Sistem Peperangan Elektronik (EW) Pakistan Jamming, Jatuhkan Dron Berani Mati WARMATE India

Dijatuhkan oleh sistem EW dengan keadaan yang hampir sempurna itu membolehkan pihak tentera Pakistan menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan penyelidikan terhadpa dron berani mati WARMATE dengan lebih mudah dan seterusnya melakukan “reverse engineering” jika terdapat keperluan untuk melakukannya.
Sistem Peperangan Elektronik (EW) Pakistan Jamming, Jatuhkan Dron Berani Mati WARMATE India
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menggunakan kaedah “soft kill”,  sistem peperangan elektronik canggih tentera Pakistan berjaya memintas dan menjatuhkan dron berani mati WARMATE keluaran Poland yang digunakan oleh tentera India dalam serangan terhadap Lahore.
Dron berani mati WARMATE tentera India itu dijatuhkan dalam keadaan tidak mengalami sebarang kerosakan (fully intact) berhampiran Lapangan Terbang Lahore.
Dijatuhkan oleh sistem EW dengan keadaan yang hampir sempurna itu membolehkan pihak tentera Pakistan menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan penyelidikan terhadpa dron berani mati WARMATE dengan lebih mudah dan seterusnya melakukan “reverse engineering” jika terdapat keperluan untuk melakukannya.
Tentera India menggunakan dron berani mati untuk menyerang beberapa infrastruktur ketenteraan Pakistan ketika konflik kedua-dua negara itu meletus beberapa hari lalu, sebelum gencatan senjata dimeterai.
Media-media sosial Pakistan telah menunjukkan gambar dan video dron berani mati WARMATE milik tentera India yang berjaya “ditawan” oleh Pakistan itu selepas ia berjaya dijatuhkan menerusi kaedah “soft kill” sistem pertahanan elektronik.
Menurut mereka dron WARMATE keluaran Poland digunakan tentera India itu tidak dilengkapi dengan kepada peledak dan berkemungkinan ia digunakan untuk tujuan Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR).
Pakistan telah membangunkan dan memperoleh pelbagai sistem peperangan elektronik (EW) bagi menyokong operasi ketenteraannya, khususnya untuk menangani ancaman moden dari India serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan, keupayaan pertahanan udara dan perlindungan aset ketenteraan.
WARMATE
WARMATE
Pakistan telah mengimport atau membangunkan bersama sistem gangguan elektronik mudah alih (electronic countermeasure) dengan China yang mampu:
  • Mengganggu isyarat komunikasi musuh, sistem GPS dan radar pesawat.
  • Menyediakan keupayaan menafikan ruang udara secara taktikal serta melaksanakan operasi penyamaran semasa pertempuran udara atau darat.
Melalui organisasi penyelidikan dan pembangunan pertahanannya seperti DESTO (Defence Science and Technology Organization), Pakistan dilaporkan telah membangunkan sistem berasaskan darat yang berfungsi untuk:
  • Pengumpulan maklumat isyarat elektronik (SIGINT).
  • Pemintasan komunikasi musuh (COMINT).
  • Menyokong pasukan tentera darat dalam operasi di kawasan altitud tinggi, khususnya di sekitar wilayah Kashmir dan Gilgit-Baltistan.
India dilaporkan telah secara senyap-senyap memperkenalkan sistem dron berani mati atau juga dikenali sebagai “loitering munition” WARMATE ke dalam inventori ketenteraan taktikalnya yang semakin berkembang.
Langkah ini menunjukkan peralihan strategi ketara ke arah penggunaan sistem serangan autonomi yang lebih menjimatkan kos, khususnya di kawasan operasi berisiko tinggi.
Dibangunkan oleh syarikat WB Electronics dari Poland itu, dron berani mati WARMATE merupakan dron ringan dan mudah dibawa yang direka untuk melaksanakan misi peninjauan serta serangan tepat ke atas sasaran musuh.
Sistem EW Pakistan
Dron berani mati ini mampu memusnahkan anggota tentera musuh, kenderaan ringan serta kedudukan pertahanan dengan tahap keberkesanan tinggi.
