Serangan Udara Israel Gagal Selepas F-35 Adir Di “Lock On” oleh Radar Pertahanan Udara Iran

Baru-baru ini, maklumat-maklumat perisikan daripada Israel menyatakan bahawa punca utama mengapa serangan udara oleh Israel terhadap Iran pada 25 dan 26 Okt lalu hanya mendatangkan "kesan yang terhad" adalah disebabkan kemampuan sistem pertahanan udara Iran. Sistem pertahanan udara Iran dikatakan telah berjaya mengagalkan serangan udara pesawat pejuang Israel itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 25 dan 26 Oktober yang lalu, Israel telah melancarkan serangan udara terhadap beberapa lokasi ketenteraan penting di Iran, sebagai membalas serangan lebih daripada 200 peluru berpandu ballistik oleh Teheran terhadap negara Yahudi itu.
Bagaimanapun, para penganalisis antarabangsa mendakwa hasil serangan udara oleh Israel itu dikatakan amat terhad, dengan hanya lokasi ketenteraan diakui mengalami kerosakan kecil akibat bedilan-bedilan peluru berpandu balistik lancaran udara.
Penganalisis terbabit dikatakan keliru dengan “serangan terhad” oleh Israel yang didakwa dilakukan oleh kira-kira 100 buah pesawat pejuang canggih Tel Aviv dan ramai telah mengemukakan teori untuk memberikan alasan tentang “kegagalan” Tel Aviv untuk menyebabkan kemusnahan besar-besaran terhadap Iran.
Banyak pihak di Israel dan Amerika Syarikat mendakwa Israel telah dengan sengaja melaksanakan “serangan udara terhad” terhadap Iran, kononnnya kerana desakan Washington yang tidak mahu konflik di antara Teheran dan Tel Aviv itu menjadi lebih buruk, terutamanya beberapa minggu sebelum pilihan raya presiden Amerika Syarikat.
Maklumat yang dibocorkan oleh agensi-agensi perisikan Amerika Syarikat, National Security Agency (NSA) dan National Geospatial-Intelligence Agency dikatakan telah memberikan kesan terhadap tahap serangan udara yang akan dilakukan oleh Israel.
Pesawat pejuang F-15 Israel membawa peluru berpandu ballistik “Blue Sparrow”
Namun baru-baru ini, maklumat-maklumat perisikan daripada Israel menyatakan bahawa punca utama mengapa serangan udara oleh Israel terhadap Iran pada 25 dan 26 Okt lalu mengalami “kesan yang terhad” adalah berikutan kemampuan sistem pertahanan udara Iran.
Sistem pertahanan udara Iran dikatakan telah berjaya mengagalkan serangan udara pesawat pejuang Israel itu.
“Laporan daripada Israel menyatakan bahawa pesawat-pesawat pejuang halimunan F-35 “Adir” milik Tentera Udara Israel mendapat mereka telah di “lock on” oleh radar sistem pertahanan udara Iran semasa mereka berada di ruang udara Iraq ketika dalam penerbangan menuju ke sempadan Iran.”
“Pada ketika itu, pesawat-pesawat halimunan Israel beberapa ratus kilometer daripada sempadan Iraq-Iran.”
Laporan perisikan yang menggunakan sumber-sumber di Israel itu menyatakan bahawa sistem pertahanan udara buatan Russia dan Iran boleh menembak jatuh pesawat-pesawat pejuang Israel itu pada jarak yang amat jauh ketika pesawat halimunan kebanggaan negara Yahudi itu masih berada di luar ruang udara Teheran.
S-300 Iran
“Pesawat-pesawat pejuang Israel itu berkemungkinan besar berada ratusan batu daripada sasaran-sasaran yang telah dikenalpastinya di Iran, di penghujung jarak kemampuan peluru berpandu ballistik lancaran udara (Air Launched Ballistic Missile – ALBM) “Rocks” dan “Blue Sparrow” yang bakal digunakan untuk memusnahkan lokasi-lokasi radar pertahanan udara Iran.”
Kemampuan radar-radar sistem pertahanan udara Iran dalam mengesan pesawat-pesawat pejuang halimunan Israel itu sememangnya memeranjatkan Tentera Udara Israel, sehingga memaksa mereka melancarkan peluru berpandu tersebut dan terus berpatah-balik ke negara Yahudi itu.
“Ia amat memeranjatkan Israel sehingga menyebabkan mereka melancarkan peluru berpandu ALBM itu sebelum berada pada kedudukan yang optima sebagaimana dirancang sebelum itu dan berpatah-balik ke Israel,” menurut laporan perisikan daripada Israel itu.
Pesawat-pesawat pejuang Israel terutamanya F-35 “Adir’ tidak pernah di “lock-on” oleh radar pertahanan udara Iran atau Russia sebelum ini dan ini amat memeranjatkan kepimpinan ketenteraan Israel.
Sistem pertahanan udara “Khordad” Iran
 Sistem pertahanan udara buatan Russia seperti S-300 yang dioperasikan oleh Iran dan sistem pertahanan negara itu buatan tempatan yang lain telah menunjukkan kemampuan mereka dalam menangani serangan udara dilaksanakan oleh pesawat-pesawat pejuang halimunan Israel.
Pada April lalu, Russia dan Iran dikatakan telah memeta keseluruhan jaringan sistem pertahanan udara Israel sehingga membolehkan ia melancarkan serangan peluru berpandu ballistik  terhadap Israel yang diperakui banyak pihak sebagai amat berjaya.  — DSA

 

 

 

 

 

featuredIranIsraelRadar