Tentera Israel Kekurangan Peluru dan Anggota, Jeneralnya Mahukan Gencatan Senjata Dengan Hamas

Sebagaimana dilaporkan oleh akhbar terkemuka Amerika Syarikat, New York Times, kumpulan pemimpin tentera Israel itu mahukan kerajaan Netanyahu bersetuju dengan gencatan senjata dengan Hamas bagi membolehkan kira-kira 120 orang tebusan warga negara Yahudi yang kini ditahan oleh kumpulan pejuang itu dapat dibebaskan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sekumpulan 30 orang pemimpin tentera Israel dipanggil “General Staff Forum” mahukan kerajaan negara itu yang dipimpin oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu supaya bersetuju dengan desakan supaya diadakan gencatan senjata dengan pejuang Hamas.

Pendirian yang diambil oleh “General Staff Forum” yang dilaporkan turut disertai oleh  Ketua Staf Angkatan Tentera Israel (IDF) Lt Jeneral Herzi Halevi itu bertentangan dengan pendirian Netanyahu yang menentang keras sebarang gencatan senjata dengan Hamas.

Sebagaimana dilaporkan oleh akhbar terkemuka Amerika Syarikat, New York Times, kumpulan pemimpin tentera Israel itu mahukan kerajaan Netanyahu bersetuju dengan gencatan senjata dengan Hamas bagi membolehkan kira-kira 120 orang tebusan warga negara Yahudi yang kini ditahan oleh kumpulan pejuang itu dapat dibebaskan.

“Tentera Israel menyokong penuh dengan perjanjian tebusan dan gencatan senjata,” menurut Eyal Hulata yang berkhidmat sebagai penasihat keselamatan Israel sehingga awal tahun lepas.

Selain itu, General Staff Forum Israel itu juga berpendapat bahawa tentera Israel kini berhadapan dengan pelbagai kekurangan selepas bertempur dengan pejuang Hamas selama kira-kira sembilan bulan sejak bulan Oktober tahun lepas.

Merkava MBT

 

Mereka berpendapat gencatan senjata dengan Hamas itu akan membolehkan anggota tentera Israel “berehat” dan melengkapkan semula angkatan tentera negara itu sebelum mereka terlibat dengan peperangan yang jauh lebih besar dengan kumpulan Hezbollah di selatan Lubnan.

Tentera Israel kini berhadapan dengan masalah kekurangan peluru, alat-alat ganti untuk kereta kebal, jentolak dan kereta perisai, berbanding dengan keadaan sebelum ini.

Kebanyakkan kereta-kereta kebal Israel yang bertugas di Semenanjug Gaza tidak membawa jumlah peluru yang mencukupi kerana angkatan tentera negara itu mahu menjimatkan peluru kereta kebal untuk peperangan dengan Hezbollah, menurut dua anggota tentera Israel yang dipetik oleh New York Times itu.

“Gencatan senjata dengan Hamas juga akan memudahkan usaha untuk mencapai sebarang persetujuan dengan Hezbollah,” menurut seorang pegawai keselamatan Israel yang tidak dinamakan kepada akhbar Amerika Syarikat itu.

Kumpulan bersenjata Hezbollah sebelum ini telah menyatakan bahawa mereka akan terus menyerang tentera Israel selagi tentera Yahudi itu tidak menamatkan serangan ganas mereka di Semenanjung Gaza, yang sehingga kini telah mengorbankan lebih daripada 37,000 orang, kebanyakkannya penduduk awam.

Selain berhadapan dengan kekurangan peluru dan alat ganti, tentera Israel juga berhadapan dengan kekurangan anggota tentera dengan laporan ramai dikalangan anggota tentera simpanannya tidak melapor diri untuk bertugas.

Ramai dikalangan anggota tentera simpanan Israel dikatakan telah bertugas untuk suatu tempoh yang lama di perbatasan dan kini sudah kehilangan motivasi, selain moral berada ditahap terendah untuk meneruskan tugasan mereka di barisan hadapan.

Menurut laporan rasmi yang dikeluarkan oleh angkatan tentera Israel, sejak konflik dengan Hamas tercetus pada Oktober tahun lepas, sebanyak 300 orang anggota tentera negara itu telah terbunuh manakala lebih 4,000 mengalami kecederaan.

Bagaimanapun penganalisis menyatakan bahawa bilangan anggota tentera Israel yang terbunuh dan cedera itu adalah jauh lebih ramai daripada apa yang dilaporkan secara rasmi oleh tentera negara itu.

Beberapa hari lalu, akhbar berbahasa Hebrew Israel “Maariv” melaporkan bahawa kira-kira 500 buah kenderaan perisai milik tentera Israel mengalami kerosakan akibat dibedil oleh pejuang Palestin sejak konflik di Semenanjung Gaza tercetus pada Oktober pada tahun lepas.

Akhbar Israel itu berkata bahawa beberapa dozen daripada kenderaan perisai itu yang rosak tidak boleh diperbaiki lagi dan dilupuskan daripada perkhidmatan angkatan tentera negara itu.

Pejuang Hamas

 

Akhbar Maariv Israel itu juga melaporkan bahawa anggota tenteranya yang bertanggungjawab memindahkan kenderaan-kenderaan itu ke Semenanjung Gaza berada di dalam keadaan yang tertekan daripada segi fizikal dan mental.

“Sekiranya anggota tentera Israel itu dipanggil untuk berperang di selatan  Lubnan, mereka akan berada di sana (selatan  Lubnan) tetapi mereka tidak akan berada di dalam keadaan yang baik,” kata akhbar itu. — DSA

featuredHamasHezbollahIsrael