WARMATE turut mengisi kekosongan antara dron mikro dan dron berani mati yang bersaiz lebih besar seperti HAROP buatan Israel atau Switchblade dari Amerika Syarikat, menjadikannya pilihan lebih murah dan boleh digunakan segera oleh unit infantri, pasukan khas serta anggota-anggota tentera yang ditempatkan di kawasan sensitif seperti Line of Actual Control (LAC) dengan China dan sempadan barat dengan Pakistan.
Dengan berat sekitar 5.7 kilogram dan bukaan sayap 1.6 meter, WARMATE boleh dilancarkan secara manual atau melalui pelancar pneumatik serta boleh dilengkapi dengan kepala peledak letupan tinggi atau termobarik, bergantung kepada keperluan operasi.
Sebaik sahaja berada di udara, dron ini akan melaksanakan peninjauan menggunakan sistem elektro-optik dan inframerah bagi mengenal pasti, menjejak serta mengesahkan sasaran sebelum menjunam ke arah sasaran dan meletup dengan ketepatan tinggi.
Kemampuan ini menjadikannya sangat sesuai untuk misi yang memerlukan pengesahan manusia sebelum serangan, terutama di kawasan bandar dan pergunungan yang kompleks.
Sumber ketenteraan India memaklumkan bahawa WARMATE kini sedang digunakan oleh unit-unit elit seperti Para Special Forces dan formasi infantri yang beroperasi di kawasan altitud tinggi di Ladakh, di mana sokongan udara konvensional sering terhalang akibat bentuk muka bumi dan keadaan cuaca.
WARMATE
Perancang ketenteraan India melihat penggunaan dron berani mati seperti WARMATE sebagai elemen penting dalam penguasaan taktikal.
Sistem ini membolehkan serangan dilancarkan dari jarak jauh tanpa perlu mempertaruhkan nyawa juruterbang atau mendedahkan aset bernilai tinggi seperti pesawat pejuang dan helikopter tempur kepada bahaya.
Penggunaan WARMATE ini juga sejajar dengan usaha lebih besar India untuk menggabungkan sistem pesawat tempur tanpa pemandu (UCAS) ke dalam doktrin ketenteraan gabungan mereka.
Langkah ini diambil berdasarkan pengajaran penting daripada konflik bersenjata di Nagorno-Karabakh pada tahun 2020 serta perang yang masih berlangsung di Ukraine, di mana dron berani mati terbukti memainkan peranan yang sangat berkesan dalam medan perang moden.
Berikut adalah spesifikasi teknikal dan maklumat harga bagi dron berani mati WARMATE yang digunakan oleh India:
Spesifikasi Teknikal Dron WARMATE
  • Panjang Badan: 1.1 meter
  • Bukaan Sayap: 1.6 meter
  • Berat Kosong: 4.0 kg
  • Berat Maksimum Berlepas (MTOW): 5.7 kg
  • Kelajuan Pelayaran: 80 km/j
  • Kelajuan Maksimum Semasa Serangan: 150 km/j
  • Julat Operasi (Line-of-Sight): 30 km
  • Tempoh Penerbangan Maksimum: 60 minit
  • Ketinggian Operasi: 150–300 meter dari aras tanah
  • Ketinggian Maksimum: 3,000 meter dari aras laut
  • Sistem Pendorong: Motor elektrik
  • Ketepatan Serangan (CEP): 1.5 meter
WARMATE
Jenis Kepala Peledak
WARMATE boleh dilengkapi dengan pelbagai jenis kepala peledak mengikut keperluan misi:
  • HE-FRAG: Letupan tinggi dengan serpihan, mengandungi 300g TNT, sesuai untuk sasaran infantri dan kenderaan ringan.
  • HEAT: Peledak anti-armor dengan kemampuan penembusan 200–240 mm perisai keluli homogen (RHA), berkesan terhadap kenderaan berperisai.
  • Termobarik: Menghasilkan letupan volumetrik, sesuai untuk memusnahkan kubu atau sasaran dalam ruang tertutup.
Harga seunit WARMATE, termasuk kepala peledak, dianggarkan sekitar $12,000 USD (kira-kira RM56,000 mengikut kadar tukaran semasa).
India dilaporkan telah memperoleh lebih daripada 100 unit dron ini untuk digunakan oleh pasukan khas dan unit infantri di kawasan berisiko tinggi seperti sempadan dengan China dan Pakistan.
— DEFENCE SECURITY ASIA

IndiaLahorePakistanSistem EWWARMATE
Comments (0)
Add Comment