dan mencipta kemampuan baru yang berguna untuk Thailand.

Pada ketika ini, RTAF mengoperasikan 12 buah pesawat pejuang JAS39 Gripen yang diperolehinya daripada Saab pada 2008 dan berpangkalan di Surat Thani di selatan Thailand.

Salah sebuah daripada pesawat Gripen itu bagaimanapun terhempas ketika dalam pertunjukan udara di Hatyai beberapa tahun lepas.

Tentera Udara Thailand dilaporkan mengoperasikan 50 buah F-16 dengan 36 buah dioperasikannnya sebagai pesawat pejuang manakala 14 yang lain selebihnya sebagai pesawat latihan.

Negara jiran Malaysia itu mahu menamatkan khidmat pesawat-pesawat pejuang F-16 A/B yang telah berusia.

Bangkok dilaporkan telah menyenarai pendek dua buah pesawat pejuang dalam senarai terakhir pemilihan pesawat, iaitu varian terkini pejuang pejuang buatan syarikat Lockheed Martin F-16 Block 70 dan juga Gripen-E yang merupakan varian terkini pesawat pejuang JAS39 buatan Saab Group daripada Sweden.

Gripen Thailand

 

Pemilihan pesawat-pesawat pejuang F-16 Block 70 dan juga Gripen-E itu dalam senarai terakhir itu telah pun disahkan oleh Panglima Tentera Udara Thailand Marsyal Udara Phanpakdee Pattankul baru-baru ini.

“Adalah amat mustahil untuk membeli pesawat pejuang F-35 sebagaimana dirancang, pilihan telah dikecilkan kepada Gripen-E dan F-16 Block 70,” kata beliau.

Menurut sumber yang memberitahu akhbar The Bangkok Post negara itu, pembelian pesawat pejuang baru Thailand itu akan bermula pada Oktober tahun depan dengan perolehan empat buah pesawat pejuang awal diikuti dengan pesawat yang lain.

Jawatankuasa pemilihan Tentera Udara Diraja Thailand dijangka akan membuat keputusan akhir tentang pesawat pejuang pilihan Thailand pada Jun ini, dengan Saab dan Gripen-E dijangka menjadi pilihan kepada Bangkok. –DSA

featuredGripenPesawatThailand