Polis Berjaga-Jaga Hadapi Segala Kemungkinan Daripada Korea Utara – Ketua Polis Negara

Ia susulan daripada kenyataan berbentuk ugutan dan ancaman daripada kaunselor Korea Utara di Malaysia semalam.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap sedia menghadapi apa jua kemungkinan susulan kenyataan berbentuk ugutan dan ancaman yang dikeluarkan olejh Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia Kim Yu-Song, semalam.

“Orang yang tengah marah macam begitulah perkataan yang keluar, tetapi kalau dia ada di sini mungkin kita akan ambil tindakan tetapi sebab dia sudah pergi pun, biarlah dia pergi,” katanya Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Sebelum meninggalkan Malaysia semalam, Yu-Song, yang mengatakan Malaysia perlu menanggung akibat daripada tindakan membenarkan ektradisi seorang rakyatnya ke Amerika Syarikat.

“Kita terima macam-macam ugutan pun, tetapi di pihak keselamatan kita berjaga-jaga untuk pelbagai kemungkinan dan sejarah menyatakan sedemikan,” kata Ketua Polis Negara itu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Lelaki Korea Utara yang berusia dalam 50-an itu berhadapan dengan tindakan diekstradisi dari Malaysia untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat (AS) selepas gagal dalam rayuan terakhir untuk mencabar perintah ekstradisi terhadapnya.

Mun Chol Myong, yang tinggal di Asia Tenggara selama sedekad bersama keluarganya, ditangkap pada 2019 berikutan permohonan ekstradisi oleh Washington.

Beliau menafikan dakwaan FBI bahawa dirinya terbabit mengetuai kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan dikenakan terhadap Korea Utara oleh PBB dengan membekalkan barang terlarang ke Korea Utara dan mencuci dana haram melalui syarikat samaran.

Semalam, kesemua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara dan tanggungan mereka di Malaysia, berlepas pulang ke negara selaras dengan keputusan Wisma Putra mengarahkan mereka keluar daripada negara ini dalam tempoh 48 jam.

Tindakan Wisma Putra itu diambil selepas Pyongyang memutuskan untuk menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, selepas mahkamah Malaysia memerintahkan seorang ahli perniagaan Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, ia kesal dengan keputusan Korea Utara menamatkan hubungan diplomati antara kedua negara yang sudah berjalan sejak 1973.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

AncamanHamid BadorKorea UtaraPolis
Comments (0)
Add Comment