SPRM Hadapi Kekangan Dlm Siasatan Kapal Littoral Combat Ship (LCS) TLDM

Sehingga 31 Oktober tahun lepas, pembinaan enam buah kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus mengikut jadual asal. Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion itu telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengakui bahawa ia  berhadapan dengan kekangan dalam siasatannya berkenaan dakwaan unsur rasuah melibatkan perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya berkata pihaknya perlu mendapatkan dokumen berusia sedekad memandangkan kes LCS bermula antara 2009 dan 2011.

Selain itu, dia berkata SPRM perlu menjalankan siasatan melalui bantuan bersama dalam perkara jenayah untuk berurusan dengan syarikat dan entiti asing.

“Setakat ini, kami telah membuka tiga kertas siasatan dan siasatan masih diteruskan,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini pada sidang media selepas menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.

“Tuan-tuan juga harus faham bahawa kekangan yang kita hadapi kerana usaha yang kita ambil untuk mendapatkan dokumen (lama) kerana kes itu bermula pada 2009, 2010 dan 2011.”

Kapal LCS “Maharajalela” walaupun hampir siap, tetapi ia kini “tersadai.”

 

“Dan, kes itu melibatkan beberapa syarikat asing dan entiti luar negara. Jadi kita perlu ambil masa. Kita perlu menjalani prosedur dan saluran perundangan yang digelar mutual legal assistance in criminal matter,” katanya.

Tambahnya, SPRM perlu bekerjasama dengan pihak berkaitan di negara tersebut.

“Jadi, beri kami lebih masa untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Pada akhir bulan lepas, media-media tempatan melaporkan bahawa SPRM telah menahan dua orang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal LCS terbabit. 

Mereka yang berusia 79 dan 49 tahun ditahan selepas hadir bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM, lewat petang semalam.

Jurucakap SPRM, berkata kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

 

“Seorang daripada mereka juga disyaki menerima rasuah daripada sub-kontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek itu,” katanya.

Menurut akhbar Berita Harian Online, ia difahamkan dengan penahanan itu SPRM menemui petunjuk baharu untuk terus melakukan siasatan terhadap kontrak perolehan enam kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang dilaksanakan oleh Boustead Naval Shipyard.

Siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa ia mensasarkan pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang pertama untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya akan siap sepenuhnya pada tahun 2025, iaitu kira-kira 12 tahun selepas projek pembinaan kapal-kapal perang tercanggih TLDM itu bermula.

Gambar terbaru kapal LCS terbaru (kredit BNS)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Menurut Menteri Pertahanan itu lagi, sehingga 31 Oktober tahun lepas kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan. — DSA

featuredLCSSPRMTLDM
Comments (0)
Add Comment