Sejak Lima Tahun, 81 Peratus Keperluan Senjata Pakistan Dibekalkan oleh China
Di dalam tempoh lima tahun itu, sebanyak 63 peratus daripada keseluruhan eksport senjata China ke seluruh dunia telah pergi ke Pakistan dengan nilai keseluruhannya import senjata Pakistan daripada China mencapai nilai sebanyak US$5.28 billion (RM23.2 billion)
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak lima tahun yang lalu, China merupakan pengeksport senjata terbesar kepada Pakistan dengan negara kuasa Asia itu membekalkan kira-kira 81 peratus daripada keperluan senjata Islamabad, mengesahkan lagi status Beijing sebagai “penyokong terkuat” kepada Islamabad dalam percaturan geopolitik di rantau Asia Selatan.
Di dalam tempoh lima tahun itu, sebanyak 63 peratus daripada keseluruhan eksport senjata China ke seluruh dunia telah pergi ke Pakistan dengan nilai keseluruhannya import senjata Pakistan daripada China mencapai nilai sebanyak US$5.28 billion (RM23.2 billion)
Laporan oleh Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) oleh itu juga menyatakan ia adalah peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding lima tahun sebelum ini (2015 hingga 2020) apabila 74 peratus keperluan senjata Pakistan dibekalkan oleh China.
Peningkatan keupayaan industri pertahanan dan keselamatan China serta hubungan yang semakin erat dengan Pakistan turut memperkukuh pengaruh Beijing di rantau Asia Selatan, sekaligus mewujudkan persaingan yang kian sengit dengan Amerika Syarikat.
Menurut pusat pemikir antarabangsa berpangkalan di Sweden itu, di dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini Pakistan telah membeli pelbagai jenis senjata moden daripada China daripada dron-dron jarak jauh dan kapal-kapal friget Type 054A.
China telah menjadi pembekal utama senjata kepada Pakistan sejak tahun 1990-an.
Namun, ketegangan di antara Pakistan dengan India – khususnya selepas beberapa insiden pertempuran di kawasan sempadan kedua-dua negara tercetus pada 2016 – telah mendorong Islamabad untuk meningkatkan belanjawan pertahanannya, sekali gus mengeratkan lagi hubungannya pertahanan dan keselamatannya dengan Beijing.
Pesawat pejuang J-10CE Tentera Udara Pakistan
Selain meningkatkan hubungan pertahanan dengan Beijing, Islamabad turut mengeratkan hubungan ekonominya dengan negara kuasa Asia itu.
Antara kerjasama pertahanan paling besar di antara Pakistan dan China sejak beberapa tahun kebelakangan ini melibatkan kapal selam.
Kedua-dua negara telah menandatangani perjanjian pada 2015 untuk pembinaan lapan buah kapal selam kelas-Hangor dengan empat buah daripada kapal selam itu dibina di limbungan kapal KS&EW di Pakistan dibawah pemindahan teknologi manakala empat lagi kapal selam itu dibina oleh Wuchang Shipbuilding Industri di China.
China telah menyerahkan kapal selam pertama daripada lapan unit Hangor II kepada Pakistan pada April tahun lalu, dalam perjanjian bernilai kira-kira AS$5 bilion (RM22 billion) – salah satu kontrak ketenteraan terbesar yang pernah dimeterai oleh Beijing.
Kapal selam kelas-Hangor adalah varian eksport bagi kapal selam Type 039A/041 kelas-Yuan yang kini dioperasikan oleh Tentera Laut China.
Kelapan-lapan kapal selam terbabit perlu dihantar kepada Tentera Laut Pakistan sebagai operatornya di antara tahun 2022 dan 2028, sebagaimana syarat kontrak yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara.
Kapal selam Type 039A (kelas-Hangor) yang bakal dimiliki oleh Tentera Laut PakistanKapal friget kelas Type 054A kelas-Tughril
Berdasarkan pangkalan data SIPRI, antara pesanan utama Pakistan daripada China dalam tempoh lima tahun lalu termasuk kapal perisik (Intelligence Gathering Ship) pertamanya dinamakan PNS Rizwan dan lebih daripada 600 kereta kebal utama VT-4, serta pesawat pejuang generasi 4.5 J-10CE.
Memiliki panjang keseluruhan 87 meter, kapal pengintip milik Pakistan itu PNS Rizwan itu dilengkapi tiga radome besar dipercayai menempatkan radar-radar berkuasa tinggi serta pelbagai sensor yang lain di kesemua sudut kapal itu untuk tujuan mencerap pelbagai data dan maklumat perisikan.
Selain bertindak sebagai kapal pengintip, PNS Rizwan itu juga beroperasi sebagai kapal yang mengumpul data-data pelancaran peluru berpandu ballistik terutama melibatkan negara-negara yang menjadi perhatiannya seperti India dan Iran.
Beberapa tahun lalu, Pakistan telah menandatangani kontrak dengan China untuk pembelian 679 kereta kebal tempur utama (MBT) VT4, yang akan dipasang dan dihasilkan secara berlesen di Pakistan di bawah nama baru, Haider.
Antara peralatan ketenteraan China yang digunakan oleh Tentera Darat Pakistan termasuk kereta kebal tempur utama seperti Al-Khalid (versi Pakistan bagi Type 90-II dan Type 85-IIAP), selain kenderaan perisai, meriam bergerak (self propelled howitzer), peluru berpandu anti-kereta kebal, sistem pertahanan udara, senjata ringan, serta dron.
Pada 2022 juga, Pakistan mengumumkan bahawa ia telah memperolehi 25 buah pesawat pejuang J-10CE secara “senyap-senyap” daripada China.
Menteri Dalam Negeri Pakistan ketika itu Sheikh Rasheed Ahmad berkata perolehan 25 buah pesawat J-10 oleh Pakistan daripada China itu merupakan usaha Islamabad untuk bersaing dengan 36 buah pesawat dua enjin Rafale buatan Perancis yang diperolehi oleh seteru utamanya, India.
Selain pesawat pejuang J-10C, pada Disember tahun lepas Pakistan turut dilaporkan bakal memperolehi sebanyak 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A, dengan kesemua pesawat pejuang itu akan diterima oleh Islamabad di dalam tempoh dua tahun.
Ia adalah eksport pertama China bagi pesawat pejuang generasi kelima buatannya kepada mana-mana negara.
Laporan tentang perolehan 40 buah pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu muncul selepas panglima tertinggi Angkatan Tentera China (PLA) Jeneral Zhang Youxia, melawat Islamabad dan mengadakan perbincangan secara tertutup dengan Panglima Angkatan Tentera Pakistan Jeneral Asim Munir.
Pakistan juga memiliki helikopter penyerang Z-10ME buatan China
Perolehan pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu dijangka akan mengubah imbangan kuasa udara di antara Pakistan dan India dengan Islamabad akan mempunyai kelebihan yang besar dalam kuasa udara berbanding India yang masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi ke-empat dan 4.5 seperti Su-30MKI dan Rafale.
J-35A merupakan pesawat pejuang generasi kelima kedua buatan China selepas J-20 “Mighty Dragon”, yang tidak dibenarkan dieksport ke luar negara kerana sensitiviti komponen dan teknologinya.