(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Russia mendakwa peluru berpandu kruis “Storm Shadow” yang dibekalkan oleh Britain kepada Ukraine telah gagal berfungsi dengan baik di medan pertempuran, menyifatkannya sebagai tidak lebih hanyalah “besi buruk”.
“Kehebatan peluru berpandu kruis Storm Shadow hanya digembar-gemburkan tanpa kebenaran dan semakin banyak peluru berpandu itu gugur tanpa menyebabkan sebarang letupan.”
“Kesemua besi-besi buruk yang Britain bekalkan kepada Ukraine selepas dicairkan, akan dijadikan bahan asas untuk kerja-kerja pemulihan di wilayah-wilayah baru.”
“Dan mikrocip-mikrocip yang dikeluarkan daripada roket-roket itu kemungkinan akan dipasang di dalam mesin basuh,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Russia sebagai reaksi balas terhadap kenyataan oleh Panglima Angkatan Tentera United Kingdom Laksamana Tony Radakin sebelum itu.
Radakin dalam kenyataannya berkata konflik di Ukraine telah menyebabkan tentera Russia kehilangan separuh daripada kemampuan kombatnya.
“Sejak terjadinya peperangan di Ukraine pada Februari tahun lepas, tentera Russia telah kehilangan 2,500 kereta kebal dan paling baik, industri pertahanan Russia hanya boleh membina 200 kereta kebal dalam satu tahun,” kata beliau.
Kementerian Pertahanan Russia menyifatkan kenyataan Radakin itu suatu penipuan dan propaganda serta bertujuan untuk mendapatkan peruntukan kewangan yang besar daripada kerajaan negeri itu untuk menggantikan senjata-senjata usang yang dihantar ke Ukraine.
Pada Mei, Menteri Pertahanan Russia Sergey Shoigu dalam satu sidang media berkata anggota tenteranya telah berjaya menembak jatuh sejumlah 29 buah peluru berpandu Storm Shadow dalam tempoh sebulan operasi ketenteraannya di Ukraine.
Menteri Pertahanan United Kingdom Ben Wallace pula memuji prestasi peluru berpandu Storm Shadow yang dibekalkan negara itu kepada Ukraine, dengan menyatakan bahawa peluru berpandu kruis itu membedil sasaran Russia dengan kadar ketepatan yang tinggi.
Katanya, peluru berpandu Storm Shadow telah memberikan kesan yang besar di medan peperangan, menyebabkan kecelaruan dikalangan tentera Russia.
“Ketepatan Storm Shadow dan kemampuan Ukraine untuk melancarkannya adalah tanpa berhadapan dengan sebarang masalah,” kata beliau.
Peluru berpandu “Storm Shadow” adalah peluru berpandu kruis lancaran udara (air-launched cruise missile – ALCM) hasil usahasama tiga buah negara itu United Kingdom, Perancis dan Itali.
Juga dikenali sebagai SCALP EG (Système de Croisière Autonome à Longue Portée – Emploi Général), peluru berpandu itu telah dibuat oleh firma pertahanan Eropah, MBDA.
Dianggarkan bernilai 2 juta pound (RM11 juta) setiap sebuah, peluru berpandu jarak jauh itu amat dinanti-nantikan oleh Ukraine setelah Amerika Syarikat enggan memberikannya peluru berpandu jarak jauh “ATACMS” yang dilancar menggunakan sistem pelancar HIMARS.
Peluru berpandu “Storm Shadow” boleh membedil sasaran sejauh 560km atau 300 Batu Nautika bagi membolehkan ia mensasarkan sasaran strategik.
Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan baru-baru ini mendakwa pesawat-pesawat tentera udaranya telah melaksanakan operasi memusnahkan gudang-gudang menyimpan peluru berpandu kruis “Storm Shadow” yang dibekalkan oleh United Kingdom.
Serangan yang dilakukan oleh pesawat pengebom Tu-95MS Tentera Udara Russia itu dilaksanakan pada 23 Jun terhadap gudang-gudang yang berada di dalam sebuah pangkalan udara Ukraine berhampiran dengan perkampungan Starokostyantyniv di wilayah Khmelnytskyi.
Serangan terhadap pangkalan udara Ukraine itu adalah sebagai balasan serangan peluru berpandu kruis “Storm Shadow” oleh pesawat pejuang Ukraine terhadap jambatan menyeberangi Selat Chongar di Crimea beberapa hari lalu. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com