Tentera Amerika Tingkat Misi Mengintip Di Laut China Selatan

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Amerika Syarikat telah meningkatkan misi-misi pengintipan oleh pesawatnya di Laut China Selatan,  ketika ketegangan diantaranya dengan China memuncak berhubung beberapa isu termasuk pemilikan terhadap Laut China Selatan itu sendiri dan Taiwan.

Menurut sebuah badan pemikir Beijing dikenali dengan nama “South China Sea Probing Initiative” (SCSPI) di dalam laporannya berkata,  bulan lepas sahaja tentera Amerika Syarikat telah melakukan 60 penerbangan pengintipan di Laut China Selatan.

SCSPI itu berpusat di Universiti of Peking.

Anggaran 60 penerbangan pengintipan oleh pesawat-pesawat Amerika Syarikat itu pula adalah anggaran konservatif kerana ada dikalangan pesawat terbabit menyamar “Hex Code” (Kod Identifikasi ICAO) sebagai pesawat awam.

Pesawat Rivet Joint ketika melakukan “air-to-air-refuelling” dengan pesawat pengisi minyak. (sumber internet)

Badan pemikir itu berkata, 41 daripada 60 penerbangan pengintipan itu dilakukan di Laut China Selatan, enam penerbangan di Laut China Timur dan 13 penerbangan di Laut Kuning.

“Terdapat peningkatan di dalam operasi pengisian minyak di pengkalan tentera Amerika di Guam,” kata SCSPI, sambil menambah ia menunjukkan tempoh sesuatu misi pengintipan di Laut China Selatan kini adalah lebih panjang.

Katanya, pesawat-pesawat pengintip dikesan menukar “Hex Code” kepada pesawat awam ketika di dalam penerbangan untuk mengelakknya daripada dikesan oleh radar China.

Salah satu daripada insiden itu melibatkan pesawat pengintip RC-135S “Rivet Joint”  yang menyamar sebagai sebuah pesawat awam milik Malaysia ketika ia terbang berhampiran dengan ruang udara China beberapa bulan lepas.

Pesawat itu menyamar sebagai sebuah pesawat awam milik Malaysia dengan menukar Kod Transpondernya dipercayai untuk mengutip data-data saintifik tentang ujian peluru berpandu yang sedang dijalankan oleh China di Laut Kuning (Yellow Sea).

Keadaan di dalam pesawat Rivet Joint. (sumber internet)

Kod Transponder itu adalah identifikasi yang berdaftar dengan ICAO (International Civil Aviation Organisation) dan setiap pesawat awam mempunyai Hex Code tersendiri.

Pesawat pengintip Amerika itu dipercayai menutup kod transponder asalnya dan menyamar kod milik pesawat lagi bagi tujuan mengabui radar pihak yang memantaunya.

Dalam kejadian itu, pesawat RC-135S (Rivet Joint) Amerika Syarikat itu berlepas daripada pengkalan udara Kadena di Jepun dan menuju ke Laut Kuning sebelum secara tiba-tiba menukar kod transpondernya kepada pesawat awam Malaysia.

“Pesawat awam Malaysia” itu berlegar-legar di ruang udara Laut Kuning selama enam jam sebelum berpatah balik ke Okinawa.

Pesawat “awam Malaysia” itu juga dikenalpati terbang di Laut Bohai untuk meninjau latihan peluru berpandu China.

Pesawat pengintip yang menyamar itu juga didapati terbang ke Pulau Paracel dan Hainan selama beberapa jam.

Pada ketika itu tentera China telah melancarkan dua buah peluru berpandu balistik jarak sederhana (Middle Range Ballistic Missile) dari utara dan timur negara itu ke perairan berhampiran Pulau Paracel dan Pulau Hainan.

China dipercayai melancarkan dua peluru berpandu balistik sebagai amaran kepada Amerika Syarikat. (sumber internet)

Peluru-peluru berpandu itu dipercayai daripada jenis DF-21D yang juga dipanggil “Aircraft Carrier Killer”.

Tetapi penyamaran Hex Code ini bukan sahaja melibatkan tentera Amerika Syarikat sahaja.

Pada 2019, sebuah drone milik Iran dipercayai menggunakan kod transponder pesawat lain untuk terbang hampir dengan Dubai dalam misi pemantauan tanpa ditembak jatuh.

Pada 23 Sept 2019, sebuah pesawat RC – 135U milik Amerika didakwa telah menggunakan kod transponder milik pesawat New Zealand untuk terbang hampir dengan Semenanjung Crimea.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

AmerikaChinaHex CodeICAOPengintipPesawat