(VIDEO) Russia “Tayang” Kilang Pembuatan Dron Berani Mati “Shahed” Miliknya

(VIDEO) Baru-baru ini, saluran-saluran telegram ketenteraan Russia telah menayangkan video kilang pembuatan dron berani mati “Shahed” yang banyak digunakan oleh negara itu dalam konfliknya dengan Ukraine. Dron berani mati "Shahed" yang dibangunkan oleh Iran itu juga dikenali sebagai "Geranium" atau "Geran" oleh Russia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, saluran-saluran telegram ketenteraan Russia telah menayangkan video kilang pembuatan dron berani mati “Shahed” yang banyak digunakan oleh negara itu dalam konfliknya dengan Ukraine.

Dron berani mati yang asalnya dibangunkan oleh Iran itu juga dipanggil “Geranium” atau “Geran” oleh Russia.

Kilang menghasilkan dron berani mati “Shahed” itu dipercayai dibina di sebuah kawasan bernama Yelabuga yang terletak di dalam wilayah Tatarstan, tidak jauh daripada Moscow.

Media Russia menganggarkan kilang membuat dron “Shahed” di Yelabuga itu berkemampuan menghasilkan sehingga 1,600 buah dron berani itu dalam tempoh sebulan bagi menyokong operasi ketenteraan negara itu di Ukraine pada ketika ini.

Pakar-pakar Russia juga dipercayai telah mengubahsuai dan meningkatkan kemampuan dron-dron berani mati “Shahed” itu bagi membolehkan ia lebih berkesan untuk membedil sasaran di Ukraine, selain memastikan ia sukar dipintas.

Dalam video yang ditayangkan itu, kelihatan pekerja-pekerja di kilang itu sedang menyiapkan ratusan dron berani mati “Shahed” yang adanya dicat warna putih dan ada yang berwarna hitam itu di kilang terbabit.

Pemerhati menyatakan kemungkinan warna hitam itu adalah lapisan (coating) bagi memastikan dron-dron berani mati sukar untuk dikesan oleh radar-radar pertahanan awam pihak tentera Ukraine.

Ia juga berkemungkinan Russia sengaja memberikan ia warna hitam supaya ia lebih senang menyelusup masuk kebandar-bandar Ukraine pada waktu malam, tanpa dapat dikesan oleh pandangan mata kasar penduduk mahupun tentera negara itu.

Jurucakap tentera udara Ukraine Yuriy Ihnat sebelum ini dipetik berkata,   selain mengecatnya dengan warna hitam, Russia turut melakukan beberapa penambahbaikan terhadap dron-dron berani mati “Shahed” dibekalkan oleh Iran itu bagi membolehkan ia berjaya melaksanakan misi pengebomannya di Ukraine.

Antaranya adalah menggunakan bahan komposit seperti karbon pada dron “Shahed” itu.

Barisan dron-dron “Shahed” berwarna hitam.

 

“Karbon dikenalpasti sebagai bahan yang menyerap signal radar dan ia menyukarkan lagi radar-radar sistem pertahanan udara kami untuk mengesannya (Shahed) di dalam radar manakala warna hitam pula adalah untuk mengabui penglihatan anggota  kami,” kata beliau.

Ia menyukarkan anggota kami yang bersenjatakan mesingan daripada menembak jatuh dron-dron “Shahed” itu.

Daripada video yang ditayangkan itu, pihak negara itu lebih menumpukan untuk menghasilkan dron-dron berani mati daripada varian “Shahed-136” yang berkemampuan untuk menyerang sasaran pada jarak yang lebih jauh iaitu sehingga 1,000km.

Russia dilapor mula menggunakan dron-dron berani mati “Shahed” dibekalkan oleh Iran pada September tahun lepas untuk menyerang bandar-bandar serta infrastruktur Ukraine.

Iran dilapor telah memberikan bantuan teknikal kepada Russia bagi membolehkannya membina kemudahan pembinaan dron berani mati “Shahed” di bandar Yelabuga itu.

Russia telah menggunakan dron-dron berani mati Iran seperti Shahed-131, Shahed-136 dan Mohajer untuk menyerang pelbagai sasaran di Ukraine seperti bangunan,infrastruktur awam termasuk janakuasa elektrik, pusat simpanan minyak dan lain-lain lagi.

Pegawai Amerika Syarikat menyatakan kemampuan pelbagai dron buatan Iran telah meningkat dengan mendadak sejak 2014, bermula daripada penggunaannya oleh militan Houthi Yemen disokong Teheran dalam serangan-serangan terhadap kemudahan minyak dan gas milik syarikat Saudi Aramco sehinggalah kepada serangan dron terhadap kapal-kapal komersial yang melalui perairan Teluk Parsi.

Walaupun dron-dron berani mati buatan Iran ini memiliki ketepatan yang rendah,tetapi berjaya “menakutkan” tentera dan orang awam Ukraine daripada segi psikologi.

Dron-dron berani mati keluaran Iran juga dikatakan berjaya menampung kekurangan senjata dan peluru dialami oleh tentera Russia akibat konflik berintensiti tinggi yang berterusan untuk tempoh lebih daripada setahun.

Diberi gelaran “moped” atau “skuter” disebabkan bunyi nyaringnya, dron berani mati Shahed-136 yang dibangunkan oleh Iran Aircraft Manufacturing (HESA) itu berkemampuan terbang sejauh diantara 1,000km hingga 2,200km.

Di muncung dron berani mati, ia dilengkapkan dengan bahan letupan seberat 50kg.

Shahed-136 mempunyai panjang keseluruhan 3.5 meter,berat 200kg manakala enjin buatan China membolehkan dron berani mati Iran itu terbang selaju 185km sejam. — DSA

 

featuredIranRussiaShahedYelabuga