Russia Guna Solusi “Luar Kotak” Tangani Serangan Dron Berani Mati Ukraine

Pihak tentera Russia di pangkalan udara Engels 2 di Saratov, Russia dilaporkan telah melukis imej pesawat pengebom Tu-95 "Bear" di tarmac pangkalan itu, berkemungkinan besar sebagai decoy/samaran untuk “mengelirukan” satelit Barat dan dron-dron berani mati pihak Ukraine itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi memastikan pesawat pengebom strategiknya Tu-95 “Bear” yang berpangkalan di Pangkalan Udara Engels 2, Saratov di Russia selamat daripada serangan dron-dron pihak Ukraine, pihak tentera Russia telah mencuba pendekatan di “luar kotak” bagi menangani serangan “musuhnya” itu.

Pihak tentera Russia di pangkalan utama bagi pesawat pengebom terbabit dilaporkan telah melukis imej pesawat pengebom terbabit di tarmac pangkalan itu, berkemungkinan besar sebagai decoy/samaran untuk “mengelirukan” satelit Barat dan dron-dron berani mati pihak Ukraine itu.

Bagaimanapun penganalisis tentera tidak yakin usaha “luar kotak” itu akan berjaya mengeliru pihak tentera Barat kerana satelit-satelit dengan kamera yang memiliki resolusi tinggi dapat membezakan di antara pesawat sebenar dan lukisan.

Tipu-muslihat Russia itu mungkin dapat mengelirukan satelit-satelit yang menggunakan kamera yang resolusi rendah.

Pangkalan Udara Engels, Russia itu telah menjadi sasaran oleh tentera Ukraine yang telah melancarkan serangan dron-dron berani mati beberapa kali terhadap pangkalan udara pesawat pengebom itu.

Tayar di atas pesawat pengebom Tu-95 Russia.

 

Bukan sahaja ia menempatkan pesawat pengebom Tu-95, tetapi pangkalan Engels itu menjadi “rumah” kepada pesawat-pesawat pengebom Tu-160 dan Tu-22 yang telah melancarkan ratusan peluru berpandu kruis terhadap sasaran di dalam Ukraine.

Pihak tentera Ukraine turut mensasarkan beberapa lagi pangkalan udara Russia dengan serangan peluru-peluru berpandu kruis jarak jauh “Storm Shadow”/SCALP EG.

Pemikiran “luar kotak” dalam menangani serangan dron berani mati Ukraine juga berlaku di pangkalan udara Russia di wilayah Crimea, laporan pemerhati Open Source Intelligence (OSINT).

Pakar OSINT  Brady Africk telah berkongsi gambar satelit yang menunjukkan lukisan-lukisan pesawat pejuang di pangkalan tentera udara Russia, berkemungkinan besar untuk mengelirukan dron-dron Ukraine serta satelit pengintip Barat.

“Tentera Russia telah bertindak melukis imej menyerupai pesawat pejuang tentera di kawasan yang baru dibina di pangkalan udara Yeysk di Crimea,” menurut ciapan Africk dalam akaun Twitter miliknya.

Sejak kebelakangan ini, serangan-serangan pihak Ukraine sama ada menggunakan dron-dron berani mati atau peluru berpandu kruis terhadap pangkalan-pangkalan udara Russia semakin menjadi-jadi, sehingga mengakibatkan Moscow mengambil pendekatan di “luar kotak” itu.

Tayar-tayar buruk diletak di atas peswat Su-34 “Fullback” Russia.

 

Sebelum ini, kaedah “luar kotak” itu menyaksikan tentera Russia menutup beberapa bahagian pesawat pengebomnya Tu-95 di Pangkalan Udara Engels-2 di Wilayah Saratov dengan tayar-tayar, sebagaimana yang dapat dilihat daripada imej-imej satelit.

Russia berharap tayar-tayar yang diletakkan di beberapa bahagian pesawat dapat menyerap kesan letupan dron-dron itu.

Pangkalan Udara Engels-2 di Wilayah Saratov itu terletak kira-kira 700km daripada sempadan Russia-Ukraine.

Pada Disember tahun lepas, pangkalan udara yang menempatkan pesawat-pesawat pengebom Russia telah diserang oleh dron-dron Ukraine.

Serangan dron berani mati Ukraine itu telah menyebabkan dua buah pesawat pengebom musnah manakala dalam serangan kedua pada bulan yang sama telah menyebabkan tiga anggota tentera Russia terbunuh.

Gambar satelit menunjukkan lukisan “pesawat” di pangkalan udara Russia di Crimea untuk kelirukan dron Ukraine.

 

Selepas daripada serangan dron-dron berani mati itu, Moscow bertindak memindahkan pesawatnya yang berada di Pangkalan Udara Engels-2 itu ke pangkalan udara yang lain.

Bulan lepas, pangkalan udara tentera Russia di bandar Pskov turut diserang oleh dron-dron Ukraine, menyebabkan dua buah pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 musnah manakala dua lagi buah mengalami kerosakan. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

DronfeaturedLuar KotakRussiaSerangan
Comments (0)
Add Comment