(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Russia kerapkali dianggap sebagai cabang tentera negara itu yang paling lemah jika berbanding cabang-cabang tenteranya yang lain, terutamanya apabila dibandingkan dengan Tentera Laut Amerika Syarikat, tetapi ia akan mengalami perubahan besar-besaran apabila Presiden Vladimir Putin mengumumkan peruntukan sebanyak US$100.5 billion (RM442 billion) untuk menaiktaraf dan memodenkannya dalam tempoh 10 tahun.
Putin berkata, situasi global yang semakin berubah, cabaran baru, ancaman maritim serta kemajuan teknologi yang pesat menuntut pembentukan satu “imej baharu” untuk Tentera Laut Rusia.
“Saya ingin menyatakan bahawa dalam dekad akan datang, sebanyak 8 trilion Ruble (US$100.5 billion) telah diperuntukkan untuk pembinaan kapal dan aset baru Tentera Laut Russia. Peruntukan ini perlu diambil kira dalam perancangan Program Persenjataan Negara.”
“Ia memerlukan pendekatan baru dalam memperkukuh keupayaan pertahanan maritim kita,” katanya semasa mempengerusikan satu mesyuarat khas berkaitan pembangunan armada laut negara itu.
Kata Putin, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Russia telah melaksanakan program pemodenan tentera lautnya dalam berskala besar.
“Dari Kaliningrad hingga ke Vladivostok, limbungan kapal di seluruh Russia sedang giat menjalankan pengeluaran bersiri kapal-kapal permukaan dan kapal selam peluru berpandu baru, termasuk kapal selam moden kelas Project Borei-A dan Project Yasen-M. Peruntukan kewangan yang besar telah disalurkan bagi menjayakan usaha ini,” kata beliau.
Menurut Putin, kadar pemilikan senjata dan peralatan moden dalam komponen nuklear strategik Tentera Laut Rusia kini telah mencapai tahap 100 peratus, dan angka tersebut mesti dikekalkan pada masa depan.
Tambah Putin lagi, Tentera Laut Russia memainkan peranan penting dalam menjamin pertahanan dan keselamatan negara, selain melindungi kepentingan negara di persada lautan antarabangsa.
Tentera Laut Russia dilaporkan mengalami kemusnahan besar sepanjang tiga tahun konflik di Ukraine, dengan Kiev yang disokong oleh negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat mendakwa telah memusnahkan atau melumpuhkan kira-kira satu pertiga daripada Armada Laut Hitam Tentera Laut Russia menjelang pertengahan tahun 2024.
Namun begitu, Russia kini giat membina semula dan memperkukuh kekuatan tentera lautnya, dengan kenyataan terbaru Presiden Putin menunjukkan bahawa komponen senjata-senjata nuklear akan menjadi tumpuan utama dalam fasa pembangunan armada yang seterusnya.
Menurut agensi berita milik kerajaan TASS, Putin turut mengesahkan bahawa sebanyak 49 kapal tentera laut baru telah dibina dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Antara kapal yang telah ditauliahkan termasuk empat buah kapal selam peluru berpandu strategik berkuasa nuklear kelas Project Borei-A, serta empat kapal selam pelbagai guna berkuasa nuklear kelas Project Yasen-M.
Langkah ini dilihat sebagai usaha Russia untuk mengekalkan keseimbangan kuasa maritim, meskipun berdepan tekanan besar akibat perang berlarutan dengan Ukraine.
Pemimpin Russia itu turut memberi contoh pengembangan pesat kekuatan tentera lautnya, dengan menyatakan bahawa kapal selam nuklear Perm—yang dilengkapi dengan peluru berpandu jelajah hypersonik Tsirkon—telah dilancarkan pada penghujung Mac lalu di Wilayah Murmansk.
Baru-baru ini Putin, menerusi video link dari pelabuhan di Artik, Murmansk, telah melancarkan kapal tersebut yang dinamakan Perm, bersempena dengan nama sebuah bandar di kawasan Pergunungan Ural.
Perm merupakan kapal selam berkuasa nuklear pertama yang dilengkapi peluru berpandu hypersonik Tsirkon sebagai sistem persenjataan standard-nya.
Peluru berpandu hypersonik Tsirkon (juga dikenali sebagai Zircon) merupakan peluru berpandu generasi baru Russia yang mampu mencapai kelajuan sehingga Mach 9, iaitu sembilan kali ganda kelajuan bunyi.
Ia direka untuk menyerang sasaran di darat dan laut, dengan jarak efektif dianggarkan melebihi 1,000 kilometer.
Dengan kelajuan luar biasa dan keupayaan manuver yang tinggi, Tsirkon sukar dikesan serta dipintas oleh sistem pertahanan udara konvensional, menjadikannya antara aset strategik paling berbahaya dalam arsenal ketenteraan Russia.
Peluru berpandu hypersonik ini boleh dilancarkan dari kapal perang dan kapal selam, serta mampu membawa peledak konvensional atau nuklear.
Kapal selam Perm itu mula dibina pada 29 Julai 2016 di limbungan kapal Sevmash di Severodvinsk, Murmansk.
Pelancarannya menandakan satu lagi fasa penting dalam program pembinaan kapal selam yang sedang giat dijalankan oleh Tentera Laut Russia.
Perm dijadual ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Russia pada tahun depan.
Kapal selam Perm merupakan kapal selam ke-enam dalam kelas Yasen dan Yasen-M milik Russia yang dibina oleh limbungan kapal Sevmash, terletak berhampiran Murmansk.
Kapal selam Perm ialah sebahagian daripada kelas Yasen-M (Projek 885M), generasi terkini kapal selam serangan berkuasa nuklear Russia yang dibina untuk operasi senyap, pantas dan berkuasa tinggi.
Ia direka untuk menjalankan pelbagai misi, termasuk serangan ke atas sasaran laut dan darat menggunakan peluru berpandu hypersonik Tsirkon serta peluru berpandu kruis, Kalibr dan Oniks.
Perm dilengkapi dengan reaktor nuklear generasi baru yang membolehkan ia beroperasi secara berterusan di bawah laut selama beberapa bulan tanpa perlu timbul ke permukaan.
Kapal selam ini mampu mencapai kelajuan melebihi 30 knot (lebih 55 km/j) dan beroperasi pada kedalaman lebih 500 meter.
Ia juga mempunyai sistem akustik canggih dan keupayaan peperangan elektronik untuk meningkatkan tahap kelangsungan dalam persekitaran berisiko tinggi.
Dengan panjang lebih 130 meter dan berat anggaran sekitar 13,800 tan ketika menyelam penuh, Perm membawa gabungan torpedo, peluru berpandu dan peralatan pengawasan moden, menjadikannya antara kapal selam paling canggih dalam armada Russia.
— DEFENCE SECURITY ASIA