Tindakan Qatar Letak Pesawat Rafale Di Turki Bangkit Kemarahan Greek

Kebimbangan utama Greek terhadap perjanjian ketenteraan antara Turki dan Qatar adalah berkenaan penempatan pesawat-pesawat pejuang Rafale milik negara Teluk itu di Turki yang bakal mengikis kelebihan kekuatan udara mereka.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan Qatar menempatkan 12 buah pesawat pejuang Rafale dan sembilan buah pesawat pejuang Mirage 2000 di Turki selama lima tahun bagi tujuan latihan di antara kedua-dua negara, telah membangkitkan kemarahan Greek yang merupakan seteru utama Ankara.

Dalam persetujuan itu, Tentera Udara Qatar juga akan menempatkan empat buah pesawat pengangkut C-17A Globemaster III di Turki bersama-sama 250 anggota tenteranya di negara Mediterranean.

Bagi Turki pula, ia bersetuju untuk menempatkan satu unit tentera dipanggil “Agile Force Team” di Qatar pada tahun depan ketika negara Teluk itu menganjurkan kejohanan bolasepak Piala Dunia.

Ia adalah sebahagian daripada perjanjian tentera selama lima tahun antara Turki dan Qatar.

Perjanjian ketenteraan antara kedua-dua negara itu telah ditandatangani antara Ketua Staf Angkatan Tentera Turki Jeneral  Yasar Guler dan Ketua Staf Angkatan Tentera Qatar Al-Ghanim.

Greek melihat ada “”udang disebalik batu” di sebalik perjanjian ketenteraan itu terutamanya melibatkan penempatan pesawat pejuang Rafale di Turki.

Seperti biasa perjanjian tentera antara Turki dan Qatar ini tidak disenangi oleh media-media Greek yang meminta negara mereka supaya melakukan analisis terperinci terhadap perjanjian ketenteraan itu serta kesannya terhadap negara mereka.

Kebimbangan utama media Greek terhadap perjanjian ketenteraan antara Turki dan Qatar adalah berkenaan penempatan pesawat-pesawat pejuang Rafale milik negara Teluk itu di Turki yang bakal mengikis kelebihan mereka.

Greek bimbang Tentera Udara Turki menggunakan penempatan pesawat Rafale di negara itu untuk mengetahui “kelemahan-kelemahan” berkenaan pesawat buatan Perancis itu dan seterusnya mengeksploitasinya.

Ia akan membolehkan pesawat-pesawat F-16 Turki lebih bersedia untuk berhadapan dengan pesawat-pesawat Rafale yang baru sahaja diperolehi oleh Tentera udara Greek terutamanya apabila pesawat kedua-dua negara itu “bertembung” di Laut Mediterranean dan Laut Aegean.

Turki dan Greek sememanynya adalah musuh lama dengan kedua-duanya mempunyai pertikaian yang mendalam tentang sempadan di perairan timur Laut Mediterranean.

Selain memberikan kebenaran kepada Turki untuk menempatkan pesawat Rafale, pesawat-pesawat F-16 negara itu turut mengadakan latihan bersama dengan pesawat Rafale milik Qatar dan JF-17 Pakistan dalam Latihan Bersama Anatolian Eagle.

Pesawat F-16 Turki

 

Tentera Udara Turki kini sedang berhadapan dengan masalah besar untuk mendapatkan pesawat-pesawat pejuang moden terutamanya generasi kelima selepas “ditendang keluar” daripada program pembangunan F-35 oleh Amerika Syarikat selepas ia berdegil untuk terus membeli sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia.

Usaha Ankara untuk memodenkan lebih daripada 200 buah pesawat F-16 Block 30 kepada varian Block 60 juga berhadapan kesukaran akibat tentang hebat daripada anggota Kongres Amerika Syarikat.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

Dikala Turki berdepan halangan untuk mendapatkan pesawat-pesawat pejuang moden, Perancis telah menjual 24 buah pesawat pejuang Rafale kepada seteru utamanya, Greek.

Kini terdapat pula laporan mengatakan Amerika Syarikat juga bercadang menjual pesawat pejuang F-35 kepada Greek. — DSA

featuredGreekQatarRafale