Tentera Udara Republik Singapura Mohon Maaf Pada Penduduk Bandar Australia

Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mengesahkan kepada stesen televisyen tempatan bahawa empat buah pesawat pejuang F-15SG miliknya yang berpangkalan di pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Pearce, utara Perth sedang mengadakan latihan ketika penduduk-penduduk di bandar itu terdengar bunyi letupan kuat yang dipercayai berpunca daripada sonic boom dihasilkan oleh pesawat pejuang Singapura itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) memohon maaf selepas pesawat-pesawat pejuang F-15SG miliknya berkemungkinan besar merupakan punca kepada bunyi kuat sonic boom yang didengar dan mencemaskan penduduk di selatan bandar Perth, Australia.

Kejadian berlaku selepas 11 pagi pada Rabu lalu telah menyebabkan penduduk-penduduk selatan bandar Perth itu mengadu di media-media sosial tentang bunyi kuat itu.

Terdapat tingkap di rumah-rumah penduduk tempatan yang pecah akibat bunyi yang kuat dihasilkan oleh pesawat-pesawat pejuang Singapura itu.

Penduduk-penduduk di Perth mendakwa bunyi yang didengar oleh mereka adalah seperti suatu letupan yang amat kuat.

Terdapat juga penduduk yang menyatakan bahawa rumah mereka “bergegar” ketika letupan kuat itu kedengaran.

Pesawat pejuang F-15SG Tentera Udara Republik Singapura. (via internet)

 

Misteri kejadian bunyi kuat itu semakin hangat diperkatakan oleh penduduk di Perth selepas pihak Jabatan Geosains Australia menyatakan mereka tidak mengesan sebarang sebarang aktiviti seismik yang menyebabkan bunyi kuat itu.

RSAF mengesahkan kepada stesen televisyen tempatan bahawa empat buah pesawat pejuang F-15SG miliknya yang berpangkalan di pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Pearce, utara Perth sedang mengadakan latihan ketika penduduk-penduduk di bandar itu terdengar bunyi letupan kuat yang dipercayai berpunca daripada sonic boom dihasilkan oleh pesawat pejuang Singapura itu.

JurucakapRSAF menyatakan bahawa pesawat-pesawat pejuangnya terbang kira-kira 70km daripada kawasan pantai pada ketinggian kira-kira 24,000 kaki di kawasan yang dikategorikan sebagai “kawasan latihan yang ditetapkan.”

“Laporan awal menunjukkan bahawa bunyi kuat (didengar penduduk Perth) berkemungkinan berpunca daripada pesawat-pesawat pejuang yang sedang mengadakan latihan.”

“Kami tidak sangka kerana pesawat-pesawat pejuang F-15SG itu berada jauh di kawasan perairan,” kata jurucakap RSAF itu.

Kawasan latihan pesawat pejuang Singapura

 

Sumber memberitahu kepada syarikat televisyen tempatan bahawa hanya pesawat pejuang F-15S Singapura yang sedang berlatih di pangkalan udara berhampiran mempunyai kemampuan untuk menghasilkan sonic boom yang menyebabkan bunyi kuat seolah-olah seperti bunyi suatu letupan.

RSAF menurut jurucakapnya itu, menghargai sokongan berterusan daripada Tenter Udara Diraja Australia dan penduduk tempatan terhadap latihan dan operasi pesawat pejuang kami di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Pearce itu.

Stesen televisyen Australia, ABC mengesahkan bahawa pesawat pejuang Singapura sedang beroperasi di kawasan ruangan udara terhad di Pulau Garden ketika insiden bunyi kuat di Perth itu berlaku.

Bunyi kuat akibat Sonic Boom itu berlaku apabila kelajuan pesawat pejuang itu melepasi kelajuan supersonik pada kira-kira 1,223 km sejam (kph)  pada  aras laut. — DSA

 

 

F-15featuredSingapuraSonic Boom
Comments (0)
Add Comment