(VIDEO) Russia Guna Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal Buatan Korea Utara “Bulsae-4” di Ukraine

(VIDEO) Peluru berpandu anti-kereta kebal “Bulsae-4” NLOS ATGM (Non-Line Of Sight Anti-Tank Guided Missile) buatan Korea Utara itu dilaporkan berkeupayaan membedil sasaran sejauh lebih daripada 10km sehingga 25km.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Russia di Ukraine dilaporkan telah mula menggunakan peluru berpandu anti-kereta kebal buatan Korea Utara dipanggil “Bulsae-4”, dalam satu lagi bukti tentang kerjasama yang semakin erat di antara kedua-dua negara sekutu di dalam bidang ketenteraan.

Peluru berpandu anti-kereta kebal “Bulsae-4” NLOS ATGM (Non-Line Of Sight Anti-Tank Guided Missile) itu dilaporkan berkeupayaan membedil sasaran sejauh lebih daripada 10km.

 Terdapat juga laporan mengatakan peluru berpandu anti-kereta kebal buatan Korea Utara itu mampu membedil sasaran sejauh 25km dan melaksanakan serangan “top attack” terhadap sasarannya termasuk kereta kebal adan kenderaan perisai.

Laporan daripada medan pertempuran Ukraine mendakwa sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Bulsae-4” buatan Korea Utara itu telah dilihat di Kharkov memusnahkan sistem artilleri bergerak tentera Ukraine, AS-90 yang didermakan oleh Britain.

Sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Bulsae-4” menggunakan kenderaan perisai 6×6 M-2010 Korea Utara yang membawa pelancar peluru berpandu mengandungi lapan peluru berpandu anti-kereta kebal itu di bahagian atas kenderaan itu.

Peluru berpandu itu juga dilengkapi dengan video kamera.

Sebelum ini, pihak perisikan Korea Selatan mendedahkan bahawa Korea Utara telah membekalkan kira-kira 2,000 kontena mengandungi peluru berpandu ballistik jarak dekat dan peluru berpandu anti-kereta kebal serta pelbagai peluru dan senjata lain kepada Russia.

Menurut pegawai perisikan Korea Selatan, kapal-kapal membawa kontena terbabit telah belayar daripada Rajin, Wilayah Hamgyong Utara ke Vladivostok di Timur Jauh Russia.

Pihak tentera Korea Selatan mengesyaki 2,000 kontena itu mengandungi lebih daripada 200,000 peluru meriam 122mm dan lebih sejuta peluru meriam 152mm serta peluru-peluru untuk senjata lain.

“Petanda bahawa Korea Utara membekalkan senjata dan peluru kepada Russia telah dikesan sejak pertengahan tahun lepas dan penghantaran kontena-kontena itu telah dipertingkatkan pada Ogos tahun lepas sebelum kunjungan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un ke Russia, “ kata pegawai Korea Selatan.

Pemimpin Korea Utara telah bertemu dengan Presiden Vladimir Putin di Vostochny Cosmodrome di Timur Jauh Russia pada September tahun lepas.

“Bulsae-4”

 

Bagi membantu kempen ketenteraan Russia di Ukraine, Korea Utara telah menghantar peluru berpandu ballistik jarak dekat (Short Range Ballistic Missile – SRBM) terbaru keluarannya, Hwasong-11 (KN-23) untuk digunakan oleh Moscow.

Menurut pakar-pakar senjata yang dipetik oleh media antarabangsa, Russia telah mengerah peluru berpandu ballistik buatan Korea Utara yang boleh dilancar dan disembunyi dengan cepat, selain boleh membedil sasaran dengan kadar ketepatan yang tinggi.

Peluru berpandu ballistik jarak dekat Hwasong-11 itu sukar untuk ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara, namun apa yang penting adalah, bekalan peluru-peluru berpandu ballistik daripada Korea Utara itu telah menambah pilihan senjata yang dimiliki oleh Moscow dalam kempen ketenteraannya terhadap Kiev.

Menurut data daripada Korea Institue for Defense Analyses (KIDA), setiap sebuah peluru berpandu ballistik jarak dekat itu yang berkemampuan membedil sasaran sejauh di antara 400km hingga 800km itu berharga US$5 juta (RM22.5 juta).

Bulsae-4 di Ukraine

 

“Memandangkan peluru berpandu jarak dekat Hwasong-11 yang dibekalkan oleh Korea Utara kepada Russia adalah daripada jenis terbaru, Russia mungkin terpaksa membayar ‘harga yang tinggi’ untuk memperolehinya,” kata pakar senjata.

Russia berkemungkinan bukan sahaja membayar pembelian peluru berpandu ballistik Korea Utara dengan wang tunai, tetapi juga dengan komoditi, bahan makanan serta perkongsian teknologi senjata termasuk berkenaan pembangunan peluru berpandu ballistk antara benua. — DSA

 

 

 

 

 

Bulsae-4featuredKorea UtaraRussia
Comments (0)
Add Comment