Poland Pertimbang Peroleh KGGB Untuk FA-50PL. Mungkinkah Malaysia Ikuti Langkah?
Korea GPS Guided Bomb (KGGB) direkabentuk untuk mengubah bom konvensional Mk.82 seberat 500 pound untuk menjadi bom-bom berpanduan jarak jauh, membolehkan pesawat-pesawat pejuang Poland membedil sasaran sehingga sejauh 103km.
(DEFENSE SECURITY ASIA) – Sebagai sebahagian daripada program pemodenan tentera udaranya, Poland menimbangkan untuk memperolehi Korean GPS Guided Bomb (KGGB) untuk digunakan pesawat-pesawat pejuangnya, terutamanya FA-50PL yang bakal dimilikinya pada 2025.
Dibangunkan oleh syarikat LIG Nex1, KGGB telah pun digunakan oleh negara-negara seperti Thailand dan Arab Saudi.
KGGB direkabentuk untuk mengubah bom konvensional Mk.82 seberat 500 pound untuk menjadi bom-bom berpanduan jarak jauh, membolehkan pesawat-pesawat pejuang Poland membedil sasaran sehingga sejauh 103km ketika ia masih berada di luar lingkungan sistem pertahanan udara musuh.
KGGB yang memiliki berat keseluruhan lebih 300 kg itu mula memasuki perkhidmatan Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) pada tahun 2013.
Ia adalah bom panduan jarak sederhana dengan ketepatan yang tinggi manakala sistem panduannya menggunakan GPS ( Global Positioning System) dan INS (Inertial Navigation System).
Apa yang perlu dilakukan adalah dengan memasukkan segala maklumat tentang misi KGGB kepada Pilot Display Unit (PDU) dan KGGB yang merupakan sistem standalone boleh melakukan segala kerjanya apabila dilancar oleh juruterbang.
Segala kerja-kerja upload data misi dilakukan di daratan dan KGGB juga memastikan tahap survivalbiliti pesawat sentiasa tinggi kerana bom itu dilancar daripada jarak melebih 100km daripada sasaran.
Selepas melancarkan bom konvensional yang dilengkapi dengan kit KGGB itu, pesawat boleh segera pulang ke pangkalannya.
Kit KGGB itu dilengkapi dengan “sayap khas” dipanggil Flaperon yang membolehkan penerbangannya dikawal termasuk ketinggian altitude dan kelajuannya ketika berada di udara bagi membolehkan ia mampu membedil sasarannya dengan ketepatan yang amat tinggi.
Tentera Udara Poland akan mengoperasikan 48 buah pesawat pejuang ringan FA-50 selepas menandatangani kontrak bernilai US$3 billion (RM13.5 billion) dengan Korea Aerospace Industries (KAI) pada Sept 2022 untuk memperolehi 48 buah pesawat pejuang ringan, FA-50.
Poland bercadang membersarakan keseluruhan pesawat pejuang buatan Russia, MiG-29 dan Su-22 miliknya dan menggantikannya dengan pesawat pejuang FA-50GF dan FA-50PL buatan KAI.
Poland akan menerima 36 FA-50PL yang merupakan varian FA-50 Block 20 sebagaimana yang bakal dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Manakala selebihnya, 12 buah adalah di dalam varian FA-50 GF (Gap Filler) yang telah pun diterimanya.
Poland juga telah bersetuju untuk memperolehi sejumlah 34 buah pod sasaran terkini, “Sniper” “Advanced Targeting Pod” (ATP) bernilai US$124.7 juta (RM561 juta) untuk dipasang kepada pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50PL miliknya.
Pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23), syarikat LIG Nex1 daripada Korea Selatan turut mempamerkan KGGB.
Selain sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM, syarikat itu dilaporkan turut berharap Malaysia akan menjadi pelanggannya KGGB yang merupakan kit panduan glide udara-ke-darat yang dipasang pada bom general purpose Mk-82.
Perkara itu disahkan oleh pegawai syarikat LIG kepada Defence Security Asia ketika ditemui pada LIMA ’23.
“Memandangkan Malaysia telah pun menandatangani kontrak perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 daripada Korea Aerospace Industries (KAI), maka kami turut mempromosi KGGB yang bukan sahaja digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) tetapi juga pengguna FA-50 di Asia Tenggara,” kata beliau. — DSA