Tentera Udara Pakistan Terima Pesawat Pejuang Generasi Kelima Buatan China J-35A Tahun Depan ??
Selepas berita kunjungan Ketua Staf Tentera Udara Pakistan tersebar, terdapat laporan yang tidak dapat disahkan di media-media sosial Pakistan menyatakan bahawa Beijing akan mempercepatkan penghantaran pesawat pejuang generasi kelima J-35A kepada Pakistan seawalnya pada tahun depan dan bukan di dalam tempoh dua tahun.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Staf Tentera Udara Pakistan Marshal Udara Zaheer Ahmad Babar berada di Beijing beberapa hari lalu dan kehadiran beliau di ibu negara China itu telah mencetuskan lagi spekulasi hebat tentang perolehan pesawat pejuang generasi kelima, J-35A buatan kuasa besar Asia itu oleh sekutu utamanya di rantau Asia Selatan itu.
Kehadiran orang nombor satu Tentera Udara Pakistan di China yang merupakan penyokong terkuat kepada pemodenan tentera Pakistan berlaku ketika negara jiran dan pesaing utamanya, India mengumumkan perolehan 26 buah pesawat pejuang Rafale Marine dan Rafale B bernilai US$36 billion (RM33.4 billion) untuk Tentera Lautnya.
Menurut laporan oleh Global Times, Zaheer telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan China Dong Jun di Beijing pada 8 April lalu.
Menurut Global Times, pertemuan peringkat tinggi itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama ketenteraan dua hala antara kedua-dua negara di tengah-tengah cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.
Pada akhir tahun lepas, Pakistan dilaporkan bakal memperolehi sebanyak 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A, dengan kesemua pesawat pejuang itu akan diterima oleh Islamabad di dalam tempoh dua tahun.
Ia adalah eksport pertama China bagi pesawat pejuang generasi kelima buatannya kepada mana-mana negara.
Laporan tentang perolehan 40 buah pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu muncul selepas panglima tertinggi Angkatan Tentera China (PLA) Jeneral Zhang Youxia, melawat Islamabad November tahun lepas dan mengadakan perbincangan secara tertutup dengan Panglima Angkatan Tentera Pakistan Jeneral Asim Munir.
Menteri Pertahanan China, Dong Jun telah mengadakan pertemuan di Beijing dengan Ketua Staf Tentera Udara Pakistan, Zaheer Ahmad Babar yang sedang dalam lawatan rasmi. (Global Times)
Kini, selepas berita kunjungan Ketua Staf Tentera Udara Pakistan tersebar, terdapat laporan di media-media sosial Pakistan menyatakan bahawa Beijing akan mempercepatkan penghantaran pesawat pejuang generasi kelima J-35A kepada Pakistan seawalnya pada tahun depan dan bukan di dalam tempoh dua tahun.
Beijing dikatakan menyedari keperluan untuk Islamabad memperolehi pesawat pejuang itu dengan cepat dan bersetuju untuk mempercepatkan penghantarannya.
Perolehan pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu dijangka akan mengubah imbangan kuasa udara di antara Pakistan dan India dengan Islamabad akan mempunyai kelebihan yang besar dalam kuasa udara berbanding India yang masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi ke-empat dan 4.5 seperti Su-30MKI dan Rafale.
Tentera Udara Pakistan memberikan bayangan seawal 2024 tentang rancangannya untuk memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima, J-35A yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa China, Shenyang Aircraft Corporation.
Pada 2024 Zaheer dilaporkan berkata bahawa pesawat J-35A itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara itu “tidak lama lagi.”
“Rundingan telah pun diadakan bagi membolehkan perolehan pesawat J-35A, yang akan menjadi sebahagian daripada Tentera Udara Pakistan tidak lama lagi,” kata beliau pada ketika itu.
J-35A
Malah, media-media Pakistan melaporkan bahawa tentera udara negara itu telah pun menghantar kumpulan juruterbangnya untuk menjalani latihan menerbangkan pesawat pejuang generasi kedua buatan China itu, J-35A.
Kenyataan oleh media-media Pakistan bahawa tentera udara negara itu telah mula menghantar juruterbangnya ke China untuk menerbangkan pesawat pejuang Shenyang J-35A membuktikan bahawa negara Asia Selatan itu sememangnya sedang menuju ke arah pemilikan pesawat pejuang generasi kelima.
