(VIDEO) Saksikan Pesawat Pejuang Generasi Ke-6 China Lakukan Penerbangan Sulungnya Hari Ini

Jika benar pesawat pejuang generasi ke-enam China sudah melakukan penerbangan sulungnya hari ini, maka ia adalah suatu "kemenangan simbolik" Beijing dalam perlumbaan membangunkan pesawat pejuang generasi ke-enam yang sedang berlangsung dengan seengit di antaranya dengan Washington, Moscow dan Eropah.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang generasi ke-enam China dilaporkan telah melakukan penerbangan sulungnya pada hari ini, sebagaimana dinyatakan oleh pemerhati industri aeroangkasa negara itu menerusi posting akaun media sosial.
Jika benar pesawat pejuang generasi ke-enam China sudah melakukan penerbangan sulungnya hari ini, maka ia adalah suatu “kemenangan simbolik” Beijing dalam perlumbaan membangunkan pesawat pejuang generasi ke-enam yang sedang berlangsung dengan sengit di antaranya dengan Washington, Moscow dan Eropah.
Posting media-media sosial terbabit menyatakan terdapat kemungkinan pesawat pejuang generasi ke-enam China itu dilengkapi dengan tiga buah enjin dan bukan dua buah enjin sebagaimana pesawat-pesawat pejuang generasi keenam sedang dibangunkan oleh beberapa negara lain.
Video yang berlegar di media-media sosial melaporkan bahawa dua daripada enjin itu terletak di bawah sayap pesawat, manakala enjin ketiga terletak di bahagian tengah badan pesawat.
Rekabentuk pesawat pejuang dilengkapi dengan tiga enjin adalah unik dan tidak pernah dipraktikkan sebelum ini, menunjukkan suatu perubahan besar dalam rekabentuk pesawat pejuang China dan tidak sekadar meniru rekabentuk pesawat pejuang Amerika Syarikat.
Pesawat pejuang generasi ke-enam China dilaporkan terbang dalam keadaan sistem pendaratannya (landing gear) terbuka, suatu tindakan standard semasa penerbangan ujian dilakukan.
(TONTON VIDEO DI SINI)

Rekabentuk “flying wing” pesawat pejuang generasi ke-enam China itu dikatakan memberikan nisbah berat-muatan yang tinggi, membolehkan pesawat itu membawa muatan yang tinggi berbanding berat penerbangan pesawat itu, sekaligus meningkatkan keberkesanan operasi dan pada masa yang sama mengurangkan tekanan terhadap struktur dan bahan api pesawat.
Bagaimanapun, rekabentuk “flying wing” itu dikatakan mengurangkan daya kelincahan dan kestabilan pesawat terbabit berbanding rekabentuk tradisional.
Penerbangan ujian itu dilakukan di kawasan berhampiran kemudahan syarikat Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) yang telah membangunkan beberapa pesawat pejuang dan dron milik Angkatan Tentera China.
Pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon” yang kini berkhidmat dengan Angkatan Tentera China juga dibangunkan oleh CAIG.
Semasa penerbangan sulung hari ini, pesawat pejuang generasi ke-enam China itu diiringi oleh pesawat pejuang J-20.

Semasa Airshow China 2024 di Zhuhai yang berlangsung baru-baru ini,  model pesawat pejuang generasi ke-6 China yang diberikan nama “White Emperor” atau di dalam bahasa tempatannya “Baidi” telah didedahkan.
“White Emperor” merupakan model penuh pesawat generasi ke-enam dan merupakan sebahagian daripada Project Nantiamen, sebuah inisiatif penyelidikan oleh China dan agensi-agensi penyelidikannya untuk meneroka teknologi penerbangan masa depan.
Menurut maklumat yang didapati pada pameran aeroangkasa ulung China itu, “White Emperor” digambarkan sebagai pesawat pejuang bersepadu yang berkemampuan mencapai kelajuan supersonik dan beroperasi di angkasa lepas.
Model pesawat pejuang angkasa lepas “White Emperor” itu telah dibangunkan oleh Aviation Industry Corporation of China (AVIC).
Antara spekulasi yang berkeliaran sebaik sahaja “White Emperor” itu didedahkan adalah ia berkemungkinan akan menjadi pesawat prototaip kepada Tentera Udara China, walaupun ia tidak pernah disahkan oleh Beijing.
White Emperor “Baidi”
Kemunculan “White Emperor” sebagai model pesawat pejuang angkasa lepas generasi ke-6 China juga menunjukkan perlumbaan di antara negara-negara utama dunia dalam menghasilkan pesawat kombat generasi ke-6 sedang berjalan dengan sengit.
Amerika Syarikat juga sedang membangunkan pesawat pejuang generasi ke-6 dinamakan Next Generation Air Dominance (NGAD) manakala United Kingdom dan beberapa rakannya pula sedang membangunkan Global Combat Air Program (GCAP) manakala Jerman-Perancis pula menampilkan Future Combat Air System (FCAS).  — DSA
ChengduChinafeaturedPesawat Pejuang
Comments (0)
Add Comment