(DEFENCE SECURITY ASIA) –Anggota tentera pengaman Malaysia MALBATT 850-12 yang berkhidmat dibawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan akan mula menerima 60 buah kenderaan High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV) pada pertengahan tahun depan.
Perkara itu dinyatakan oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar ketika melawat anggota MALBATT 850-12 di Lubnan.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jenis kenderaan HMLTV yang bakal dibekalkan kepada MALBATT 850-12 yang sedang berkhidmat di Lubnan pada ketika ini.
“Langkah (perolehan 60 buah kenderaan HMLTV) adalah untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan mobiliti pasukan MALBATT, sekali gus membantu mereka dalam menjayakan misi melindungi orang awam dan diri sendiri daripada sebarang ancaman musuh pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Perolehan 60 buah kenderaan HMLTV adalah untuk kegunaan anggota MALBATT di Lubnan itu katanya , untuk memastikan mereka sentiasa bersiap-sedia untuk melaksanakan dengan tugasan yang semakin mencabar di negara itu yang berhadapan dengan serangan oleh pihak tentera Israel.
Laporan sebelum ini menyatakan kos perolehan 60 kenderaan perisai mobility tinggi HMLTV dianggarkan bernilai sekitar RM400 juta.
Mohd Nizam berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke dua kem penting di bawah kawal selia MALBATT di UNP 6-40 Kem Harris dan UNP 6-43 Kem Tibnine di Lubnan, sempena sambutan Hari Raya Adilfitri.
Lawatan tersebut turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin.
PAT juga berkata bahawa situasi di Lubnan adalah semakin sukar dan memerlukan anggota MALBATT sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai situasi yang mencabar.
MALBATT 850-12 berkekuatan seramai 854 anggota terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota LLP termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB)serta seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan.
Komander MALBATT 850-12 adalah Kolonel Johan Effendi bin Hj Mohd Shalleh
Pada April tahun lepas, anggota pengaman Malaysia yang bertugas dengan di Lubnan telah mula menggunakan kenderaan perisai PANTHERA 4×4 (Ejder Yalchin).
Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan menerusi akaun FB ini menyatakan bahawa pasukan pengaman negara (MALBATT 850-11) telah menerima 20 buah kenderaan perisai itu.
Pada April tahun lepas, pasukan pengaman Malaysia di Lubnan telah menerima 20 buah kenderaan PANTHERA 4×4 (Ejder Yalchin) buatan syarikat Turkiye bagi menggantikan kenderaan perisai RPZ Condor yang telah digunakan oleh Tentera Darat sejak sekian lama.
Kementerian Pertahanan memperolehi 20 buah kenderaan perisai PANTHERA bernilai RM190 juta daripada Turkiye untuk menggantikan kenderaan perisai CONDOR.
Kenderaan perisai Panthera 4×4 buatan syarikat dari Turkiye, Nurol Makina itu mula diperkenalkan di Malaysia pada 2018 dan telah menjalani pelbagai ujian di Malaysia tidak lama dahulu bersama-sama beberapa pesaingnya.
Kenderaan perisai PANTHERA memiliki berat di antara 12 tan hingga 14 tan dan mampu pelbagai muatan seberat 4 tan.
Kenderaan perisai ini mampu memecut sehingga 110 km/jam dengan radius operasi sejauh 600km menggunakan enjin 300 kuasa kuda.
Panthera berkemampuan membawa sehingga 11 orang anggota tentera lengkap bersenjata.
Kenderaan perisai itu juga boleh dilengkapi dengan persenjataan mesingan berat dan Automatic Grenade Launcher menggunakan Remote Control Weapon System (RCWS).
— DEFENCE SECURITY ASIA