China Bina Kemudahan Pengintipan Di Cuba, Hanya 100km Dari Amerika

Kemudahan pengintipan China di Cuba akan membolehkan Beijing mengintip kawasan selatan Amerika Syarikat yang menempatkan beberapa kemudahan dan pangkalan tentera penting negara kuasa besar itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan Cuba untuk membina kemudahan pengintipan SIGINT (Signal Intelligence) dan ELINT (Electronic Intelligence) di negara Amerika Tengah itu yang hanya berada kira-kira 160km daripada pantai selatan Amerika Syarikat.

Kemudahan pengintipan China di Cuba akan membolehkan Beijing mengintip kawasan selatan Amerika Syarikat yang menempatkan beberapa kemudahan dan pangkalan tentera penting negara kuasa besar itu.

Media-media Amerika Syarikat menyatakan bahawa pihak berkuasa negara itu baru sahaja menyedari perkara itu dan masih tidak mengetahui sama ada Beijing telah pun membina kemudahan pengintipan itu.

Kemudahan pengintipan SIGINT Jepun.

 

Menurut media terkenal Amerika Syarikat, The Wall Street Journal, China telah memberikan “bayaran” berjumlah beberapa billion dollar Amerika kepada Havana bagi membolehkan ia mendirikan kemudahan pengintipan itu di Cuba itu.

Maklumat yang diperolehi oleh media Amerika, pusat pengintipan China di Cuba itu berkemungkinan hanya terletak kira-kira 160km daripada Florida di selatan Amerika Syarikat.

Secara teorinya, ia akan membolehkan negara itu memantau pelbagai jenis komunikasi elektronik seperti emel, telefon dan pelbagai lagi di bahagian selatan Amerika Syarikat, yang menempatkan banyak kemudahan dan pangkalan tentera negara itu.

Terdapat juga pegawai Amerika mendedahkan kepada media negara itu bahawa China telah pun mendirikan pusat pengintipan di Cuba sejak 2019, sebagai sebahagian daripada usahanya mengumpul maklumat perisikan.

“Kami mempunyai kebimbangan yang mendalam terhadap hubungan di antara China dengan Cuba dan sememangnya sejak hari pertama pentadbiran Presiden Jo Biden kami bimbang tentang aktiviti China di kawasan sini dan seluruh dunia.”

“Bagaimanapun kami berkeyakinan bahawa kami boleh menunaikan kesemua komitmen tentang keselamatan sama ada dalam negara dan di peringkat serantau,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan di Rumah Putih John Kirby kepada media negara itu.

Kedudukannya sebagai negara jiran Amerika Syarikat membuatkan Cuba lokasi “menarik” untuk musuh-musuh negara kuasa besar itu sejak dahulu lagi.

Ketika di zaman pemerintahan Presiden John F.Kennedy yang mentadbir Amerika Syarikat daripada 1961-1963.

Pada tahun 1962, pesawat-pesawat pengintip Amerika telah mengesan kehadiran peluru-peluru berpandu balistik milik Russia di Cuba, sekaligus mencetuskan Krisis Peluru Berpandu Cuba (Cuba Missile Crises) yang hampir-hampir menjerumuskan seluruh dunia kepada peperangan nuklear.

Pentadbiran beberapa presiden Amerika sebenarnya telah beberapa kali melancarkan operasi untuk menjatuhkan kerajaan komunis yang dipimpin oleh mendiang Fidel Castro tetapi gagal.  

Detik-detik belon pengintip milik China ditembak jatuh di luar pantai North Carolina pada 5 Feb lepas.

 

Dakwaan tentang kewujudkan kemudahan pengintipan milik China di Cuba timbul beberapa bulan selepas pesawat pejuang F-22 Raptor Tentera Udara Amerika Syarikat menembak jatuh belon pengintipan China di ruang udara North Carolina pada awal Feb lepas.

Kehadiran belon “pengintip” itu telah meningkatkan ketegangan di antara Washington dan Beijing sehingga menyebabkan kunjungan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken ke China pada bulan itu dibatalkan.

Amerika Syarikat telah mengesan kehadiran belon pengintip milik China berada di ruang udara di negeri Montana yang menempatkan ratusan peluru berpandu ballistik negara itu, menurut Jabatan Pertahanan negara itu yang lebih dikenali sebagai Pentagon. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AmerikaChinaCubafeaturedKemudahan Pengintipan
Comments (0)
Add Comment