Pesawat Terhempas Di Shah Alam, 10 Dipercayai Termasuk Exco Pahang Terkorban

Pesawat berkenaan berlepas dari Langkawi sudah diberi kebenaran oleh Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sekurang-kurangnya 10 mangsa termasuk seorang EXCO kerajaan negeri Pahang terkorban dalam nahas pesawat sewa khas yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina di sini, petang tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 2.40 petang tadi, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di Elmina.

Difahamkan anggota exco kerajaan negeri Pahang yang terkorban dalam inisiden itu adalah  Datuk Seri Johari Harun yang merupakan exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang, yang juga adalah ADUN Pelangai terkorban dalam insiden itu.

Lokasi kejadian.

 

Dipetik oleh BH Online, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pesawat berkenaan yang berlepas dari Langkawi sudah diberi kebenaran oleh Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.

“Namun pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.

“Ketika terhempas, pesawat berkenaan dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing seorang individu dalam setiap kenderaan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Hussein berkata pada masa ini pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 10 mangsa yang terkorban.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, mengambil masa hampir 10 minit bagi memadam kebakaran.

Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk bedah siasat.

Pesawat malang berkenaan dipercayai jenis Premier 1 Beechcraft dengan nombor pendaftaran N28JV dengan kapasiti 8 orang penumpang.

Kenyataan CAAM

 

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan berkata pesawat itu adalah daripada jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV dan dikendalikan oleh syarikat Jetvalet Sdn Bhd.

Hubungan pertama Menara Kawalan Trafik Udara Subang dengan pesawat itu adalah pada 2.47 petang dan kebenaran mendarat telah diberikan pada 2.48 petang.

Pada 2.51 petang menara kawalan telah melihat asap daripada lokasi kejadian, namun tiada panggilan kecemasan daripada pesawat itu.– DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

ElminafeaturedMalangPesawatSubang
Comments (0)
Add Comment