Sistem Pertahanan Pesisir Pantai “Rubezh-ME” Russia Buat Penampilan Antarabangsa Pertama di Vietnam
Kehadiran sistem peluru berpandu pertahanan pesisir pantai Rubezh-ME buatan Russia itu pada pameran pertahanan di negara Asia Tenggara itu dipercayai adalah percubaan Moscow untuk menarik perhatian Vietnam untuk memperolehi sistem itu.
By
admin on Disember 19, 2024
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Agensi pengeksport senjata Russia, Rosoboronexport akan menampilkan sistem peluru berpandu pertahanan pesisir pantai Rubezh-ME pada Pameran Pertahanan Antarabangsa Vietnam 2024 yang akan berlangsung di Lapangan Terbang Gia Lam, Hanoi pada 19 hingga 22 Dis ini.
Ia adalah kali pertama Russia menampilkan sistem peluru berpandu pertahanan pesisir pantai itu kepada masyarakat antarabangsa.
Kehadiran sistem peluru berpandu pertahanan pesisir pantai Rubezh-ME buatan Russia itu pada pameran pertahanan di negara Asia Tenggara itu dipercayai adalah percubaan Moscow untuk menarik perhatian Vietnam untuk memperolehi sistem itu.
Pada ketika ini, India sedang berusaha bersungguh-sungguh mempromosi sistem berpeluru berpandu anti-kapal pesisir pantai BrahMos kepada Vietnam, tetapi masih belum berhasil sehingga kini.
Angkatan Tentera Vietnam memiliki sistem pertahanan pesisir pantai Bastion-P buatan Russia.
Sistem peluru berpandu pertahanan pesisir pantai Rubezh-ME itu adalah sistem peluru berpandu pertahanan pantai yang baru dari Russia yang dibangunkan khas untuk pasaran eksport.
Seperti namanya, ia boleh dianggap sebagai pengganti kepada sistem pertahanan pantai Rubezh (nama kod Barat SSC-3 atau Stryx).
Rubezh-ME menggunakan peluru berpandu anti-kapal Kh-35UE yang mempunyai jarak bedilan sehingga 260 km.
Kenderaan pelancar sistem ini berasaskan casis trak tentera KamAZ-6350 dan mampu membawa empat peluru berpandu Kh-35UE dalam bekas kontena.
Sistem Rubezh-ME, yang dipasang pada casis trak KamAZ, terdiri daripada unit pelancar (PU), pusat kawalan (KP), dan beberapa radar yang diletakkan pada platform yang sama.
Radar aktif sistem pertahanan pesisir pantai itu berkemampuan mengesan sasaran pada jarak sehingga 500 km, manakala radar pasif boleh mengesan pada jarak sehingga 250 km.
Jarak bedilan peluru berpandu sistem Rubezh-ME adalah sehingga 260 km untuk versi eksport dan sehingga 500 km untuk model yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Rusia.
Peluru berpandu KH-35UE yang menjadi senjata utama Rubezh-ME, adalah peluru berpandu anti-kapal subsonik (RCC) dengan panjang 4.4 meter dan membawa kepala peledak seberat 145 kg.
Ia mampu membedil kapal permukaan sehingga seberat 5,000 tan menggunakan sistem panduan yang menggabungkan inertial navigation, satelit guidance, dan radar.
Peluru berpandu ini terbang pada altitud rendah, sekitar 10 meter di atas permukaan air, dan menurun kepada 3-4 meter pada fasa akhir sebelum menghampiri sasaran.
Ini menjadikannya sukar untuk dikesan dan dipintas.
Versatiliti peluru berpandu ini juga membolehkan ia memusnahkan sasaran strategik di darat seperti jambatan dan kemudahan ketenteraan.
Tahap automasi yang tinggi dalam sistem pertahanan pesisir pantai Rubezh-ME ini membolehkan peluru berpandu disiapkan untuk dilancarkan dalam masa kurang daripada satu minit, dengan kawalan dikendalikan oleh seorang operator sahaja.
Berbanding dengan sistem yang sama sebelum ini, Bal, Rubezh-ME menawarkan reka bentuk yang lebih ringan, kos yang lebih rendah, dan modulariti yang lebih baik.
Tidak seperti Bal, yang menggunakan platform berasingan untuk radar, kawalan, dan pelancar, sistem pertahanan pantai Rubezh-ME mengintegrasikan semua komponen ini dalam satu platform sahaja. — DSA