Hanya Empat Helikopter Super Lynx Masih Beroperasi, TLDM Mahu Peroleh Helikopter Baru

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bercadang menggantikan enam buah helikopter Super Lynx Mk300 yang dioperasinya pada ketika ini dengan helikopter yang lebih berkeupayaan bagi membolehkan Unit Udara TLDM melaksanakan pelbagai misi.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengoperasikan enam buah helikopter Super Lynx Mk300 sejak tahun 2003 dan pada tahun ini usia helikopter terbabit sudah pun mencecah 20 tahun.

Dalam temuramahnya dengan akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan semalam, Panglima TLDM Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, pada ketika ini hanya empat helikopter Super Lynx Mk300 itu masih beroperasi.

“TLDM kini mengendalikan empat daripada enam pesawat (helikopter) untuk operasi peranan maritim bagi menyokong keperluan operasi dan latihan armada.”

“Dua (buah) lagi diletakkan di bawah Penyimpanan Jangka Panjang (LTS) disebabkan tiada sokongan keperluan lojistik pesawat,” menurut Abdul Rahman di dalam temuramah terbabit.

Beliau juga berkata, helikopter Super Lynx Mk300 itu akan digantikan dan ia semestinya akan meningkatkan keupayaan unit udara TLDM bagi operasi tertentu.

Dari segi perolehan kata Panglima TLDM, terdapat kemungkinan angkatan itu mendapatkan helikopter itu menerusi kaedah sewa apabila perkhidmatan helikopter Super Lynx Mk300 yang kini menjangkau usia 20 tahun dihentikan secara berperingkat.

Helikopter Super Lynx telah dibangunkan oleh syarikat Augusta Westland (dahulu dikenali sebagai GKN Westland Helicopter).

Varian tentera laut helikopter terbabit merupakan helikopter pelbagai guna untuk operasi peperangan anti-permukaan (anti-surface), peperangan anti-kapal selam (anti-submarine warfare), mencari dan menyelamat serta pelbagai operasi lain.

Sejumlah 200 buah helikopter Super Lynx beroperasi dengan 11 buah tentera lau di seluruh dunia dan pernah terlibat dalam beberapa konflik di serata dunia termasuk Operation Iraqi Freedom 2003.

Helikopter Super Lynx boleh membawa pelbagai sistem persenjataan termasuklah empat butir peluru berpandu “Sea Skua” untuk operasi pemusnahan ancaman permukaan pada jarak sederhana dan jauh, sebagaimana yang digunakan oleh TLDM.

Selain Malaysia, tentera-tentera laut negara lain yang melengkapkan helikopter Super Lynx dengan peluru berpandu “Sea Skua” termasuklah United Kingdom, Bahrain dan Jerman yang mempunyai jarak operasi sejauh 25km jika digandingkan dengan radar Seaspray.

Selain itu, Super Lynx juga boleh dilengkapi dengan depth charges dan torpedo untuk misi peperangan anti-kapal selam.

Helikopter Super Lynx memiliki dua enjin Rolls Royce.

AW159 Wildcat

Antara nama-nama helikopter yang berpotensi dipilih oleh TLDM untuk menggantikan Super Lynx miliknya adalah AW159 “Wildcat” yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo.

Helikopter AW159 Wildcat merupakan helikopter paling berkemampuan untuk dimiliki, moden dan lincah untuk digunakan bagi misi-misi peperangan anti-kapal selam dan peperangan anti-permukaan di seluruh dunia.

Selain itu, ia juga boleh melaksanakan operasi-operasi Intelligence, Surveillance, Target Acquisition and Reconnaissance (ISTAR), pemintasan maritime dan lain-lain lagi.

Helikopter AW159 Wildcat juga telah dipilih oleh Tentera Laut Korea Selatan dan Tentera Laut Filipina. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Abdul Rahman AyobAW159 WildcatfeaturedPanglimaSuper LynxTLDM
Comments (0)
Add Comment