Pesawat J-35A yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation, merupakan pesawat pejuang halimunan generasi kelima yang direka untuk operasi udara-ke-udara dan udara-ke-darat.
Perolehan ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Pakistan untuk menggantikan pesawat lama seperti F-16 buatan Amerika Syarikat dan Mirage 5 buatan Perancis yang masih berkhidmat dengan tentera udaranya.
Kemasukan pesawat pejuang generasi kelima J-35A ke dalam inventori Tentera Udara Pakistan juga akan mempekukuhkan lagi kekuatan udara negara itu yang kini turut dilengkapi denhan pesawat pejuang generasi 4.5 J-10C dan JF-17 hasil kerjasama China dan Pakistan.
Perolehan pesawat pejuang generasi kelima J-35A itu akan memperkukuh kerjasama pertahanan antara Islamabad dan Beijing.
J-35A
Keputusan Pakistan untuk memperolehi sehingga 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A akan memberikan kelebihan kepada tentera udara negara itu daripada segi kemampuan kuasa udaranya berbanding kemampuan dimiliki oleh “musuh” tradisinya, India.
Langkah Pakistan itu telah menggusarkan negara jiran dan “musuh tradisinya”, India masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5 seperti Sukhoi Su-30MKI dan Rafale.
Bukan sahaja India terpaksa berhadapan dengan China yang telah pun mengoperasikan pesawat pejuang generasi kelima, J-20, malah ia kini berkemungkinan besar akan berhadapan dengan Pakistan yang akan mengoperasikan pesawat pejuang generasi kelima.
Menurut bekas pegawai kanan Tentera Udara Pakistan Komodor Udara (B) Zia Ul Haque Shamshi, dengan perolehan pesawat pejuang J-35A itu Tentera Udara Pakistan akan mempunyai kelebihan terhadap Tentera Udara India di antara tempoh 12 hingga 14 tahun.
“India tidak dijangkakan akan memperolehi kemampuan pesawat pejuang generasi kelima dalam tempoh itu (12 hingga 14 tahun), sekaligus memberikan kelebihan strategic kepada Tentera Udara Pakistan,” kata beliau.
Pesawat pejuang J-35A itu akan meningkatkan fleksibiliti taktikal Pakistan dan membolehkannya menyelinap masuk lebih dalam di ruang udara musuh.
Perbandingan antara J-35A (atas) dengan F-35 (bawah) buatan Amerika Syarikat.
J-35A merupakan pesawat pejuang pelbagai peranan generasi kelima terkini buatan China yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation (SAC).
Walaupun spesifikasi teknikal rasmi masih terhad, maklumat yang tersedia termasuk:
Reka Bentuk dan Peranan:
J-35A adalah pesawat pejuang halimunan dua enjin yang mampu beroperasi dalam semua keadaan cuaca. Ia direka untuk misi penguasaan udara dan serangan darat. Pesawat ini adalah pesawat pejuang generasi kelima kedua China selepas J-20 “Mighty Dragon.”
Kelajuan:
Laporan menunjukkan bahawa J-35A mampu mencapai kelajuan sehingga Mach 2.0, melebihi kelajuan maksimum F-35 yang hanya Mach 1.6.
Enjin:
Pesawat ini dilengkapi dengan dua enjin, meningkatkan daya tujahan (thrust) dan keupayaan manuvernya.
Ciri Halimunan (Stealth):
J-35A dilengkapi dengan teknologi halimunan canggih, termasuk radar cross section yang dikurangkan dan ruang senjata dalaman untuk meminimumkan pengesanan musuh.
J-35APesawat pejuang J-10C buatan China yang kini digunakan oleh Tentera Udara Pakistan
Avionik dan Sensor:
Pesawat ini dilengkapi dengan avionik dan sistem sensor moden yang direka untuk meningkatkan kesedaran situasi dan keupayaan sasaran.
Varian:
Terdapat dua varian yang dilaporkan: versi darat untuk Tentera Udara Pembebasan Rakyat (PLAAF) dan versi berasaskan kapal pengangkut yang dioptimumkan untuk pelepasan menggunakan catapult bagi Tentera Udara Lautan Pembebasan Rakyat (PLANAF).