Hanya Lima Tahun Selepas Ditauliah, Kapal LCS Amerika USS Sioux City Dipaksa “Bersara”

Ia adalah “persaraan” terbaru bagi kapal Littoral Combat Ship (LCS) kelas-Freedom milik Tentera Laut Amerika Syarikat yang dikategorikan oleh pegawai-pegawai kanan tentera laut dan Jabatan Pertahanan negara itu sebagai tidak berkemampuan berdepan dengan kapal-kapal perang Russia dan China atau kapal perang negara lain.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun baru hanya lima tahun berkhidmat, namun Tentera Laut Amerika Syarikat memutuskan untuk menamatkan khidmat kapal Littoral Combat Ship (LCS) kelas-Freedom miliknya  “USS Sioux City” yang menelan belanja ratusan juta Dollar Amerika untuk membinanya.

Majlis penamatkan khidmat kapal LCS bermasalah itu telah diadakan dalam di Naval Station Mayport, Florida beberapa hari lalu.

Ia adalah “persaraan” terbaru bagi kapal LCS kelas-Freedom milik Tentera Laut Amerika Syarikat yang dikategorikan oleh pegawai-pegawai kanan tentera laut dan Jabatan Pertahanan negara itu sebagai tidak berkemampuan berdepan dengan kapal-kapal perang Russia dan China atau kapal perang negara lain.

Kapal-kapal LCS kelas-Freedom dibangunkan untuk berkhidmat selama 25 tahun dengan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Ketika mula dibangunkan, kapal-kapal LCS kelas-Freedom disifatkan sebagai “masa depan” untuk Tentera Laut Amerika Syarikat tetapi kini berhadapan dengan pelbagai masalah berkaitan dengan modul misinya, enjin dan keretakan serius pada kapal-kapal LCS kelas-Freedom dan juga kelas-Independence.

Jurucakap Naval Surface Force Atlantik Tentera Laut Amerika Syarikat Lt Komander David Carter pihak tentera laut terpaksa membuat keputusan yang sukar berkenaan pelaburan pada masa depan.

“ Untuk mengekalkan kelebihan strategik terutama di bawah tekanan fiscal, adalah penting supaya Tentera Laut Amerika Syarikat untuk mengkaji semula struktur kekuatan dan menamatkan kemampuan yang tidak lagi memberikan kelebihan kepada Tentera Laut Amerika Syarikat, kata beliau.

Sejak memasuki perkhidmatan Tentera Laut Amerika Syarikat pada 2019, kapal LCS kelas-Freedom USS Sioux City telah dikerah ke tugasan dan misi luar negara sebanyak empat kali bermula pada tahun 2020 hingga 2022.

Pada tahun lepas, kapal perang itu dikerah untuk melaksanakan misi-misi dianggap “bersejarah” di kawasan perairan yang berada di bawah tanggungjawab Armada Kelima (Timur Tengah)  dan Armada Keenam (Eropah) Tentera Laut Amerika Syarikat.

Tentera Laut Amerika Syarikat mengumumkan hasrat mereka untuk menamatkan khidmat USS Sioux City dan lapan buah kapal LCS kelas-Freedom yang lain pada tahun lepas, dalam usaha untuk menjimatkan peruntukan kewangan untuk program-program yang lain.

Ia secara tidak langsung suatu pengakuan bahawa kapal-kapal LCS kelas-Freedom gagal melaksanakan tugasnya sebagaimana yang telah direncanakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat.

Selain menamatkan khidmat kapal-kapal LCS kelas-Freedom walaupun usianya masih “muda”, Tentera Laut Amerika Syarikat  bercadang menamatkan perkhidmatan lebih separuh daripada 19 buah kapal LCS kelas-Independence berikutan masalah keretakan yang serius, berpunca daripada “structural defects” pada kapal-kapal perang terbabit.

Masalah “keretakan serius” yang menimpa kapal-kapal LCS itu disifatkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat sebagai amat memalukan bagi negara yang memilki industri pembinaan kapal perang yang moden, selain mengakibatkannya kerugian berbilion-bilion dollar. 

Masalah keretakan yang serius itu menyebabkan kapal-kapal LCS Tentera Laut Amerika Syarikat hanya mampu belayar tidak melebih 15 knot.

Kapal LCS kelas-Independence Tentera Laut Amerika Syarikat.

 

Ia juga tidak boleh belayar ketika keadaan laut dengan ombak melebihi lapan meter tingginya.

Jikalau kapal-kapal terbabit melanggar syarat-syarat terbabit, maka masalah keretakan pada badan kapal itu akan hanya menjadi lebih serius dan boleh mengakibatkannya berhadapan dengan kemungkinan yang lebih berbahaya sehingga mengancam nyawa anak-anak kapalnya.

Kapal-kapal LCS kelas-Independence dibina menggunakan aluminium dengan rekabentuk Trimaran serta mempunyai kelajuan yang tinggi mencecah 44 knot bagi membolehkan ia dikerah ke kawasan operasi dengan pantas. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredFreedomKapal PerangLCSSioux City
Comments (0)
Add Comment