PETRONAS Anugerah Kontrak PSC Blok SK437 Di Wilayah Luconia Tengah

Blok SK437 terletak di barat daya Wilayah Luconia Tengah yang prolifik, bersaiz 2,015 kilometer persegi dengan kedalaman perairan sehingga 50 meter.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS memberikan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Blok SK437 yang terletak di barat daya Wilayah Luconia Tengah di perairan Sarawak kepada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), Sarawak Shell Bhd (SSB) dan Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn Bhd (PSEP).

Apa reaksi China, adakah ia akan meningkatkan lagi penghantaran kapal-kapal pengawal pantainya untuk menganggu operasi minyak dan gas di kawasan terbabit?

PSEP merupakan anak syarikat milik penuh Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Dalam kenyataan, PETRONAS menjelaskan penandatanganan PSC tersebut dilaksanakan secara maya hari ini dan ia dijangka menyokong aktiviti cari gali di negara ini, khususnya di perairan Sarawak.

PETRONAS menambah, SSB, sebagai pengendali PSC berkenaan, memegang 85 peratus kepentingan penyertaaan dalam kontrak tersebut manakala PSEP dan PCSB masing-masing pada 7.5 peratus.

“Kepentingan PCSB dan PSEP akan direalisasikan semasa fasa cari gali,” jelasnya.

Menurut PETRONAS, SK437 merupakan tambahan yang baharu kepada kepentingan sedia ada Shell dalam 15 PCS Malaysia, dan daripada jumlah itu, lapan melibatkan lokasi di perairan Sarawak manakala tujuh lagi di perairan Sabah.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan berkata perkongsian baharu dengan PSEP dan PCSB di Blok SK437 itu diharapkan dapat membawa industri ke tahap lebih tinggi menerusi kelebihan dan kemampuan yang saling melengkapi.

“Berlandaskan strategi aset yang tepat dan peserta paling sesuai yang kami laksanakan, disokong oleh sistem fiskal yang progresif, kami berharap dapat membuka potensi penuh sumber hidrokarbon di Malaysia sekali gus memaksimumkan nilai untuk rakan kongsi dan Petronas sebagai penjaga sumber hidrokarbon negara,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Datuk Sauu Kakok berkata penyertaan syarikat dalam PSC SK437 akan memberi peluang untuk PSEP memperluas peranannya dalam aktiviti cari gali di perairan Sarawak.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Huluan merangkap Pengarah PSEP, Dr James Foo berkata penambahan PSC blok cari gali SK437 kepada usaha pengeluaran sedia ada PSEP akan terus mempelbagaikan portfolio PSEP bagi aset luar persisir Sarawak.

“Kami berharap dapat mengeratkan kerjasama dengan rakan kongsi operasi kami bagi memaksimumkan nilai PSC itu,” katanya.

Blok SK437 terletak di barat daya Wilayah Luconia Tengah yang prolifik, bersaiz 2,015 kilometer persegi dengan kedalaman perairan sehingga 50 meter.

Selain PSC SK437, PSEP juga memegang kepentingan dalam usaha PSC MLNG Satu dan PSC Kluster Kumang yang masing-masing dengan kepentingan ekuiti sebanyak 20 peratus dan 50 peratus.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

PetronasPetrosSarawak
Comments (0)
Add Comment