Pengoperasian KD Sri Sabah, KD Sri Sarawak Oleh TLDM Hanya Langkah Interim

Pengoperasian KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK di armada TLDM merupakan langkah interim bagi memenuhi keperluan operasi di lapangan yang semakin mencabar dan bukan sebahagian pelan pembangunan aset jangka panjang.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini telah diadakan upacara penamaan dan pentauliahan Patrol Craft (PC) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK di Jeti Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob telah membaca Perintah Pentauliahan sebagai simbolik Pentauliahan Kapal.

Beliau menyatakan bahawa pengoperasian KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK di armada TLDM merupakan langkah interim. 

Ini bagi memenuhi keperluan operasi di lapangan yang semakin mencabar dan bukan sebahagian pelan pembangunan aset jangka panjang yang memfokuskan kepada perolehan aset-aset baharu. 

Dipetik sebagai berkata oleh media-media tempatan dalam sidang media selepas itu, beliau berkata, “Pada 10 Jun 2020, apabila APMM berhasrat tidak mengoperasikan semula dua kapal ini, mereka menyerahkannya kepada TLDM.

“Kita ambil pendekatan baharu apabila dua kapal ini dibaik pulih secara menyeluruh bagi membolehkan ia beroperasi untuk memenuhi keperluan operasi TLDM.

Panglima TLDM (kredit TLDM)

 

“Sebahagian besar daripada kapal ini ditukar dengan kepingan besi yang baharu terutama kuasa gerak termasuk enjin dan gear.

“Oleh itu, tiada lagi kapal jenis PC yang akan dibaik pulih dan ketika ini hanya empat yang ada iaitu KD Sri Sabah, KD Sri Sarawak, KD Sri Perlis dan KD Sri Johor.

“Kita jangkakan KD Sri Sabah dan KD Sarawak akan dapat beroperasi selama tempoh 15 tahun sebelum ia dilupuskan. Kejayaan membaik pulih kedua-dua kapal yang berusia melebihi 50 tahun ini amat dibanggakan,” katanya.

Berdasarkan perancangan, dua kapal itu akan ditempatkan di perairan Sabah timur bagi keperluan operasi maritim di kawasan perairan sempit dan cetek.

Selain itu, ia juga akan digunakan sebagai platform latihan dan operasi.

(kredit Bernama)

 

Inisiatif warga Navy People pada tahun 2019 seterusnya komitmen limbungan MSET Corporation Sdn Bhd di Kuala Terengganu melaksanakan refit secara extensive membolehkan KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK berwajah baharu. 

Ini membuktikan bahawa industri pertahanan maritim tempatan mempunyai keupayaan dan berpotensi untuk berkembang maju.

Warga TLDM wajar berbangga dengan inisiatif “handover” iaitu pindah milik dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kedua-dua PC, “makeover” (refit) dan “changeover” (penamaan dan pentauliahan), di mana mampu mendokong keperluan operasi yang semakin meningkat. Semoga ianya menjadi inspirasi kepada warga Navy People agar terus berusaha untuk memastikan TLDM terus maju jaya.  — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

featuredKD Sri SabahSri SarawakTLDM
Comments (0)
Add Comment