Syarikat STM Dari Turkiye Bakal Bina Kapal LMS Batch Kedua TLDM?

Baru-baru ini, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata TLDM mensasarkan untuk menyelesaikan semua keperluan dokumen kontrak berkenaan perolehan tiga buah kapal LMS Batch Kedua sebelum pertengahan tahun ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat STM daripada Turkiye “sudah hampir pasti” akan menjadi pilihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi program pembinaan tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch Kedua.

Perkara itu dimaklumkan oleh sumber-sumber industri kepada Defence Security Asia.

Perolehan kumpulan pertama tiga buah kapal LMS Batch Kedua yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih daripada RM2 billion itu dilakukan secara Government-to-Government (Kerajaan-kepada-Kerajaan).

Kontrak pembinaan tiga buah LMS Batch II untuk TLDM akan dimeterai tahun ini manakala lima buah lagi akan dibina pada Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030), menjadikan keseluruhan kapal LMS Batch 2 yang bakal dimiliki oleh TLDM kepada lapan buah.

Sebelum ini laporan media menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan sedang melakukan “due diligence” (audit) terhadap beberapa syarikat pembina kapal Turkiye sebelum memutuskan syarikat mana yang akan membina kapal-kapal LMS Batch 2 kepada TLDM.

Kapal korvet Tentera Laut Turkiye daripada kelas-Ada.

 

Baru-baru ini, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata TLDM mensasarkan untuk menyelesaikan semua keperluan dokumen kontrak berkenaan perolehan tiga buah kapal LMS Batch Kedua sebelum pertengahan tahun ini.

Kementerian Kewangan menurut beliau telah meluluskan permohonan perolehan tiga buah kapal LMS Batch Kedua untuk TLDM.

“Sebaik Surat Niat (LOI) dikeluarkan, rundingan Teknikal Spesifikasi dan Klausa Kontrak akan diadakan antara TLDM dengan firma terpilih. TLDM menyasarkan untuk menyelesaikan semua keperluan dokumen kontrak berkenaan sebelum pertengahan tahun ini,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh media-media tempatan.

Kementerian Pertahanan sebelum ini menyatakan bahawa sejumlah RM235 juta diperuntukkan di bawah Belanjawan 2024 untuk memulakan proses pembinaan tiga buah kapal LMS Batch 2 dengan syarikat pembina kapal Turkiye itu.

TLDM sudah pun memiliki empat buah kapal LMS Batch 1 yang diperolehinya daripada China.

Berbanding dengan empat buah kapal LMS Batch 1 yang hanya dilengkapi meriam kecil, lapan buah kapal LMS Batch Kedua yang bakal dibina itu bukan sahaja bersaiz lebih besar tetapi ia juga dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal.

Kapal korvet kelas-ADA Tentera Laut Turki, TCG Kinaliada (F 514)

 

Ura-ura menyatakan kapal-kapal LMS Batch Kedua itu bakal dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal “Naval Strike Missile” (NSM).

Sumber-sumber industri memberitahu Defence Security Asia sebelum ini bahawa, syarikat-syarikat pembina kapal Turkiye yang sedang dinilai oleh Kementerian Pertahanan itu adalah STM,Dearsan Shipyard, ASFAT dan TAIS Shipyard  yang mengemukakan beberapa rekabentuk kapal LMS Batch 2 untuk memenuhi keperluan TLDM.

Syarikat STM dilaporkan telah mengemukakan rekabentuk kapal korvel kelas-Ada.

Kapal korvet kelas-Ada ini merupakan kapal korvet anti-kapal selam dan peronda yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Turki dibawah program pembinaan kapal perang kebangsaan, MILGEM.

Kapal korvet kelas-Ada ini dijana oleh sistem Combined Diesel and Gas (CODAG) terdiri daripada satu gas turbin dan dua gas diesel bagi membolehkan kapal mencapai kelajuan maksimum 30 knot dan beroperasi pada radius 3,500 batu nautika dalam kelajuan 15 knot.

Ia boleh membawa 93 orang krew kapal.

Peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang dijangka akan melengkapi kapal-kapal LMS Batch Kedua TLDM.

 

Dengan panjang keseluruhan kapal 99.56 meter, kapal korvet kelas-Ada memiliki berat 2,400 tan.

Kapal dilengkapi dengan sistem pengurusan peperangan “GENESIS” yang dibangunkan oleh sebuah lagi syarikat pertahanan Turki iaitu, HAVELSAN, Electronic Chart Precise Integrated Navigation System (ECPINS), Integrated Platform Management System (IPMS), SMART-S Mk2 search radar, X-band radar dan fire control radar. 

Manakala daripada segi persenjataan pula, ia dilengkapi dengan meriam Oto Melara 76mm Super Rapid, dua Remote Control Weapon System (RCWS) 12.7mm dan lapan pelancar peluru berpandu anti-kapal Harpoon atau Atmaca yang dibangunkan oleh Turki sendiri. (peluru berpandu anti-kapal akan digantikan dengan NSM jika syarikat STM dipilih)

Kapal kelas-Ada juga dilengkapi dengan peluru berpandu anti-pesawat, RIM-116 Rolling Airframe Missile (RAM) dan dua pelancar torpedo 324 mm Mk. 46. — DSA

 

 

featuredLMSSTMTLDM
Comments (0)
Add Comment