Pakar Russia Analisa 6 Kenderaan Kombat NATO Berjaya “Ditawan”

Menurut laporan, keenam-enam jenis kenderaan kombat yang berjaya ditawan oleh tentera Russia itu adalah milik negara-negara NATO seperti Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pakar-pakar persenjataan Russia dilaporkan sedang aktif menganalisi dengan terperinci enam jenis kenderaan kombat buatan negara-negara Barat termasuk AMX-10RC buatan Perancis yang berjaya “ditawan” oleh anggota tentera mereka daripada tentera Ukraine yang mengoperasikannya.

Menurut laporan, keenam-enam jenis kenderaan kombat yang berjaya ditawan oleh tentera Russia itu adalah milik negara-negara NATO seperti Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat.

Bagaimana identiti sebenar enam jenis kenderaan kombat NATO itu tidak didedahkan.

Kajian terperinci terhadap kenderaan kombat yang berjaya ditawan oleh tentera Russia itu dipercayai dilakukan oleh pakar-pakar di Kurganmashzavod, sebuah syarikat Russia yang terkenal dengan pembuatan kenderaan-kenderaan tentera.

“Pakar-pakar di Kurganmashzavod sedang menganalisa teknologi-teknologi yang terdapat pada kenderaan-kenderaan kombat Barat (yang berjaya ditawan) itu untuk mengkaji kelebihan dan kelemahannya,” menurut laporan.

Kenderaan kombat AMX-10RC yang berjaya ditawan itu telah ditunda oleh tentera Russia untuk dianalisa oleh pakar senjata mereka.

 

Laporan tentang kejayaan tentera Russia menawan enam jenis kenderaan kombat NATO itu timbul selepas laporan terkini menyatakaan Moscow berjaya menawan kenderaan kombat AMX10-RC yang dibekalkan oleh Perancis kepada tentera Ukraine.

Kenderaan kombat AMX-10RC yang dilengkapi meriam 105mm itu turut dipanggil kereta kebal ringan.

Kenderaan AMX-10RC itu berjaya ditawan oleh tentera Russia di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine yang menyaksikan pertempuran sengit di antara kedua-dua pihak beberapa minggu lepas ketika Kiev melancarkan serangan balas musim bunganya.

Ketua gerakan orang awam di Zaphorizia Vladimir Rogov mengesahkan tentang penawanan kenderaan kombat AMX-10RC buatan Perancis dan menyatakan bahawa kenderaan itu masih berada di dalam keadaan yang amat baik, tanpa sebarang kerosakan.

Kenderaan AMX-10RC di Ukraine.

 

Beliau menyatakan rancangan pada masa ini adalah untuk menghantar kenderaan kombat yang ditawan itu ke pakar-pakar senjata Russia untuk analisis.

Kenderaan kombat AMX-10RC itu dibangunkan oleh syarikat Nexter Systems dan digunakan untuk tujuan pemantauan (reconnaissance).

Pada Januari lepas, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan bahawa negara itu akan membekalkan pelbagai jenis senjata kepada Ukraine termasuk kenderaan kombat AMX-10RC.

Ia adalah kereta kebal ringan buatan negara Barat yang pertama dihantar ke Ukraine.

Kerajaan Perancis dipercayai telah membekalkan lebih daripada 10 buah kenderaan IFV AMX-10RC milik untuk digunakan oleh tentera Ukraine dalam serangan balas musim bunga yang dilancarkan baru-baru ini.

Kenderaan IFV AMX-10RC seberat 20 tan dan beroda itu turut dilengkapi dengan meriam 105mm, digunakan untuk memburu kereta-kereta kebal musuh.

AMX-10RC Ukraine

 

Bagaimanapun seorang komander tentera Ukraine menyatakan bahawa kenderaan kombat AMX-10RC sumbangan Perancis itu tidak sesuai untuk beraksi di barisan hadapan di Ukraine kerana armornya yang terlalu nipis.

Beliau berkata, kenderaan IFV AMX-10RC tidak sesuai untuk operasi serangan di barisan hadapan kerana armornya yang nipis dan keadaan itu telahpun mengorbankan empat anggota tentera Ukraine.

Komander tentera Ukraine berusia 34 tahun dikenali dengan panggilan “Spartanets” berkata, disebabkan armornya yang nipis kenderaan IFV AMX-10RC itu hanya sesuai untuk digunakan sebagai bantuan tembakan dan bukan berada di barisan hadapan.

“Dalam satu kejadian yang malang, seorang anggota tentera telah menemui maut di dalam kenderaan IFV itu.

“Berlaku letupan artileri berhampiran kenderaan dan serpihan daripada letupan itu telah menembusi kenderaan IFV itu menyebabkan peluru-peluru dibawa kenderaan itu meletup, membunuh empat orang krew kenderaan itu,” katanya. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredKenderaan KombatNATORussia