(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sayap Serangan ke-15 Tentera Udara Filipina telah menamatkan khidmat dua buah helikopter serang Bell AH-1S Cobra dan dua pesawat pejuang ringan Rockwell OV-10 Bronco terakhir di Pangkalan Udara Major Daniel Atienza di Sangley Point, Cavite City.
Pesawat OV-10 Bronco, yang diperkenalkan pada 12 November 1991, telah berkhidmat dalam Tentera Udara Filipina selama 33 tahun.
Helikopter penyerang AH-1S Cobra, yang merupakan helikopter serangan khusus pertama dalam Tentera Udara Filipina telah disumbangkan oleh Raja Abdullah II dari Jordan dan tiba pada 26 November 2019 untuk menyokong misi keselamatan dalam negeri dan anti-keganasan.
Helikopter penyerang AH-1S Cobra itu pernah dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Jordan dan Tentera Udara Israel.
“Helikopter Cobra memainkan peranan penting dalam pelbagai misi tempur, memberikan Sokongan Udara Rapat (CAS) semasa operasi ‘Oplan Polaris II’ di Baggao, Cagayan, dan turut serta dalam operasi Serangan Udara Medan semasa ‘Operasi Kilo Uno’ di Pantabangan, Nueva Vizcaya,” menurut kenyataan Tentera Udara Filipina.
Manakala, pesawat OV-10 telah memainkan peranan penting dalam mencapai objektif Operasi Thunder Bolt pada tahun 2000, membantu memusnahkan kubu kuat MILF, serta dalam kempen-kempen termasuk misi di Basilan pada 2001 dan serangan di Kepulauan Sulu pada 2006.
Satu majlis khas menandakan persaraan helikopter dan pesawat itu telah diadakan di pangkalan udara tersebut, dihadiri oleh anggota unit, komander formasi dan ketua-ketua di peringkat atasan, krew pesawat yang masih berkhidmat dan yang telah bersara, serta keluarga anggota tentera.
Pesawat pejuang ringan OV-10 Broncos dan helikopter penyerang AH-1S Cobra yang telah ditamatkan perkhidmatannya kini digantikan dengan platform yang lebih moden — helikopter penyerang TAI T129 ATAK serta pesawat EMBRAER A-29B Super Tucano.
Sayap Serangan ke-15 Tentera Udara Filipina mengoperasikan pesawat baru ini, dengan Skuadron Serangan ke-16 “Eagles” menerbangkan A-29B Super Tucano manakala Skuadron Serangan ke-18 “Falcons” mengoperasikan helikopter penyerang T129B yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).
Berikutan penamatan khidmat dua buah pesawat pejuang ringan OV-10 Broncos dan helikopter penyerang Cobra itu, Tentera Udara Filipina akan memperoleh enam pesawat serangan ringan A-29 Super Tucano yang baru bagi memperkukuh misi pengawasan dan memerangi pemberontakan.