Russia Pindah MiG-29 dan Su-27 Pada Korea Utara Sebagai “Balasan” Sumbangan Anggota Tentera

Menurut Komander United States Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) Laksamana Samuel Paparo, Moscow dan Pyonyang telah pun mencapai persetujuan berkenaan pemindahan pesawat-pesawat pejuang generasi ke-empat terbabit daripada Russia kepada Korea Utara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Utara dilaporkan akan menerima sejumlah pesawat-pesawat pejuang MiG-29 Fulcrum dan Sukhoi Su-27 Flanker daripada Russia, berkemungkinan sebagai “balasan” terhadap tindakannya menghantar ribuan anggota tenteranya ke Russia untuk menyertai peperangan di Ukraine.
Dakwaan itu dinyatakan oleh Komander  United States Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) Laksamana Samuel Paparo.
Menurut beliau, Moscow dan Pyonyang telah pun mencapai persetujuan berkenaan pemindahan pesawat-pesawat pejuang generasi ke-empat terbabit daripada Russia kepada Korea Utara.
Walaupun pesawat-pesawat pejuang terbabit adalah daripada generasi ke-empat yang telah berusia, namun ia masih memiliki keupayaaan yang tinggi, menurut beliau.
Pemindahan pesawat-pesawat pejuang MiG-29 dan Su-27 kepada Pyongyang sudah tentu akan meningkatkan keupayaan Tentera  Udara Korea Utara, memandangkan pada masa ini mereka bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang era Kesatuan Soviet yang sudah usang dan berusia.
Pada ketika ini, Korea Utara memiliki sejumlah 18 buah pesawat pejuang MiG-29, 34 buah pesawat pejuang Su-25, serta pelbagai model pesawat pejuang MiG yang lama termasuk MiG-23, sebahagiannya mungkin tidak lagi beroperasi.
Pesawat lama MiG milik Korea Utara.

RINGKASAN:

Korea Utara dilaporkan bakal menerima pesawat pejuang MiG-29 Fulcrum dan Sukhoi Su-27 Flanker daripada Rusia, dipercayai sebagai balasan kepada penghantaran ribuan tenteranya untuk menyokong perang Rusia di Ukraine.

Komander United States Indo-Pacific Command (USINDOPACOM), Laksamana Samuel Paparo, menyatakan bahawa kedua-dua negara telah mencapai persetujuan untuk pemindahan pesawat generasi keempat tersebut. Walaupun sudah berusia, pesawat ini masih memiliki keupayaan tempur yang tinggi dan dijangka memperkukuhkan Tentera Udara Korea Utara, yang kini bergantung kepada pesawat era Soviet yang usang.

Kerjasama ini turut melibatkan penempatan kira-kira 10,000 hingga 12,000 tentera Korea Utara di pos pemerhatian di wilayah Kursk, Rusia. Di samping pesawat pejuang, Pyongyang juga dikatakan berminat mendapatkan teknologi ketenteraan maju seperti sistem peluru berpandu, kapal selam moden, dan pertahanan udara.

Lawatan Kim Jong Un ke kemudahan pembuatan pesawat di Komsomolsk-on-Amur, Rusia, pada September 2023 telah mencetuskan spekulasi bahawa Korea Utara mungkin akan menerima pesawat tempur canggih seperti Su-57 dan Su-35, sebagai sebahagian daripada pertukaran ketenteraan dengan Rusia.

Hubungan erat ini menarik perhatian global di tengah-tengah perang yang berlanjutan dan tekanan sekatan terhadap Rusia.

Pesawat pejuang MiG-29 Korea Utara
Bagaimanapun, penganalisis pertahanan antarabangsa menyatakan bahawa pemindahan pesawat-pesawat pejuang oleh Moscow kepada Pyongyang itu turut bergantung kepada keadaan terkini kira-kira 185 buah pesawat pejuang MiG-29 dan Su-27 milik Tentera Udara Russia.
Tentera Udara Russia dilaporkan oleh pemerhati Barat bahawa telah terjejas teruk akibat peperangan berpanjangan dengan Ukraine yang telah memasuki tahun yang ketiga serta sekatan ekonomi yang ketat oleh negara-negara Barat.
Hubungan ketenteraan Korea Utara yang semakin erat dengan Rusia telah menarik perhatian antarabangsa.
Dalam satu pertemuan pada 30 November dengan delegasi pertahanan Rusia, Kim Jong Un menegaskan “sokongan tetap” Korea Utara terhadap perang Rusia di Ukraine.
Kerjasama ini turut melibatkan penempatan tentera Korea Utara.
Ukraine melaporkan bahawa antara 10,000 hingga 12,000 tentera Korea Utara telah ditempatkan di pos-pos pemerhatian dan pemeriksaan di Wilayah Kursk, Russia.
MiG-29 Korea Utara
Pesawat pejuang Su-27
Korea Utara berkemungkinan mencari lebih daripada sekadar pesawat sebagai balasan terhadap penghantaran tenteranya ke Russia.
Menurut Paparo, Pyongyang mungkin mengintai teknologi ketenteraan yang lebih maju, termasuk teknologi Multiple Re-Entry Vehicles peluru berpandu balistik, sistem kapal selam moden, dan keupayaan pertahanan udara yang dipertingkatkan.
Pertukaran sedemikian akan meningkatkan kedudukan ketenteraan Korea Utara di rantau ini.
Pada September 2023, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, telah melawat kemudahan pembuatan pesawat pejuang Komsomolsk-on-Amur (KnAAPO) yang terletak di Komsomolsk-on-Amur di Timur jauh Russia.
Kemudahan terbabit menghasilkan pesawat tempur canggih termasuk Su-57 Felon dan Su-35 Flanker, pesawat pejuang pelbagai guna kelas tertinggi satu tempat duduk duduk yang digunakan oleh Tentera Udara Russia pada ketika ini.
Lawatan Kim ke KnAAPO telah mencetuskan spekulasi bahawa pesawat pejuang canggih mungkin akan dihantar ke Korea Utara, yang pada masa itu sedang bersiap untuk membekalkan peluru artileri dan pelbagai jenis sistem persenjataan lain kepada Russia. — DSA
featuredKorea UtaraMiG-29Russia
Comments (0)
Add Comment