Aspek Keselamatan, Pertahanan Negeri Sabah Terus Diperkukuhkan

Usaha pengukuhan pertahanan dan keselamatan Sabah terutamanya kawasan pantai timur negeri itu dipergiatkan terutamanya selepas peristiwa berdarah pencerobohan oleh kumpulan bersenjata selatan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan agensi-agensi keselamatan negara untuk memperkukuhkan pertahanan dan keselamatan di negeri Sabah terutamanya di kawasan pantai timur negeri itu.

Daripada segi pertahanan dan keselamatan, Sabah adalah penting dan disifatkan sebagai “frontline state” kerana ancaman yang dihadapi adalah amat serius daripada elemen rentas sempadan, kumpulan kidnap-for-ransom (KFR) sehinggalah kepada kumpulan-kumpulan pengganas seperti Abu Sayyaf dan kumpulan yang bersekutu dengan Daesh (Islamic State) di selatan Filipina.

Tidak juga lupa, ancaman daripada kapal-kapal pengawal pantai dan perang China yang menganggap sebahagian besar daripada Laut China Selatan itu adalah miliknya.

Sebab itulah aspek keselamatan dan pertahanan Sabah nampaknya adalah “high on the agenda” kepada kerajaan pada ketika ini.

Usaha pengukuhan pertahanan dan keselamatan Sabah terutamanya kawasan pantai timur negeri itu dipergiatkan terutamanya selepas peristiwa berdarah pencerobohan oleh kumpulan bersenjata selatan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013.

Kredit Tentera Darat

 

Terbaru adalah apabila Tentera Darat mengoperasikan Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Kukusan, Tawau yang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

“Pengoperasian battalion ini juga membuktikan bahawa Tentera Darat Malaysia adalah komited di dalam menggalas tugas utama bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara agar sentiasa terpelihara.”

“Penubuhan semula batalion ini merupakan sebahagian daripada proses aturgerak dan pertambahan batalion tentera di Pantai Timur Sabah.”

— Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Panglima Tentera Darat juga menyatakan pengoperasian batalion ini akan terus diperkasakan dengan penambahan keanggotaan serta peningkatan aset-aset tempur sebagai sebuah pasukan infantri yang lengkap.

Pengoperasian batalion ini adalah selaras dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu ‘Kelangsungan Misi dan Kesiagaan’.

Ia adalah untuk memastikan TDM sentiasa siapsiaga demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat yang sentiasa menjadi keutamaan. 

Kredit TLDM

 

Selain itu, untuk memastikan keselamatan Sabah pula,  penubuhan Briged ke-5 di Kem Paradise di Kota Belud juga merupakan satu lagi usaha ke arah itu.

Briged ke-5 Tentera Darat Malaysia itu akan bertindak sebagai “in-depth element” yang bersiap-sedia untuk membantu “forward element” di sempadan sekiranya diperlukan dalam menangani masalah ancaman keselamatan terhadap Sabah.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menerusi penubuhan Markas Angkatan Tugas Bersama di Kem Kukusan juga menggabungkan kekuatan tiga perkhidmatan untuk memastikan ATM mampu menangani ancaman keselamatan di kawasan itu.

Kredit TLDM

 

Selain itu daripada Tentera Darat, usaha memperkukuhkan pertahanan di Sabah juga melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang juga telah menempatkan Markas Pemerintahan Armada Timur di Kota Kinabalu.

Markas Pemerintahan Armada Timur di Kota Kinabalu itu bertanggungjawab terhadap semua pangkalan laut di Sabah dan Sarawak.

TLDM juga bertindak menempatkan ketiga-tiga kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 1 yang dibangunkan di China di Pangkalan TLDM di Kota Kinabalu.

Kapal LMS Batch 1 iaitu KD Keris  dan LMS kedua, KD Sundang telah pun memasuki perkhidmatan TLDM pada 31 Disember 2019 dan 14 Januari 2021 manakala LMS3 ketiga, Badik telah pun diterima beberapa minggu lepas.

Kapal LMS keempat, Rencong dijangka diserahkan kepada negara pada Disember tahun ini.

Selain kapal-kapal LMS Batch 1, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar itu turut menempatkan enam buah kapal kapal NGPV kelas-Kedah milik TLDM.

Kapal-kapal perang terbabit adalah, KD Kedah, KD Perak, KD Pahang, KD Terengganu, KD Selangor dan KD Kelantan.

Itu tidak termasuk dua buah aset strategic negara iaitu, kapal selam kelas-Perdana Menteri KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak yang juga ditempatkan di Teluk Sepanggar.

TLDM juga telah mewujudkan MAWILLA 2 di Sandakan untuk memantau perairan di Pantai Timur Sabah, manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula mewujudkan Markas Udara Wilayah 2 di Labuan.

TUDM juga telah mewujudkan Pusat Bantuan Operasi Udara di Tawau untuk memantau keseluruhan ruang udara di negeri Sabah.

Pesawat pejuang Su-30MKM mengugurkan bom-bom di Lapangan Sasar Udara Kota Belud pada hari terakhir Eksesais ABABIL hari ini. (gambar kredit TUDM)

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

KeselamatanpertahananSabah