STM Turkiye Nyatakan Komitmen Terus Sokong Usaha Bangunkan Industri Pertahanan Malaysia

Dalam posting di Facebooknya itu, Menteri Pertahanan juga menyatakan bahawa pengurus besar STM itu berada di Malaysia untuk menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan bagi pembelian tiga buah kapal LMS Batch II untuk TLDM itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menerima kunjungan syarikat pertahanan Türkiye, Savunma Teknolojileri Mühendislik ve Ticaret A.Ş. (STM) yang bertanggungjawab membina tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pertahanan menerusi akaun Facebooknya hari ini. STM diwakili oleh pengurus besarnya, Özgür Güleryüz.
“Pada Jun yang lalu, saya telah menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima pembelian 3 buah Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch II oleh Kerajaan Malaysia kepada STM, salah sebuah syarikat di bawah Secretariat of Defence Industries (SSB) dan Kerajaan Türkiye.
“Tentera Laut Diraja Malaysia dijadualkan menerima kapal-kapal ini secara berperingkat, bermula pada 2027,” kata Mohamed Khaled.
Dalam posting di Facebooknya itu, Menteri Pertahanan juga menyatakan bahawa pengurus besar STM itu berada di Malaysia untuk menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan bagi pembelian tiga buah kapal LMS Batch II untuk TLDM itu.
(Kredit FB Mohamed Khaled)
“Özgür Güleryüz berada di Malaysia untuk menandatangani kontrak berkenaan pembelian 3 buah LMS Batch 2 tersebut dan kesempatan ini digunakan untuk mengadakan pertemuan dan membincangkan tentang potensi kerjasama dengan STM pada masa akan datang. “
“STM telah menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha-usaha negara membangunkan industri pertahanan tempatan,” kata beliau.
Kapal-kapal LMS Batch II milik TLDM yang sedang dibina di Turkiye berkemampuan melaksanakan pelbagai tugasan di perairan.
Memandangkan ia akan dilengkapi dengan suite sensor dan persenjataan serta kawalan serta pemerintahan (Command and Control) yang canggih, maka, ketiga-tiga buah buah kapal LMS Batch II milik TLDM itu berkemampuan melaksanaan pelbagai tugasan ketika berada di perairan.
Ia boleh melaksanakan tugasan Anti-Peperangan Kapal Selam (ASUW), Anti-Peperangan Udara (AAW), Peperangan Tidak Simetri (ASYW) dan Peperangan Elektronik (EW).
(kredit FB Mohamed Khaled)
Pembinaan dan usaha melengkapkan kapal-kapal itu akan dilakukan di Turkiye dengan pembabitan mendalam syarikat-syarikat pertahanan negara itu.
Syarikat STM daripada Turkiye itu akan menggunakan produk-produk industri pertahanan Turkiye seperti  Combat Management System, 76 mm Gun Fire Control System yang akan dibekalkan oleh syarikat HAVELSAN.
Manakala 3D Search Radar, Fire Control Radar, IFF, 30mm Gun, ESM dan Chaff Decoy System dan sensor elektronik yang lain akan dibekalkan oleh syartikat ASELSAN.
Manakala sistem peluru berpandu anti-kapal ATMACA akan dibekalkan oleh syarikat ROKETSAN.
Kapal-kapal LMS Batch II TLDM itu juga akan dilengkapi dengan sistem pertahanan udara jarak dekat dan torpedo untuk peperangan bawah permukaan.
Kapal korvet kelas-ADA Tentera Laut Turki
Kapal-kapal LMS Batch II milik TLDM itu akan dibina berdasarkan reka bentuk kapal korvet kelas-ADA yang dibangunkan oleh STM untuk Tentera Laut Turkiye, Pakistan dan Ukraine sebelum ini, yang telah menunjukkan kememapuan dan keberkesanannya di medan antarabangsa.
Ketiga-tiga buah kapal LMS Batch II milik TLDM yang akan dibina oleh STM itu memiliki panjang 99 meter dan berat lebih 2,500 tan setiap sebuah.
Ia berkemampuan membawa 111 anak kapal, bergerak dengan kelajuan kruis 14 knot untuk dengan radius operasi 4000 Batu Nautika. — DSA

 

featuredKhaledLMSSTM
Comments (0)
Add Comment