(VIDEO) Peluru Berpandu Ballistik Jarak Dekat Fatah-II Pakistan Buat India “Pening”

Menurut pihak berkuasa Pakistan, peluru berpandu Fatah-II tu merupakan sistem persenjataan yang moden dengan sistem avionik serta dilengkapi dengan sistem navigasi inertial satellite yang membolehkan ia membedil sasaran dengan tepat.Ia memiliki Circular Error Probable (CEP) kurang daripada 10 meter.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada awal tahun ini, Pakistan telah melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu Fatah-II yang dibangunkan oleh pakar-pakar persenjataan dalam negaranya, dalam satu lagi “pertunjukkan kekuatan” kepada negara-negara jirannya terutama India dan mungkin, Iran.

Peluru berpandu jarak dekat Fatah-II yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 400km merupakan varian terbaru daripada peluru berpandu Fatah-I yang hanya mampu memusnahkan sasarannya sejauh 150km.

Fatah-II merupakan suatu lonjakan kemampuan daripada varian terdahulunya, Fatah-I yang dbangunkan pada tahun 2021.

Menurut pihak berkuasa Pakistan, peluru berpandu Fatah-II tu merupakan sistem persenjataan yang moden dengan sistem avionik serta dilengkapi dengan sistem navigasi inertial satellite yang membolehkan ia membedil sasaran dengan tepat.

Ia memiliki Circular Error Probable (CEP) kurang daripada 10 meter.

 

Selain itu, peluru berpandu Fatah-II juga dilaporkan mempunyai trajektori penerbangan yang unik sehingga menjadikannya bukan sahaja dikesan tetapi juga sukar untuk ditembak jatuh oleh sistem-sistem pertahanan udara oleh negara-negara jirannya.

Teknologi kawalan penerbangan dan penjejak sasaran yang berkesan adalah ciri-ciri yang menjadikan Fatah-II lebih berkemampuan daripada varian peluru berpandu yang sama sebelum ini, terutamanya daripada segi ketepatan bedilannya.

“Sistem peluru berpandu (Fatah-II) akan memberikan Tentera Darat Pakistan dengan kemampuan untuk membedil sasaran yang terletak dalam sebuah kawasan musuh dengan tepat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Inter-Services Public Relations (ISPR) baru-baru ini.

Menurut maklumat daripada Pakistan, sistem peluru berpandu jarak dekat Fatah-II itu dibangunkan untuk “mencabar” sistem pertahanan udara S-400 “Triumf”  buatan Russia yang kini dimiliki oleh tentera India.

Peluru berpandu jarak dekat Fatah-II itu dikatakan adalah “jalan penyelesaian” terhadap usaha-usaha tentera Pakistan untuk membedil sasaran-sasaran musuh yang dianggap bernilai tinggi walaupun ia “dilindungi” dengan sistem-sistem pertahanan udara yang moden.

Fatah-I
Fatah-11

 

Sasaran-sasaran “bernilai tinggi” yang mungkin menjadi sasaran peluru berpandu jarak dekat Fatah-II termasuklah jambatan, pangkalan-pangkalan tentera, kemudahan komunikasi, kawalan dan pemerintahan dan lokasi sistem pertahanan udara musuh.

Penganalisis tentera yang dipetik oleh beberapa media pertahanan menyatakan bahawa “trajektori mendatar” peluru berpandu Fatah-II adalah antara ciri penting senjata yang menyukarkan usaha pengesanan oleh musuh.

Ia adalah amat mencabar untuk mengesan penerbangan peluru berpandu Fatah-II terutamanya apabila ia digandingkan secara serentak dengan peluru-peluru berpandu, sistem roket berganda dan dron-dron berani mati milik Pakistan yang lain, menurut mereka.

Selain itu disebabkan ia dilancarkan daripada sistem pelancar bergerak, maka usaha menjejaki sistem peluru berpandu Fatah-II itu oleh aset-aset Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) akan menjadi lebih sukar. — DSA

Fatah-IIfeaturedIndiaPakistan
Comments (0)
Add Comment