(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika ini, dua buah negara Eropah, Belanda dan Denmark telah pun menyuarakan kesediaan untuk memindahkan pesawat-pesawat pejuang F-16 milik mereka kepada Ukraine bagi menangani “penguasaan udara” oleh pihak Russia.
Belanda dilapor bakal memindahkan pesawat-pesawat F-16 miliknya pada awal tahun depan.
Bagaimanapun, usaha terbaru Ukraine untuk menggunakan pesawat-pesawat F-16 buatan Amerika Syarikat untuk menguasai ruang udara dalam konfliknya dengan Russia mungkin akan digagalkan oleh varian terbaru sistem pertahanan udara S-400.
Varian terbaru sistem pertahanan udara S-400 ini akan menggunakan peluru berpandu pemintas kelas 40N6 yang dipertingkatkan keupayaannya dan telah pun menunjukkan keberkesanannya dalam konflik yang berlaku di Ukraine pada ketika ini.
“Sistem pertahanan udara S-400 kini menggunakan peluru berpandu pemintas kelas 40N6 mampu menembak jatuh sasaran pada jarak yang lebih jauh, adalah sistem paling canggih di dunia dan dilengkapi dengan homing head dengan kemampuan yang unik.”
“Sistem pertahanan udara S-400 dengan peluru berpandu kelas 40N6 serta digandingkan dengan pesawat amaran awal A-50U boleh menyerang sasaran termasuk sasaran yang bergerak dalam kelajuan tinggi pada altitud yang rendah,” menurut sumber kepada media pertahanan Russia.
Sistem pertahanan udara S-400 dengan peluru berpandu pemintas canggih, 40N6 mampu menyerang pesawat-pesawat F-16 yang bakal dioperasikan oleh Ukraine sebaik sahaja berlepas dan naik ke altitud sekiranya ia beroperasi daripada pangkalan-pangkalan udara hadapan (forward airfields) di Ukraine.
Sumber itu memberitahu media Russia bahawa sistem pertahanan udara S-400 dilengkapi dengan peluru berpandu “istimewa” bersama pesawat-pesawat pejuang termasuk Su-30 dan Su-35 akan “memusnahkan” F-16 milik Ukraine itu.
Sementara itu agensi berita Sputnik memberitahu bahawa sistem pertahanan udara S-400 telah menarik perhatian pemerhati apabila ia menggunakan peluru berpandu pemintas kelas baru, 40N6.
Sistem pertahanan udara S-400 dengan peluru berpandu khas 40N6 itu berjaya memintas sasaran pada jarak yang maksimum dengan menggunakan data yang disalurkan oleh pesawat amaran awal A-50U yang bertindak sebagai “mata magis.”
Pakar-pakar sistem pertahanan udara menyatakan bahawa peluru berpandu pemintas 40N6 akan meledak ke aras altitude sangat tinggi selepas dilancarkan sebelum menjunam ke aras di mana sasaran itu berada.
Ini memberikan peluru berpandu itu kemampuan menakjubkan untuk membolehkannya memintas sasaran pada altitude rendah.
Peluru berpandu kelas 40N6 adalah peluru berpandu pemintas buatas Russia, direkabentuk untuk kegunaan sistem pertahanan udara S-400 dan S-500 dan boleh menyerang sasaran sehingga pada jarak 380km dan pada aras yang rendah.
Sebelum ini, sistem pertahanan udara S-400 menggunakan peluru berpandu pemintas hanya mampu menangani sasaran pada jarak 150km, memberikannya kemampuan yang terhad dalam menangani pesawat-pesawat pejuang Ukraine.
Dengan peluru berpandu pemintas 40N6, sistem pertahanan udara S-400 itu mampu menangani sasaran pada jarak dua kali ganda daripada sebelumnya.
Kementerian Pertahanan Russia bercadang untuk memperolehi lebih daripada 1,000 peluru berpandu pemintas terbarunya, 40N6 pada tahun-tahun akan mendatang ini.
Pemerhati menyatakan bahawa sekiranya Russia menghasilkan peluru berpandu pemintas terbarunya, 40N6 secara besar-besaran, ia akan memberikan “cabaran yang besar” kepada pesawat-pesawat pejuang Ukraine dan pada masa yang sama meningkatkan kemampuan Russia untuk menguasai dan mengawal ruang udara.
Bagaimanakah pesawat pejuang Ukraine termasuk F-16 akan beroperasi sekiranya ruang udara dikuasai dan dikawal oleh Russia menerusi gabungan sistem pertahanan udara S-400 dengan peluru berpandu pemintas terbaru, 40N6 dan pesawat-pesawat pejuangnya? — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com