Pesawat Su-30MKM, Su-30MKI Malaysia dan India “Bertempur” Dalam Eksesais Udara Shakti

Pada ketika ini, pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-30 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara India (IAF) sedang terlibat dalam latihan udara bersama dinamakan Eksesais Udara Shakti 2024 (EX US24).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika ini, pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-30 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara India (IAF) sedang terlibat dalam latihan udara bersama dinamakan Eksesais Udara Shakti 2024 (EX US24).

Buat kali kedua, TUDM menjadi tuan rumah kepada Eksesais Udara Shakti 2024 yang berlangsung di Pangkalan Udara TUDM Kuantan bermula daripada 5 Ogos sehingga 9 Ogos.

Menurut kenyataan media sosial TUDM, eksesais udara dua hala itu dilaksanakan berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) dan Subject Matter Expert Exchange (SMEE).

“Matlamat utama EX US24 ini adalah untuk memperkukuhkan hubungan dua hala pertahanan yang terjalin lebih 60 tahun melibatkan kedua-dua angkatan udara.”

“Di samping itu, eksesais ini juga dapat meningkatkan interoperability dalam melaksanakan latihan bersama secara taktikal melalui perkongsian maklumat dan pengalaman di mana secara tidak langsungnya memberi manfaat terhadap perkembangan teknologi dan taktik dalam melaksanakan operasi penerbangan,” menurut kenyataan oleh TUDM itu.

(TUDM)

 

Majlis perasmian EX US24 telah berlangsung dengan ucapan dari Team Leader IAF, Gp Capt Ajay Rathi dan ucapan perasmian pembukaan oleh Pengarah Eksesais (EXDIR) Kol Abdul Rahim Jusoh TUDM.

Pengarah Eksesais turut menyempurnakan pemakaian “patch” kepada peserta IAF.

Majlis perasmian eksesais udara dua hala itu turut dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya India ke Malaysia Ms. Subhashini Narayanan dan pegawai-pegawai kanan TUDM dari Pangkalan Udara Kuantan.

Eksesais Udara Shakti 2024 turut menyaksikan pertempuran udara tujuh buah pesawat Sukhoi-30 milik TUDM dan IAF di ruang udara Kuantan.

Dalam masa yang sama, pengisian aktiviti EX US24 dimanfaatkan dengan perbincangan ‘Subject Matter Expert Exchange’ (SMEE).

(TUDM)

 

Aktiviti ini bertujuan berkongsi kepakaran dan pandangan serta skil para peserta di dalam bidang penerbangan dan kejuruteraan untuk pesawat Sukhoi-30.

Eksesais juga menyaksikan pelaksanaan HOP EX (EKS US24) di mana pilot dari kedua-dua negara TUDM dan IAF bertukar pesawat Sukhoi Su-30MKM  dan Su-30MKI untuk melaksanakan pertempuran udara.

Antara matlamat utama HOP EX ini adalah untuk menguji kesiapsiagaan pesawat, berkongsi taktik dalam melaksanakan pertempuran serta perbezaan fungsi alatan pesawat.

Tentera Udara India merupakan antara pengguna terbesar pesawat pejuang Sukhoi Su-30 selain Tentera Udara Russia.

IAF dipercayai memiliki kira-kira 260 buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30, dengan sebahagian besar daripada pesawat pejuang itu dibina secara berlesen di dalam India oleh syarikat Hindustan Aeronautics Limited (HAL).

(TUDM)

 

Varian pesawat pejuang Sukhoi Su-30 Tentera Udara India dipanggil Su-30MKI (Modernizirovannyy Kommercheskiy Indiyskiy yang bermaksud “Modernised Commercial for India” dan ia adalah tulang belakang kepada Tentera Udara India.

Pesawat pejuang Su-30MKI Tentera Udara India itu menggabungkan komponen dan peralatan buatan syarikat-syarikat Russia, India, Perancis dan juga Israel.

Tentera Udara India dijangka akan menaiktaraf pesawat-pesawat pejuang Su-30MKI ke tahap “Super Flanker”. — DSA

 

featuredIndiaMalaysiaTUDM
Comments (0)
Add Comment