Pesawat Pejuang Israel Lancar Peluru Berpandu “Kosong” Terhadap Iran Semalam?

Menurut pemerhati ketenteraan, serangan Israel semalam lebih kepada menghantar signal kepada pemimpin di Teheran dan bukan untuk menyebabkan kemusnahan besar-besaran sehingga memaksa Iran melancarkan serangan balas yang lebih dahsyat terhadap Tel Aviv berbanding serangan peluru berpandu dan dron seumpama baru-baru ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Petani-petani di Iraq hari ini telah menemui serpihan booster milik dua butir peluru berpandu Israel di kawasan Latifiya dan Al-Aziziya di Iraq yang terletak lebih daripada 100km daripada sempadan Iran.

Serpihan booster itu menurut pemerhati ketenteraan berkemungkinan adalah milik kepada peluru berpandu ballistik lancaran-udara (Air Launched Ballistic Missile – ALBM) “Blue Sparrow” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Israel, Rafale.

Namun apa yang mengejutkan adalah — Tentera Udara Israel dilapor hanya menggunakan peluru berpandu “Blue Sparrow” sebagai sasaran (target missile) yang tidak dilengkapi dengan sebarang kepala peledak.

Peluru berpandu itu hanya digunakan sebagai sasaran dalam latihan Tentera Udara Israel.

Media Amerika Syarikat yang bercakap kepada pegawai kanan pertahanan negara itu turut menyatakan bahawa serangan Israel semalam melibatkan pelancaran tiga butir peluru berpandu yang tidak dinyatakan jenisnya terhadap Iran.

Serpihan “Blue Sparrow”

 

Menurut laporan media Israel, pesawat-pesawat pejuang Israel dipercayai F-15 itu dilapor melancarkan peluru berpandu ballistik lancaran udara “Blue Sparrow” terhadap Iran ketika ia masih berada di dalam ruang udara Syria.

Pesawat-pesawat pejuang Israel itu tidak mahu ia dikesan oleh sistem pertahanan udara Iran, yang telah diletakkan dalam kesiapsiagaan yang tinggi selepas Tel Aviv menyerang Israel dengan kira-kira 300 buah peluru berpandu ballistik dan dron berani mati baru-baru ini.

Apa yang menjadi persoalan kepada pemerhati ketenteraan adalah – mengapa Tentera Udara Israel menggunakan peluru-peluru berpandu sasaran yang tidak mempunyai kepala peledak dalam serangannya terhadap sasaran-sasaran di Iran?

Apa tujuannya melancarkan serangan terhadap Iran menggunakan peluru-peluru berpandu “kosong”?

Bagi pemerhati ketenteraan, mereka merasakan tujuan utama Israel menggunakan peluru berpandu sasaran “Blue Sparrow” adalah lebih untuk menghantar signal kepada Teheran bahawa ia mempunyai keupayaan untuk membedil sasaran-sasaran yang terletak di dalam Iran.

Serangan Israel semalam lebih kepada menghantar signal kepada pemimpin-pemimpin di Teheran dan bukan untuk menyebabkan kemusnahan besar-besaran sehingga memaksa Iran melancarkan serangan balas yang lebih dahsyat terhadap Tel Aviv berbanding serangan peluru berpandu dan dron berani mati seumpama baru-baru ini.

Adalah jelas, kedua-dua pihak iaitu Israel dan Iran amat berhati-hati dalam tindakan mereka kerana tidak mahu melihat peperangan terbuka tercetus di antara mereka, yang boleh menyebabkan mereka mengalami kemusnahan besar-besaran dan menjerumuskan keseluruhan rantau ke dalam konflik yang lebih buruk.

Teheran telah mengeluarkan kenyataan semalam bahawa ia tidak merancang untuk melancarkan serangan balas terhadap Israel.

Jika benar Israel menggunakan peluru berpandu “kosong” dalam serangannya terhadap Iran, maka ia berkemungkinan menjelaskan mengapa pihak berkuasa negara itu tidak melaporkan sebarang letupan besar akibat bedilan peluru berpandu.

Apa yang dihadapi oleh tentera Iran pada malam semalam adalah dron-dron quadcopter kecil yang berkemungkinan dilancarkan oleh kumpulan-kumpulan bersenjata anti-Iran yang disokong oleh Israel dan Amerika Syarikat.

Laporan media di Iran menyatakan bahawa, sistem pertahanan udara Iran di beberapa bahagian negara itu telah diaktifkan bagi menangani serangan terhad itu manakala pihak berkuasa mengeluarkan negara itu pula mengeluarkan arahan melarang penerbangan awam, tetapi, arahan itu telah ditarik-balik.

Pihak tentera Iran mendakwa letupan-letupan kecil yang kedengaran di beberapa bahagian negara itu disebabkan oleh penembakan jatuh dron-dron quadcopter oleh sistem pertahanan negara itu yang diaktifkan.

Agensi berita nasional Iran menyatakan tiga buah dron quadcopter kecil telah ditembak jatuh berhampiran bandar Isfahan yang menempatkan beberapa pangkalan tentera yang besar termasuk sebuah pangkalan udara yang didakwa terlibat dalam pelancaran peluru berpandu ballistik terhadap Israel tempohari.

Menurut media-media Iran, dron-dron kecil quadcopter itu berkemungkinan dilancarkan daripada dalam Iran oleh kumpulan-kumpulan bersenjata yang  disokong oleh Barat dan Israel dan kesemuanya berjaya ditembak jatuh oleh sistem pertahanan Iran.

Tentera Iran telah meningkatkan kehadiran sistem-sistem pertahanan udaranya di sekitar Teheran dan beberapa bandar utama negara itu serta pangkalan tentera kerana menjangkakan serangan balas Israel. — DSA

 

featuredIranIsraelSerangan
Comments (0)
Add Comment