Russia “Selongkar” Dasar Laut Hitam Cari Dron Perisikan MQ-9 Reaper Milik Amerika

Pegawai daripada ROSTEC State Corp yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri persenjataan dan teknologi tinggi Russia itu mengesahkan bahawa bangkai dron perisikan MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat di dasar Laut Hitam amat menarik perhatian industri pertahanan negara itu dan usaha mencari serta menaikkannya ke permukaan perlu dilakukan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal-kapal serta aset tentera Russia disahkan telah pun berada di lokasi di Laut Hitam di mana dron perisikan MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat terhempas baru-baru ini dalam usaha untuk menaikkannya daripada dasar laut perairan yang dipercayai mempunyai kedalaman sehingga 1,500 meter.

Pegawai daripada ROSTEC State Corp yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri persenjataan dan teknologi tinggi Russia mengesahkan bahawa bangkai dron perisikan MQ-9 Reaper di dasar Laut Hitam amat menarik perhatian industri pertahanan negara itu.

“Sudah tentu, bangkai dron Amerika MQ-9 Reaper itu menarik perhatian industri pertahanan Russia. Sebarang penemuan (bangkai dron terbabit) perlu ditanggalkan dan diselidiki sehingga ke skru yang terakhir,” kata pegawai tinggi ROSTEC itu kepada agensi berita Russia, TASS.

Dron MQ-9 Reaper oleh General Atomics.

 

Beliau berkata untuk membangunkan produk yang berjaya, mereka perlu mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh pesaing-pesaing termasuklah dalam produk seperti dron,artilleri,kenderaan perisai dan pelbagai sistem persenjataan yang lain.

Setiausaha Majlis Keselamatan Russia Nikolai Patrushev memberitahu stesen televisyen Rossiya-1 berkata bahawa negara itu akan cuba mencari dan menaikkan bangkai dron Amerika Syarikat itu.

“Saya tidak tahu sama kita akan berjaya menemui bangkai dron Amerika itu tetapi ia perlu dilakukan dan kita mesti melakukannya. Kita berharap akan berjaya,” katanya.

Patrushev berkata insiden membabitkan dron MQ-9 Reaper itu menunjukkan pembabitan secara langsung Amerika Syarikat dalam konflik di Ukraine.

Penganalisis pertahanan antarabangsa mendakwa tentera Russia dan agensi pertahanannya cuba mencari dan mendapatkan bangkai dron MQ-9 Reaper milik Amerika daripada dasar Laut Hitam untuk tujuan “reverse engineer.”

Sebuah kapal perang Russia di Laut Hitam.

 

Akhbar New York Times dalam laporannya mendakwa bahawa komunikasi di antara unit-unit tentera Russia yang berjaya dipintas menunjukkan bahawa mereka mula merangka pelan untuk menaikkan bangkai dron Amerika itu lapan jam selepas insiden di mana dron itu terhempas.

Setakat ini tiada bukti menunjukkan bahawa tentera Russia telah berjaya menaikkan bangkai dron itu atau memperolehi mana-mana komponennya yang sensitif daripada dasar Laut Hitam itu.

Sementara itu Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Mark Milley menyatakan bahawa tentera negara itu telah mengambil beberapa usaha mitigasi bagi memastikan mana-mana pihak asing tidak mampu memperolehi maklumat sensitive.

“Kami agak berkeyakinan apa-apa yang ada di dron itu tidak lagi bernilai,” katanya sambil menambah, memandangkan dron itu terhempas di kawasan perairan dengan kedalaman sehingga 1,500 meter membuatkan sebarang usaha mencari dan menaikkannya ke permukaan sebagai amat sukar serta tidak mampu dilakukan.

Bagaimanapun, pegawai tinggi Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengakui bahawa kapal-kapal tentera Russia telah pun berada di lokasi insiden.

Rakaman pesawat Su-27 Russia ketika ia menghampiri dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat di Laut Hitam baru-baru ini.

 

Dalam insiden yang bakal memarakkan lagi perseteruan antara Moscow dan Washiington, sebuah pesawat pejuang Su-27 Russia bertindak memintas dan dengan sengaja telah “melanggar” kipas dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat sehingga menyebabkan dron terhempas di Laut Hitam.

Pihak tentera Amerika Syarikat mengecam tindakan pesawat pejuang Russia itu dan mendakwa ia melakukan penerbangan secara “tidak selamat” sehingga menyebabkan dron itu terhempas.

Ketika terhempas dron itu dipercayai sedang melakukan misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) di  Laut Hitam berhampiran dengan Crimea, yang sebelum ini merupakan wilayah milik Ukraine tetapi telah dijajah oleh Russia.

Kementerian Pertahanan Russia menafikan pesawat pejuangnya “bersentuhan” dengan dron Amerika Syarikat dan mendakwa bahawa ia terhempas ke Laut Hitam akibat “maneuver tajam” yang dilakukannya ketika penerbangan itu.

Ia juga berkata kedua-dua pesawat pejuang itu tidak menggunakan sebarang senjata yang dibawanya dan tidak “bersentuhan” dengan dron Amerika Syarikat itu.
Su-27 Flanker
Ini mungkin insiden pertama melibatkan pertembungan secara langsung (direct confrontation) di antara tentera Russia dan Amerika Syarikat pada konflik Ukraine, sesuatu yang membimbangkan jikalau ia menyebabkan konflik itu merebak (escalation) kepada peperangan di antara Amerika serta sekutunya dengan Russia dan sekutunya. 
Menurut tentera Amerika Syarikat, pesawat pejuang Amerika Syarikat itu telah melepaskan minyak pesawat terhadap dron itu, berkemungkinan untuk “membutakannya.”

“Dron MQ-9 kami sedang melakukan operasi rutin di ruang angkasa antarabangsa apabila ia dipintas dan berlanggar dengan pesawat pejuang Russia, menyebabkan ia terhempas dan kami kehilangan dron terbabit,” menurut Jeneral James Hecker daripada Tentera Udara Amerika Syarikat dalam satu kenyataan. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

AmerikaDronfeaturedLaut HitamMQ-9 ReaperRostecRussia
Comments (0)
Add Comment