Dari Menjadi “Pesawat Gen-5” Iran, Qaher-313 Kini Bakal Dijadikan Dron Sahaja

Selepas “mendiamkan diri” untuk beberapa ketika, pihak tentera Iran baru-baru ini mengumumkan bahawa “pesawat generasi kelima” Qaher-313 akan dijadikan pesawat tanpa pemandu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Hampir 10 tahun lalu, Iran telah memperkenalkan kepada dunia pesawat pejuang “generasi kelimanya” yang dinamakan Qaher-313 (Conquerer atau Penakluk) dalam satu majlis gilang-gemilang dihadapan presidennya pada ketika itu,  Mahmoud Ahmadinejad.

Pentadbiran Iran pada ketika itu mendabik dada bahawa pesawat pejuang generasi kelima buatan Iran Aviation Industries Organisation (IAIO) itu adalah lebih hebat daripada pesawat-pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat iaitu F-22 “Raptor” dan F-35 “Lightning.”

Teheran mendakwa Qaher-313 adalah “antara pesawat pejuang paling canggih di dunia” pada ketika ini dan menyertakan ciri-ciri seperti kelincahan yang tinggi dan berkemampuan membawa pelbagai peluru berpandu.

Pesawat Pejuang Generasi Kelima “Qaher 313”

 

Pendedahan “pesawat pejuang generasi kelima” milik Iran itu telah disambut dengan perasaan was-was dan skeptikal oleh penganalisis ketenteraan antarabangsa dan pakar-pakar penerbangan, yang tidak mempercayaai dakwaan bahawa Teheran telah berjaya membangunkan pesawat pejuang generasi kelima.

Pakar-pakar ketenteraan Barat menyifatkan pesawat pejuang gen-5 Iran itu tidak ubah seperti peralatan prop untuk industri perfileman Hollywood dan tidak mencapai tahap untuk menjadi pesawat pejuang generasi masa kini.

Malah untuk memanggil Qaher-313 pesawat pejuang generasi keempat juga menurut mereka, adalah sesuatu yang tidak sesuai.

Rekabentuk pesawat itu serta saiznya menurut mereka, memiliki terlalu banyak kesalahan daripada segi kejuruteraan avionik menyebabkan mereka percaya bahawa Qaher-313 itu tidak lebih adalah alat propaganda pihak pentadbiran dan ketenteraan Iran pada ketika itu.

Malah pakar-pakar ketenteraan Barat juga mempersoalkan keadaan kokpit pesawat pejuang gen-5 Iran itu yang menurut mereka yang bukan sahaja tidak menunjukkan ciri-ciri gen-5 tetapi juga adalah “terlalu asas” dan lebih sesuai untuk pesawat persendirian yang kecil.

Kokpit pesawat Qaher-313

 

Qaher-313 juga dibina dengan bahagian nose section yang terlalu kecil sehinggakan tidak ada radar yang boleh dimuatkan di dalamnya, manakala bahagian air intakes juga disifatkan terlalu kecil untuk pesawat pejuang gen-5 atau apa-apa pesawat pejuang.

Menurut pakar-pakar penerbangan yang pesisimis, bahagian air intakes yang terlalu kecil itu lebih sesuai untuk dron dan bukan untuk pesawat pejuang.

Apapun, 10 tahun sudah berlalu sejak diperkenalkan dan masyarakat ketenteraan dunia masih tertanya-tanya tentang kemajuan yang telah dicapai oleh Qaher-313 kerana sehingga kini kerana pihak Iran seolah-olah berdiam diri tentang kemajuannya.

Apa yang pasti, Tentera Udara Iran tidak pernah mengoperasikan Qaher-313 sebagai pesawat pejuang generasi kelima sejak platform udara itu didedahkan kepada khalayak ramai kira-kira 10 tahun yang lalu.

Teheran masih terus bergantung kepada pesawat-pesawat usangnya sama ada buatan Russia, China atau Amerika Syarikat yang diwarisinya daripada zaman pemerintahan Shah Iran pada tahun 1970-an.

Selepas “mendiamkan diri” untuk beberapa ketika, pihak tentera Iran baru-baru ini mengumumkan bahawa “pesawat generasi kelima” Qaher-313 akan dijadikan pesawat tanpa pemandu.

Usaha untuk menjadikan Qaher-313 sebagai pesawat tanpa pemandu dan bukan lagi “pesawat generasi kelima” seperti F-35 itu telah diumumkan oleh pengarah urusan IAIO Brigadier Jeneral Afshin Khaje Fard.

Bercakap kepada agensi berita “Tasnim”, beliau berkata, teknologi yang digunakan oleh Qaher-313 telah mencapai “full maturity” dan ia akan digunakan oleh dua unit angkatan tentera Iran.

Varian terbaru “pesawat pejuang generasi kelima” Qaher-312 itu akan didedahkan kepada awam pada September atau Oktober tahun ini. — DSA

 

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

DronfeaturedIranPesawatQaher
Comments (0)
Add Comment